Anak muda berdarah Melayu beridentitikan Malaysia ini tidak pernah menyarung jersi pasukan negara.
Malah ketika ditanya mengenainya pada penghujung tahun lalu ketika pulang melawat Malaysia, beliau berkata belum memikirkan lagi sama ada akan menyarung jersi Harimau Malaya atau Amerika Syarikat satu hari nanti.
Tetapi bukan mengenai negara mana yang mahu dibuktikan oleh Wan Kuzain. Sebaliknya, pencapaian beliau pada hari ini di Amerika Syarikat membuktikan sesiapa sahaja mampu pergi jauh di dalam bola sepak, tanpa mengira bangsa, kaum, atau warna kulit.
Sebelum ini kami pernah berkongsi jaringan oleh anak muda ini yang dicalonkan untuk anugerah Gol Terbaik USL Bulan Ogos.
Kali ini Wan Kuzain membuktikan usaha keras tidak akan menjadi sia-sia apabila jaringannya itu diumumkan sebagai gol terbaik, menewaskan lima lagi pencalonan yang lain.
Menggunakan teknik ‘in-step’ yang dipopularkan oleh bintang Portugal, Cristiano Ronaldo, pemain tengah itu melepaskan percubaan dari sepakan percuma dari penjuru kanan kotak penalti lawan, sebelum bola menerjah masuk.
Gol penyamaan tersebut membantu pasukan yang diwakilinya, Swope Park Rangers kembali bangkit untuk menewaskan Tulsa Roughneck FC 2-1 dalam pertemuan liga.
Jaringan pemain berusia 20 tahun itu turut diletakkan di tangga kedua dalam senarai jaringan terbaik oleh Sportcentre di Amerika Syarikat baru-baru ini.
Setakat ini Kuzain telah menjaringkan dua gol dari 16 penampilan untuk pasukannya, dan turut menjaringkan satu gol dan satu bantuan gol untuk pasukan utama, Sporting Kansas City dalam aksi Major League Soccer (MLS).
Tahniah dan selamat maju jaya Wan Kuzain. Teruskan berusaha untuk mencapai tahap tertinggi di dalam karier profesional anda!