Malaysia menang 1-0 ke atas Turkmenistan hasil ledakan Akhyar Rashid dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.
Kim Pan-gon memberikan debut buat dua ‘playmaker’ di Liga Super iaitu Paulo Josue dan Endrick dos Santos untuk perlawanan ini, sementara pemain sayap menyerang, Arif Aiman telah direhatkan sepenuhnya apabila turut tidak kelihatan kelibatnya di bangku simpanan Harimau Malaya.
Mungkin Kim sedar yang lawan sudah lama tidak beraksi – kali terakhir pada Jun 2022, membolehkannya bereksperimen dengan pemainnya.
Malah di babak kedua, giliran seorang lagi pemain tengah, Nooa Laine turut diberikan debut skuad kebangsaan untuk menggantikan Endrick serta Fayadh Zulkifli yang menggantikan Akhyar Rashid serta Feroz Baharudin.
Turkmenistan memberi amaran awal buat tuan rumah apabila mencipta tiga peluang untuk mencipta jaringan, namun gagal menyudahkannya.
Resul Hojayev berpeluang seawal minit kedua, namun rembatannya sedikit tersasar sebelum lapan minit kemudian, giliran Ruslan Mingazov gagal menyudahkan peluang di depan gawang saat berdepan Syihan Hazmi.
Minit ke-15, rembatan deras Altymyrat Annadurdyyev berjaya dinafikan oleh Syihan untuk pelawat terus kempunan mencipta jaringan pembukaan.
Penjaga gol lawan, Rasul Charyyev diuji beberapa kali, namun kental bertahan apabila menepis dua percubaan tepat oleh tandukan Paulo dan sepakan percuma luar kotak penalti Dion Cools pada minit ke-23 dan ke-26.
Dua minit kemudian, Akhyar Rashid berjaya membuka akaun gol apabila menyudahkan peluang dari sudut sukar selepas menerima lorongan kemas Corbin Ong ke sebelah kanan gawang dan disudahkan ke sudut kiri gawang.
Pasukan pelawat tidak berdiam diri apabila cuba melakukan serangan menerusi Altymyrat Annadurdyyev, tetapi peluang satu lawan satu dengan Syihan telah disia-siakan apabila hanya mampu bertembung dengannya.
Malaysia mempamer penguasaan menerusi percubaan ke gawang lawan selepas gol pertama, tetapi semua peluang gagal disudahkan dengan baik.
Babak kedua bermula garang apabila Turkmenistan dan Malaysia masing-masing telah melepaskan peluang meledak gol menerusi tandukan Didar Durdyyev dan libasan menarik oleh Akhyar pada minit ke-46 dan ke-48.
Walaupun ‘Karakum Warriors’ dilihat mula memberi tekanan demi tekanan ke ‘defensive third’, benteng skuad negara yang dibarisi Cools, Dominic Tan, Matt Davies dan Corbin kental serta berdisiplin menyerap asakan lawan.
Dalam tempoh 10 minit bermula pada minit ke-62, Malaysia memiliki empat peluang melakar jaringan kedua, tetapi kecemerlangan Rasul Charyyev telah menyelamatkan kedudukan pelawat apabila beliau menafikan tiga peluang Faisal dan rembatan deras Paulo yang bermain sangat baik pada malam ini.
Minit ke-78, Meylis Diniyev hampir memberikan jaringan penyamaan buat Turkmenistan, tetapi tandukan derasnya sedikit melewati palang sebelum Syihan dipaksa membuat ‘double saves’ di minit ke-83 apabila Arslanmyrat Amanov melepaskan rembatan jarak jauh disusuli rembatan kedua.
Perlawanan kekal dipisahkan oleh jaringan Akhyar untuk memberikan Malaysia kemenangan berharga ke atas Turkmenistan di Iskandar Puteri.