Dua jaringan yang dihasilkan Harry Kane memberikan tiga mata penuh buat England pada perlawanan pertama selepas menang 2-1 keatas Tunisia sebentar tadi.
Semuanya tampak berada di landasan yang tepat buat skuad bimbingan Gareth Southgate apabila mendominasi permainan babak pertama.
Gigih mengasak kubu Tunisia sejak dari awal permainan, England berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-11 menerusi Harry Kane.
Ketua pasukan England yang tidak dikawal itu bijak menyambar peluang untuk menolak masuk bola susulan tandukan yang dilakukan John Stones menerusi sepakan penjuru.
Jordan Henderson mencemaskan kem Tunisia pada minit ke-18 melalui satu rembatan dari jarak jauh, namun penjaga gol gantian, Farouk Ben Mustapha lebih bersedia untuk menangkap kemas percubaan tersebut.
Berselang 13 minit kemudian, Ben Mustapha sekali lagi bertindak cemerlang apabila penjaga gol berusia 28 tahun itu menafikan tandukan oleh Harry Maguire.
Ketika England rancak mengatur gerakan bagi menambah jaringan, Tunisia tampil dengan serangan balas yang memaksa Kyle Walker melakukan kekasaran terhadap Fakhreddine Ben Youssef dalam kotak penalti.
Pengadil perlawanan, Wilmar Roldan dari Colombia tidak teragak-agak untuk menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-33.
Ferjani Sassi yang memikul tanggungjawab bagi mengambil sepakan tersebut tidak mensia-siakan peluang untuk kembali menyamakan kedudukan walaupun penjaga gol England, Jordan Pickford sudah dapat mengagak arah sepakannya.
Tandukan ke belakang dari Dele Alli yang mencari Stones gagal membuahkan hasil selepas pertahanan Manchester City itu hanya menyepak angin dalam situasi kelam-kabut di hadapan gawang Tunisia.
Percubaan terbaik buat England menjelma pada penghujung babak pertama selepas umpanan menarik dari Kieran Trippier terus mencari Jesse Lingard.
Lingard yang hanya berhadapan Ben Mustapha melakukan kuisan yang sudah pun menewaskan penjaga gol tersebut, bagaimanapun bola hanya singgah di tiang gol lalu bergolek keluar.
Memasuki babak kedua memperlihatkan aksi yang disajikan Tunisia lebih tersusun dengan beberapa gerakan bahaya dicipta sebaik sahaja perlawanan kembali bersambung.
Bagaimanapun ia masih belum mampu untuk menjelmakan jaringan kedua buat pasukan yang dibimbing Nabil Maaloul itu.
Selepas itu, England kembali mempamerkan penguasaan dengan dominasi permainan yang berterusan.
Gareth Southgate membuat pertukaran pada minit ke-68 dengan memasukkan Marcus Rashford bagi menggantikan Raheem Sterling untuk menambah bisa di jentera serangan England.
Harry Kane akhirnya muncul wira England apabila berjaya mencipta jaringan kemenangan pada masa kecederaan selepas beliau menanduk masuk bola bagi menyambar tandukan yang dilakukan Maguire.