Selangor gagal meneruskan momentum terbaik mereka dalam saingan Liga Super 2023, setelah pasukan tersebut dikecewakan oleh Sabah menerusi keputusan penuh, 1-2.
Beraksi di Stadium Likas, Selangor jelas lebih banyak mendominasi perlawanan menerusi asakan bertali arus, serta menguasai posisi tengah berbanding tuan rumah.
FT | SAB 2-1 SEL
Skuad #GergasiMerah terpaksa akur dengan kekalahan di tangan The Rhinos kali ini dalam perlawanan sengit yang saling berbalas serangan. Kita akan bertemu Perak FC dalam perlawanan #LigaSuper2023 seterusnya. Terus bangkit! ❤️💛
Dikuasakan oleh PKNS.#MKLK pic.twitter.com/EWL1Rzs7Lv
— Selangor FC (@selangorfc) April 27, 2023
Namun, Sabah terlebih dahulu memperoleh gol sulung mereka menerusi sepakan penalti yang mudah diambil oleh Saddil Ramdani untuk menewaskan Sam Somerville pada minit ke-24.
Selangor kembali bangkit di separuh masa kedua, setelah jaringan cantik yang dilakukan oleh Faisal Halim pada minit ke-52 berjaya menyamakan kedudukan semasa, sebelum sepakan percuma Baddrol Bakhtiar selepas itu kembali meletakkan tuan rumah di hadapan.
Pada awalnya, jaringan Faisal itu dianggap sebagai suatu siri kebangkitan penting buat Selangor untuk tampil lebih agresif, namun kesilapan mereka sendiri memberi ruang buat tuan rumah kembali mendahului permainan.
Keputusan perlawanan kekal sehingga wisel ditiupkan pengadil, walaupun Selangor cuba mencipta beberapa peluang sebelum itu untuk mendapatkan jaringan.
Ini merupakan kekalahan kedua Selangor musim ini dalam aksi Liga Super, setelah pasukan tersebut terlebih dahulu tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).
Salah satu perkara paling mengecewakan buat Selangor pada perlawanan semalam pastinya terarah kepada kualiti pertahanan mereka yang longgar serta mudah diambil peluang tuan rumah terutama sekali menerusi situasi serangan balas.
📸 Sebahagian daripada aksi babak kedua perlawanan #SABSEL sebentar tadi. Jumpa lagi di perlawanan #LigaSuper2023 seterusnya!#MKLK#KitaSelangor#LigaMalaysia2023 pic.twitter.com/MHXQOWiS7r
— Selangor FC (@selangorfc) April 27, 2023
Malah, mereka juga gemar melakukan kesilapan yang membahayakan pasukan dengan segalanya terbukti menerusi hukuman penalti serta sepakan percuma untuk menjadi punca dibolosi.
Selain isu disiplin pertahanan, aksi dipamerkan oleh penjaga gol Selangot iaitu Sam juga tidak begitu menyakinkan, terutama ketika beliau melepaskan gol daripada Baddril Bakhtiar.
Walaupun Ayron Del Valle tampil dengan momentum terbaik sejak beberapa perlawanan, aksi semalam menyaksikan penyerang tersebut sedikit tumpul selain bergelut untuk cuba melepasi disiplin pertahanan lawan.
Secara keseluruhan Selangor sebenarnya beraksi dengan lebih baik berbanding Sabah pada perlawanan tersebut, namun disebabkan kesilapan sendiri dibuat mereka menyaksikan The Red Giants terpaksa menelan keputusan perit menerusi kekalahan kedua dilakar musim ini.
Sabah pula, para pemain kendalian Datuk Ong Kim Swee berjaya mengekalkan disiplin mereka dengan begitu cemerlang untuk tidak membiarkan sebarang kesilapan mudah berlaku, terutama di posisi pertahanan.
Kemenangan tersebut pastinya meningkatkan lagi moral pasukan mereka untuk terus memberi saingan sengit buat semua pasukan pada musim ini.