Bahang Piala Dunia 2018 Rusia semakin dirasai di seluruh dunia walaupun berbaki lebih kurang 6 bulan lagi sebelum sepak mula. Ada di antara penyokong ataupun pemerhati bola sepak sudah mula mencongak dan meramalkan di manakah kedudukan pasukan pilihan mereka dan dengan pasukan manakah akan bersama.
Undian peringkat kumpulan bakal di adakan pada jam 11 malam ini waktu Malaysia.
Baru-baru ini dalam sebuah program bual bicara mengenai bola sepak terbitan ESPN telah menjemput beberapa orang panel antaranya ialah Shaka Hislop dan Gabrielle Marcotti untuk membincangkan kumpulan manakah 32 negara ini bakal diletakkan bersama.
Shaka Hislop merupakan seorang penjaga gol yang tidak asing di dalam kancah Liga Perdana Inggeris Beliau pernah bermain untuk Newcastle United, Reading, West Ham United dan Portsmouth selain pernah membantu pasukan Trinidad & Tobago untuk bermain di Piala Dunia 2006 di Jerman.
Manakala Gabriele Marcotti pula adalah seorang penulis sukan yang begitu aktif dan menjadi panel di dalam rancangan sukan terbitan ESPN terutamanya melibatkan bola sepak.
Dalam program tersebut, Shaka Hislop ingin melihat “kumpulan maut” dihuni oleh Belgium yang diundi bersama dengan Uruguay, Costa Rica dan Nigeria. Beliau berpandangan Belgium belum lagi bermain seperti mana ramai pihak jangkakan dengan nama-nama besar yang membarisi skuad tersebut dalam kejohanan Euro 2016 dan Piala Dunia 2014 yang lalu.
Uruguay pula bagi beliau gandingan Edinson Cavani & Luis Suarez semestinya memberi ancaman yang begitu berbahaya kepada pertahanan lawan. Manakala Costa Rica pula mampu mengulangi kejayaan 4 tahun lalu apabila mengejutkan ramai pihak dengan menyingkirkan Uruguay & Itali untuk mara ke pusingan 16 pasukan terakhir.
Nigeria pula adalah pasukan yang layak setelah melalui fasa kelayakan yang mencabar dengan berjaya menewaskan Zambia, Cameroon dan Algeria di dalam peringkat kumpulan Zon Afrika.
Ketika ditanya mengenai “Group of Life”, Gabrielle Marcotti berpendapat kumpulan ini dihuni bersama oleh Rusia, Peru, Tunisia dan juga Panama. Beliau merasakan keempat-empat pasukan ini sama kuat dan sama padan. Biasanya kumpulan sebegini kurang mencuri tumpuan ketika saingan peringkat kumpulan.
Jika di Malaysia, kita kurang mengenali nama-nama pemain yang bermain untuk negara sebegini selain daripada kurang memperlihatkan aksi negara ini untuk bermain di dalam kejohanan besar seperti Piala Dunia.
Selain itu juga, Marcotti juga mengimpikan untuk melihat Perancis, Uruguay, Denmark dan Maghribi diundi bersama.
Beliau mengaitkan saingan pasukan di dalam kumpulan ini dengan kelibat beberapa pemain berkualiti antaranya Edinson Cavani yang bermain bersama PSG di Ligue 1 Perancis yang bakal berhadapan dengan beberapa orang rakan sekelab manakala Christian Eriksen pastinya mengenali Hugo Lloris yang beraksi bersama dengan Tottenham Hotspurs.
Maghribi pula beliau berpendapat Herve Rinard, jurulatih Maghribi mahu membuktikan beliau bukan seorang jurulatih yang kurang memberansangkan ketika menjadi jurulatih kepada Sochaux dan Lille suatu ketika dahulu.
Beliau hadir kali ini sebagai seorang jurulatih pertama yang memenangi Piala Kejuaran Negara Afrika dengan dua negara yang berbeza, Zambia pada tahun 2012 dan Ivory Coast pada tahun 2015.
Pandangan peribadi penulis
Penulis sendiri secara peribadi berpandangan negara yang berada di dalam balang 2 seperti Sepanyol, England dan Colombia bakal memberikan saingan sengit dan cabaran di peringkat kumpulan.
Lebih-lebih lagi jika diundi bersama dengan salah sebuah negara dari benua Afrika dan juga Costa Rica dari Balang 3.
Penulis menjangkakan beberapa kumpulan bakal diisi seperti berikut:
Kumpulan Maut: Perancis, Colombia, Costa Rica & Nigeria
Kumpulan Terbuka: Poland, Mexico, Mesir & Australia
Kumpulan Idaman: Portugal, Sepanyol, Senegal & Jepun
Bagaimana pula dengan jangkaan anda?
Nota editor: Artikel ini merupakan hasil kiriman pembaca kami yang bernama Hisyam. Jika anda mahu tulisan anda dibaca oleh jutaan rakyat Malaysia, hantar artikel 300 patah perkataan anda dalam format MS Word ke [email protected] .