Berita Harian telah mendedahkan salah seorang pemain Kedah telah memberikan bayangan akan menamatkan kontrak bersama skuad juara Piala FA 2019 itu.
Walaupun tidak mendedahkan identiti pemain itu, namun beberapa bayangan telah diberikan antaranya pemain tempatan terkemuka, menjulang Piala Malaysia 2016, pernah mewakili pasukan lain selain mahu menumpukan perhatian kepada keluarga.
“Saya sudah mengemukakan surat permohonan pembatalan kontrak melalui wakil saya kepada pihak KFA dan ketika ini biarlah KFA sendiri yang mengumumkan keputusan berkenaan,” memetik kenyataan yang dikatakan diungkap pemain Kedah itu.
Selepas tersebarnya berita tersebut, penyokong-penyokong Kedah khasnya, mula bersuara mengenainya. Pelbagai reaksi dan andaian dilihat mengenai identiti pemain tersebut selain ada juga yang mengatakan berita tersebut hanyalah khabar angin.
“Azmeer rasanya”
Salah satu nama pemain yang paling banyak disebut adalah pertahanan kiri, Azmeer Yusof, selain Zaquan Adha dan juga beberapa pemain lain yang dilihat sedang rancak berniaga dan mempromosikan aktiviti ‘berniaga’ di laman sosial masing-masing.
Walaubagaimanapun, pertahanan berusia 30 tahun itu dilihat menepati ciri-ciri yang disebutkan dalam laporan tersebut dengan turut memiliki pendapatan stabil di luar kerjayanya sebagai pemain bola sepak – yang bermula sejak tahun 2008 lagi.
Setakat yang diketahui umum, Azmeer Yusof ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah terlibat dalam penjualan ikan selain turut memiliki perniagaan air mineral, kedai gunting rambut serta memiliki syarikat mengutip sampah.
Oleh sebab itu, beberapa penyokong merasakan yang mungkin Azmeer Yusof adalah pemain yang dimaksudkan namun, masih belum ada pengumuman rasmi mengenai perkara ini daripada Azmeer Yusof dan juga Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).
“Jangan fitnah”
Selain itu, masih terdapat sebahagian penyokong yang masih positif dan menganggap berita tersebut mungkin ada unsur fitnah disebabkan tidak menyebut identiti pemain tersebut. Pihak KFA juga dilihat tidak memaklumkan mengenai isu tersebut lagi.
Dalam perkongsian mengenai Mesyuarat Eksekutif KFA yang berlangsung pada 9 Jun lalu dan telah dipengerusikan oleh Timbalan Presiden KFA, dilihat langsung tidak menyebut mengenai permohonan penamatan kontrak oleh mana-mana pemain.
“Sampah punya berita. Jenis duk cakap beliau-beliau. Nampak sangat berita tak tepat. Nak boh nama takut kena saman,” antara komen salah seorang penyokong yang didapati daripada perkongsian berita tersebut.
Kedah ketika ini sedang melalui saat sukar selepas didedahkan memiliki tunggakan gaji sejak Februari lalu sehingga kini. Beberapa pemain telah bersuara melalui media sosial masing-masing sebelum ini seperti Hadin Azman dan Shahril Saari.
Shakir Hamzah pula bersuara
Tunggakan gaji di Kedah terlebih dahulu didedahkan oleh Tengku Mahkota Johor (TMJ) pada April yang lalu sebelum diakui oleh KFA menerusi kenyataan Setiausaha Kehormatnya namun, mempersoalkan campur tangan TMJ mengenainya.
Sejak itu, pemain dilihat menggunakan media sosial masing-masing meluahkan rasa kecewa dengan tunggakan gaji yang dilalui oleh mereka ketika ini, malah terdapat juga khabar yang Renan Alves, pertahanan tengah yang mahu tinggalkan pasukan.
Terbaharu, rakan gandingan Renan Alves, Shakir Hamzah pula dilihat memuat naik status di laman Instagramnya, berkongsi perasaannya yang sakit hati kerana ketiadaan gaji sejak sekian lama. “Sakitnya hati gaji tak ade. Haha,” ungkapnya semalam.
Tidak dapat dipastikan sampai bila perkara ini akan berlanjutan dengan kebenaran untuk pasukan-pasukan Liga Malaysia untuk kembali berlatih sudah diberikan oelh pihak kerajaan. Bagaimana pula dengan situasi di kem Kedah pada ketika ini?
Penutup
Sama ada berita tamat kontrak hanyalah sekadar untuk merancakkan isu tunggakan gaji yang dialami Kedah, ianya wajar diselesaikan dengan kadar segera. Malah, lebih baik perbincangan bersama pemain-pemain diadakan dengan kadar segera.
Jika tidak, sudah tentu ia bakal mengganggu persediaan pasukan dan juga pengendali pasukan, Aidil Sharin Sahak untuk mengembalikan semula moral dan semangat pasukan selepas ini. Adakah mereka akan kembali ke padang untuk berlatih?
KREDIT FEATURED IMAGE: KEDAH FA