Akhbar tempatan, Utusan Malaysia semalam melaporkan sebuah pasukan dari utara tanah air yang terkenal dengan jolokan Singa Utara iaitu Perlis sedang menghadapi krisis kewangan yang sangat teruk.
Menurut laporan itu, segelintir ahli jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) sudah mula meninggalkan persatuan berkenaan kerana tidak mampu bertahan dengan masalah yang melanda pasukan tersebut.
Malah, beberapa pemain pasukan itu juga dilaporkan sudah tidak hadir menjalani latihan selain ada yang pulang ke negeri asal masing-masing.
Perkara ini diakui sendiri oleh Presiden PFA, Ir. Shahrudddin Ismail yang menjangkakan pasukan itu hanya mampu bertahan sehingga bulan depan (April).
Beliau juga turut mendedahkan bayaran gaji pemain masih tertunggak dan pihaknya masih menunggu jawapan daripada beberapa pihak mengenai status permohonan PFA berhubung penajaan pasukan.
“Kita kini sedang menguruskan PFA dalam keadaan yang teruk. Dalam keadaan sekarang, kita mampu bertahan sehingga April ini sahaja.
“Seperti sedia maklum, penajaan PFA hanya datang daripada badan atau syarikat kecil dalam negeri ini, yang sayangkan pasukan bola sepak negeri,” katanya.
Ketika ditanya mengenai status pasukan Perlis dalam saingan Liga FAM, Ir Shahruddin menjelaskan pihaknya masih belum membuat keputusan mengenainya.
“Kita masih menunggu sehingga April ini dan berharap pihak terbabit memberikan maklum balas mengenai status penajaan pasukan PFA.
“Sekiranya isu ini masih tidak dapat diselesaikan, berkemungkinan PFA hanya boleh bermain dengan serba kekurangan,” katanya.
Selamatkan pasukan Perlis
Perlis sebelum ini merupakan antara pasukan gergasi bola sepak negara apabila pernah memenangi pelbagai kejuaraan di peringkat domestik seperti Piala Malaysia pada 2004,2006 dan Liga Super pada tahun 2005.
Era selepas milenia, kita menyaksikan kehebatan pasukan ini menjadi ‘giant-killer’ yang merobek ego pasukan yang besar di Malaysia.
Perlis adalah pasukan yang berjuang dengan cara bola sepak mereka sendiri. Mereka kerap hadir dengan status ‘underdog’ dengan tekanan sangat rendah di dalam padang.
Era Norizan Bakar pada tahun 2004, adalah antara titik tolak penting dalam sejarah pasukan Perlis. Pasukan ini ketika itu dibarisi oleh nama-nama besar seperti Yusri Che Lah yang dibawa masuk dari Perak serta Zainuddin Ariffin dan Manzoor Azwira Abdul Wahid yang dibawa masuk dari Kedah.
Tidak lupa nama seperti Mohd. Khairi Zainuddin, Mohd. Faizal Esahar, Tengku Hazman Raja Hassan, Mohamad Kaironnisam Shahabudin Hussein, Adrien Jurad Chamrong, Amran Omar, Mohd, Anis Faron Arsidi, Mohd. Nazaruddin Zain, Rafiz Abu Bakar, Roslee Md. Derus, Feriza Ismail dan Azizi Mat Rose.
Phillimon Chipeta dan Zacharia Simukonda adalah 2 nama penyerang import yang sering menjadi sebutan peminat bola sepak tanah air dan digeruni oleh pasukan lawan ketika itu.
Setelah mengecapi pelbagai kejayaan dalam saingan Liga Malaysia, pasukan ini yang dahulu mempunyai ramai penyokong tiba-tiba berubah dan mengalami kemerosotan yang teruk.
Pada musim 2011, mereka tersingkir ke Liga Premier untuk musim 2012. Mereka pernah beraksi di Liga FAM pada 2015. Liga yang tidak sepatutnya untuk mereka beraksi. Penyokong mereka sangat kecewa dengan penstrukturan yang lemah oleh badan bola sepak itu.
Sejak itu, nama pasukan Perlis tidak lagi digeruni dan malah penyokong bola sepak tempatan hampir ‘terlupa’ terdapat satu lagi pasukan bola sepak negeri dalam peta bola sepak Malaysia. Ya, nama pasukan bola sepak Perlis semakin dilupai oleh generasi kini dan seolah-olah hilang terus dari Liga Malaysia.
Agak merugikan jika Perlis ‘dilenyapkan’ dari peta bola sepak Malaysia kerana negeri kecil ini ada ramai pemain muda yang berbakat dan telah melahirkan beberapa pemain bintang seperti Syazwan Zainon yang kini beraksi dengan pasukan Kedah dan Zafuan Azeman, penyerang skuad Malaysia Bawah 19 Tahun.
Jika Perlis tiada, ia bermakna bola sepak Malaysia kehilangan satu pool pemain muda yang berbakat dari utara tanah air. Anak muda Perlis akan kehilangan platform untuk ketengahkan bakat mereka di peringkat tertinggi.
Dengan krisis kewangan yang meruncingkan sedang melanda pasukan itu, diharapkan agar terdapat pihak sudi membantu meringankan beban pasukan itu agar Perlis tidak menerima nasib seperti kelab bola sepak yang hebat suatu ketika dahulu seperti MPPJ FC, MK Land, Sime Darby FC dan Public Bank yang menarik diri daripada Liga Malaysia.
Kami di SemuanyaBOLA mendoakan agar pasukan Perlis kembali digeruni seperti dahulu. InsyaAllah, suatu hari nanti muncul seorang “wira” yang akan selamatkan bola sepak Perlis.