Liverpool gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila terikat tanpa jaringan ketika bertemu Bayern Munich, awal pagi tadi.
Namun, bagi bekas pertahanan The Reds, Jamie Carragher, beliau melihat hasil tanpa jaringan di Anfield itu adalah keputusan seri yang terbaik buat Liverpool.
Keputusan seri (berserta jaringan) atau kemenangan sudah pasti akan membawa skuad bimbingan Jurgen Klopp itu ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah 2018/19.
”Mungkin Bayern Munich merasakan perlawanan malam ini (pagi) adalah keputusan yang baik dan ya – rekod di tempat lawan Liverpool juga tidak begitu baik pada musim ini dan penghujung musim lalu, jadi ia perlu diubah untuk mara ke peringkat seterusnya.”
”Tetapi keputusan tanpa jaringan ini adalah keputusan seri yang terbaik yang boleh anda kecapi dan tanpa melepaskan gol di tempat lawan (buat Bayern Munich), ia berada di luar kotak fikiran Bayern Munich.”
”Saya merasakan Liverpool akan lebih yakin mereka mampu untuk menjaringkan gol di Bayern Munich kerana saya melihat (Mats) Hummels begitu cemerlang ketika bertahan tetapi dia berada di posisi yang terlalu ‘deep’.”
”Di gelanggang sendiri, Bayern perlu untuk memenangi perlawanan dan anda boleh menjangkakan permainan ‘high pressing’ diamalkan barisan pertahanan Bayern.”
”Ia akan memberikan lebih ruang buat (Mohamed) Salah. (Sadio) Mane dan (Roberto) Firmino untuk mengeksploitasi peluang terhidang.”
”Jadi, saya tidak merasakan ini merupakan keputusan yang teruk buat Liverpool. Ya, anda pasti mahu memenangi perlawanan dan saya merasakan bermain di tempat lawan, anda perlu berusaha lebih untuk mendapatkan lebih jaringan,”ujar Carragher bercakap kepada Viasport Football.