Wah! Ini merupakan satu kritikan yang cukup pedas diberikan oleh Jamie Carragher.
Bekas pemain pertahanan itu dengan lantangnya mengkritik persembahan Victor Lindelof dalam perlawanan terbaharu beliau.
Bercakap kepada Sky Sports dalam rancangan Monday Night Football, Carragher berasa Lindelof tidak cukup bersedia lagi untuk beraksi di peringkat Premier League.
Pada hemat Carragher, persembahan pemain itu tidak cukup bagus untuk menjadi pemain yang kerap membarisi barisan pertahanan Manchester United.
“Apa sudah jadi di Manchester United apabila pasukan membeli dua pemain pertahanan tengah yang bernilai lebih £30 juta?”
“Maksud saya pemain seperti Victor Lindelof, pada saya kebolehan beliau tidak cukup lagi untuk membolehkan dirinya beraksi di Premier League.”
Walaupun cukup lantang mengkritik persembahan Lindelof, dalam masa yang sama Carragher menzahirkan rasa kasihan kepada pemain tersebut.
“Saya sebenarnya berasa kasihan dengan beliau, Lindelof tidak sepatutnya bermain untuk tahap seperti Premier League.”
Kritikan dari bekas pertahanan Liverpool itu hadir selepas Lindelof melakukan satu kesilapan mudah yang membolehkan Dele Alli melakukan percubaan selepas Manchester United ketinggalan 2-0.
Manchester United tumbang 0-3 di tangan Tottenham Hotspur di laman sendiri tempoh hari untuk membuatkan mereka hanya mengutip 3 mata daripada 3 perlawanan Premier League setakat ini.
Kekalahan tersebut turut mengundang pelbagai andaian adakah pasukan tersebut sedang mengalami pelbagai masalah dalaman terutamanya melibatkan pengurus – Jose Mourinho.