Berapa lamakah yang perlu ditunggu oleh seorang pemain untuk mendapat debut penuh? Seminggu? Sebulan? Satu musim?
Ataupun 13 tahun?
Bagi penjaga gol Plymouth Argyle, James Bittner, beliau terpaksa menunggu 4,991 hari atau 13 tahun untuk mendapat tempat kesebelasan utama pasukannya.
Pada usia 33 tahun, James Bittner membuat debut penuhnya yang pertama selepas membantu pasukannya, Plymouth Argyle menewaskan York City 2-1 pada 14 November 2015 lepas.
Perlawanan itu adalah kali pertama Bittner merasa suasana Football League sebagai pemain kesebelasan utama.
Pencapaian terbaiknya sebelum ini adalah dinamakan sebagai penjaga gol simpanan Bournemouth pada 2002.
Pilihan kedua atau ketiga sahaja
Sepanjang kariernya, Bittner hanya memanaskan bangku simpanan sebagai penjaga gol ke-2 atau ke-3 untuk pelbagai kelab. Bittner memulakan karier bola sepaknya di Swindon Town sebagai pemain muda.
“Saya bermula di Swindon, kemudian saya pergi ke Fulham yang bermain di Premier League. Saya juga pernah ke Championship, Football League 1 dan Football League 2. Tapi saya hanya menjadi pilihan kedua dan ketiga sahaja.”
Selepas 3 kali bertukar kelab, Bittner akhirnya menjadi penjaga gol utama Exeter City pada musim 2003/04. Tetapi ketika itu, kelabnya hanya bermain dalam liga Conference, liga ke-5 England.
Selepas menyerlah di Exeter City, Bittner kembali ke Football League dengan kelab baru, Torquay United. Tetapi sekali lagi, Bittner dilihat sebagai pilihan ke-2.
Bersama AFC Bournemouth, Torquay United dan Newport County, Bittner hanya menduduki bangku simpanan dan tak pernah merasa nikmat bermain dalam 4 liga teratas England.
“Amat mengecewakan apabila anda telah beri sepenuhnya dan bekerja keras untuk itu namun masih tidak mendapat ganjarannya. Kadangkala terdetik di hati, tolonglah beri saya peluang.”
Faktor WOW
Posisi penjaga gol adalah posisi yang memerlukan faktor “WOW” pada usia muda untuk mendapat tempat dalam pasukan. Namun, faktor itu tiada dalam diri Bittner.
“Adalah sukar bagi penjaga gol melainkan anda berjaya membuktikannya pada usia yang muda. Jika anda tidak membuktikannya pada usia muda, anda akan sentiasa menjadi pilihan kedua atau ketiga,” katanya.
Debut penuh pertama
Pada musim panas 2014, Bittner memperoleh perpindahan ke Plymouth Argyle dan digambarkan olehnya sebagai “peluang seumur hidup”.
Beliau dapat merasai aksi Football League sebagai pemain gantian, ketika menentang Moracambe yang berakhir dengan 1-1.
Dan pada 14 November, Bittner dapat juga merasai debut penuh di Football League selepas penjaga gol utama Plymouth, Luke McCormick menghadapi kecederaan beberapa hari sebelum perlawanan.
Bittner melakukan debut penuh menentang York City di tempat lawan dan pasukannya menang 2-1.
Walaupun bolos, namun Bittner tetap mengutamakan keputusan pasukan berbanding debut penuhnya itu.
“Agak kecewa kerana tidak berjaya untuk tidak dibolosi, namun tiga mata tetap tiga mata.”
Baca juga: Latihan Penjaga Gol Yang Unik Ini Punca Mengapa AS Monaco Baru Bolos 1 Gol Dalam Champions League