Lagenda bek kanan skuad negara di era 70-an dan 80-an, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata yang ia tidak akan mengejutkan sekiranya saingan Piala Malaysia 2020 tidak diadakan berikutan pandemik COVID-19 yang sedang melanda dunia ketika ini.
Walaupun belum ada ketetapan rasmi daripada badan bertanggungjawab iaitu Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), namun ia adalah satu langkah yang perlu dek kerana saingan liga yang telah ditangguhkan kini.
Liga Malaysia ditangguhkan sehingga dimaklumkan semula selepas arahan kerajaan untuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang penularan wabak tersebut. Setakat ini, ianya dijangka belarutan sehingga 14 April depan.
Menurut Jamal Nasir lagi, ia bakal tercatat dalam sejarah bola sepak yang kejohanan tersohor di Asia itu bakal buat pertama kalinya tidak diadakan pada penghujung tahun ini. Piala Malaysia merupakan antara kejohanan bola sepak yang tertua di Asia.
“Saya tidak terkejut sekiranya saingan Piala Malaysia musim ini tidak dapat diadakan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama sebulan yang memaksa banyak perlawanan Liga Super ditangguhkan,” memetik kata Jamal Nasir di Berita Harian.
“Sekiranya saingan Piala Malaysia tetap ingin diadakan beberapa masalah akan timbul terutama membabitkan kontrak pemain yang akan tamat pada 30 November sedangkan perlawanan berlanjutan hingga Disember,” tambahnya lagi.
Jamal Nasir yang pernah menyandang jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) Teknikal dan Pembangunan Belia di FAM pada satu masa dahulu itu turut berkata yang FAM sebagai badan induk bola sepak perlu hadir dengan satu jalan penyelesaian ketika ini.
Baginya, beliau tidak kisah dan tiada masalah sekiranya saingan Piala Malaysia dibatalkan untuk musim ini. Bukan sahaja di Malaysia, satu dunia sedang berdepan masalah yang sama, malah Sukan Olimpik turut telah ditunda ke tahun hadapan.
Katanya, tahun ini boleh dikatakan tahun suram dan lesu buat semua acara sukan di negara ini dan juga seluruh dunia, dan tempiasnya pasti akan dirasai oleh golongan pemain serta atlet yang akan merosot sumber pendapatan utama mereka.
Begitupun, Jamal Nasir mengharapkan agar pihak majikan akan berbincang dengan para pemain yang akan terjejas sekiranya pemotongan gaji dilakukan.
“Ia membabitkan periuk nasi seseorang yang terpaksa menyara keluarga dan juga membayar hutang,” jelas Jamal Nasir yang turut berkata ini bukanlah salah FAM tetapi atas faktor kesihatan dan keselamatan para pemain dan semua pihak.
KREDIT FEATURED IMAGE: ZULKEPLI OSMAN / BERITA HARIAN