Jamal Nasir: Pengurusan Yang Profesional Lebih Penting Dari Nama Kelab

Jamal Nasir

Bekas pemain skuad kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail mempunyai pendapat beliau yang tersendiri berhubung isu nama pasukan yang pada ketika ini menjadi isu hangat selepas pasukan-pasukan telah mendapat kelulusan proses penswastaan.

Kedah, Pahang dan Perak menjadi pasukan yang mencuri tumpuan sebaik sahaja berjaya diswastakan apabila pemilihan nama pasukan dilihat mendapat tentangan para penyokong.

Pahang yang pada mulanya dikatakan memilih Sri Pahang FC telah membuat hebahan mengenai pertandingan mencipta logo dan nama pasukan. Perkembangan itu mungkin memberikan gambaran jelas bakal terdapat perubahan atau pusingan ‘U’ terhadap keputusan awal itu.

Manakala, kem Kedah juga menyaksikan wakil Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sudah membuat sesi perbincangan bersama kelab peminat bagi menerangkan perkara sebenar di sebalik apa yang sedang melanda.

Mengulas mengenai perkembangan terkini itu, Jamal Nasir menegaskan bahawa nama pasukan bukanlah perkara utama bagi sesebuah kelab untuk mencipta kejayaan.

Menurut sumber Berita Harian (BH) Online, beliau melihat aspek pengurusan yang dikendalikan secara profesional perlu dipandang dengan lebih serius serta menjadi keutamaan buat sesebuah kelab.

“Jangan fikir nama (pasukan) itu Hanelang ke, Boboi FC ke, yang penting sekarang ini kita sudah mula bergerak ke satu langkah yang mana semua pasukan mesti diswastakan.”

“Jadi bila swasta, banyak rintangan perlu dilalui dan kita kena bagi sokongan. Jangan kecam, ini nama (pasukan) pun sudah kutuk, bagaimana bola sepak kita nak terus maju.”

“Peminat tahu membantah sahaja, mereka tak tahu apa rasionalnya. Kadang-kadang apa yang dibuat oleh pengurusan bersebab, bukan suka-suka.”

“Nama tak penting, macam Pahang nak letak Tok Gajah FC ke apa, tak penting kerana apa yang penting sekali adalah pengurusan yang profesional,” tambah Jamal Nasir lagi.

Leave a Reply