Kuala Lumpur (KL) City FC akan melalui dua aksi di gelanggang sendiri di Cheras berdepan Melaka United dan Sabah FC dengan kapten, Paulo Josue sifatkan ia akan membantu mereka untuk kembali mendapat rentak.
Bukan mudah untuk bangkit daripada dua kekalahan kepada Kedah Darul Aman FC diikuti Johor Darul Ta’zim (JDT) dan jika mereka tidak bangkit, Paulo Josue jangkakan segalanya akan bertambah buruk buat mereka.
KL City belum meraih tiga mata penuh selepas membuka tirai saingan Liga Super 2022 dengan terikat 3-3 menentang Selangor FC diikuti tewas 2-3 kepada Kedah dan 0-3 kepada JDT. Kekalahan kepada JDT juga menyaksikan mereka tewas buat kali pertama di halaman sendiri sejak musim lalu dan selepas 23 aksi.
✅ Darren Lok Hatrik
✅ Rekod tanpa kalah KL City di Cheras lebur
✅ Kedah & JDT rekod 100% https://t.co/b4VeDOWoxB— Pemain Ke-12 (@pemain_ke_12) April 6, 2022
Walaupun kurang enak didengar, di saat Melaka United berprestasi kurang baik dan terjejas emosi apabila dikhabarkan mengalami masalah tunggakan gaji, mungkin ini dilihat saat terbaik buat KL City bangkit semula.
Menurut Paulo Josue yang bercakap kepada New Straits Times, “Kami ada peluang untuk dapatkan mata dalam dua aksi di halaman sendiri selepas ini. Saya bukan hanya bercakap sahaja, tetapi kami perlu buktikan.”
“Kami cipta beberapa peluang ketika berdepan JDT. Namun kami perlu manfaatkannya dan mula meraih mata demi mata dalam aksi. Bermain tanpa meraih sebarang mata ini akan menjejaskan keyakinan para pemain.
“Kami perlu tunjukkan permainan sebenar kami seperti berdepan Selangor dalam pra musim,” tegasnya.
Dan dengan kembalinya peledak sensasi mereka musim lalu, Romel Morales, ini satu lonjakkan tambahan.
KL City dan Melaka United berkongsi satu mata dan berada di pertengahan liga selepas tiga perlawanan. Tanpa sebarang kemenangan, kedua-duanya pasti akan memburu tiga mata penuh sulung dalam aksi malam nanti.
Melaka United memiliki barisan pemain berkualiti pada musim ini termasuklah berjaya memancing masuk penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Ifedayo Olusegun, tetapi segalanya tak menjadi buat mereka.
Ifedayo Olusegun masih gagal meledak sebarang gol selain Sony Norde yang menyerlah musim lalu di bawah kendalian Zainal Abidin Hassan juga dilihat tenggelam. Melaka United benar-benar terjejas pada ketika ini.