Jadon Sancho: Pemain Muda Yang Berani Membelakangkan Guardiola Untuk Ke Dortmund Demi Impian

Bilakah kali terakhir penyokong bola sepak di England teruja dengan bakat baru yang mampu mengegarkan bola sepak Eropah dan dunia?

Michael Owen tampil pada usia 18 tahun, dan memberikan impak dalam kejohanan Piala Dunia 1998 di Perancis. Kemudian tampil Wayne Rooney yang melakukan debut pertama di usia 17 tahun, sebelum menjadi penjaring terbanyak untuk negaranya dengan 53 gol.

(Photo by Ben Radford/Getty Images)

Kedua-duanya sudah mengumumkan persaraan daripada bola sepak antarabangsa, walaupun Rooney masih lagi beraksi di MSL bersama DC United selepas meninggalkan Everton pada Jun lalu.

Tetapi siapakah Jadon Sancho? Mengapa penyokong England dan kebanyakkan penganalisa bola sepak teruja dengan pemain ini?

Jadon Malik Sancho

Jadon Malik Sancho bakal menjadi pemain pertama yang lahir di era millenium untuk menyarung jersi skuad kebangsaan England sekiranya diturunkan dalam mana-mana dua perlawanan Nations League pada hujung minggi ini.

Beraksi di posisi penyerang, Sancho dilahirkan pada 25 Mac 2000 di Camberwell, England. Bagaimanapun, kedua-dua ibu bapa beliau sebenarnya berasal dari Trinidad & Tobago.

(Photo by Clive Brunskill/Getty Images)

Peringkat pembangunan

Perjalanan karier Sancho sangat luar biasa sejak lima tahun yang lalu.

Seperti mana-mana anak muda yang lain, Sancho mempunyai impian.

Pada usia 13 tahun, beliau pernah memberitahu jurulatih akademi Watford, Louis Lancaster bahawa beliau mahu beraksi untuk salah sebuah kelab utama di Eropah, dan membuatkan keluarganya rasa bangga dengan menyarung jersi England.

Manchester City’s Jadon Sancho. (Photo by Tom Flathers/Manchester City FC via Getty Images)

Sancho hanya berusia tujuh tahun ketika baru menyertai akademi bola sepak Watford.

Pada usia 12 tahun, beliau meninggalkan kediaman di selatan London untuk berkelana di Akademi Bola Sepak Harefield yang terletak di Uxbridge untuk memberikan fokus sepenuhnya kepada bola sepak.

Akademi Harefield ialah sebuah sekolah bola sepak yang turut memberikan penekanan kepada pendidikan kepada pelatih, dalam memastikan pembangunan secara holistik.

Manchester City’s Jadon Sancho, Joel Latibeaudiere and Edward Francis in training. (Photo by Victoria Haydn/Manchester City FC via Getty Images)

“Jadon [Sancho] berusia 14 tahun ketika pertama kali saya bertemu beliau. Tetapi Watford segera menjadikan beliau pemain skuad Bawah 15.

“Ia keputusan yang tepat. Beliau adalah seorang bakat yang fenomena, tetapi mempunyai saiz badan yang agak kecil.

“Apabila beraksi bersama pemain-pemain yang lebih dewasa, ini membenarkan beliau membentuk teknik dengan lebih baik, agar beliau tidak mudah dijatuhkan lawan kemudian hari,” ujar Lancaster mengenang kembali detik melatih Sancho.

Dari Watford ke Manchester City

Sancho ialah seorang pemain bola sepak jalanan di usia kanak-kanak.

Mempunyai skill yang menarik, dan teknik luar biasa membuatkan beliau sebagai tumpuan di kalangan jurulatih-jurulatih sekitar Camberwell sehingga ke Watford.

Manchester City’s Jadon Sancho on the ball. (Photo by Victoria Haydn/Manchester City FC via Getty Images)

Salah satu kelebihan Sancho ialah untuk tampil menghasilkan jaringan atau bantuan gol di saat genting, menunjukkan keyakinan anak muda ini.

Kemampuan Sancho pantas mendapat perhatian pencari bakat Manchester City, dan pemain tersebut berhijrah ke Manchester pada 2015, pada usia 15 tahun dengan nilai  £66,000.

Skuad remaja England

Satu ketika dahulu, Pengerusi Manchester City, Khaldoon Al Mubarak berdasarkan laporan yang diterimanya menyatakan Sancho adalah salah seorang dari tiga bakat muda dari akademi Manchester City yang berpotensi besar.

Ketika bersama City, nama Sancho terus menjadi sebutan dan kelibat beliau turut dipanggil untuk membintangi skaud B-17 England, yang muncuk naib juara UEFA B-17 pada Mei tahun lalu.

VOLUNTARI, ROMANIA – OCTOBER 30: Jadon Sancho of England celebrates after the UEFA Under-17 EURO Qualifier between U17 Austria and U17 England on October 30, 2016 at Anghel Iordanescu stadium in Voluntari, Romania. (Photo by Ronny Hartmann/Getty Images)

Dalam kejohanan tersebut, Sancho turut dinobatkan sebagai UEFA European Under-17 Championship Golden Player, dan berada di dalam UEFA European Under-17 Championship Team of the Tournament.

Anugerah Golden Player UEFA itu adalah anugerah yang sama pernah dimenangi oleh pemain-pemain seperti Mario Götze, Toni Kroos, Cesc Fabregas dan Wayne Rooney pada usia yang sama.

Khaldoon Al Mubarak tidak silap mengenai telahan beliau. Namun apa yang terjadi selepas itu pasti tidak menggembirakan jutawan Abu Dhabi itu.

Sancho tidak endah tawaran Guardiola

Pep Guardiola pernah menuduh Sancho melanggar perjanjian lisan untuk pemain itu menandatangani kontrak profesional untuk kekal di Etihad.

Namun Guardiola tidak menolak kenyataan pemain itu akan mendapat lebih peluang untuk memperagakan bakatnya jika beraksi bersama pasukan lain.

(Photo by Victoria Haydn/Manchester City FC via Getty Images)

Sebelum kempen 2017/18 bermula, Sancho dilaporkan menolak tawaran bernilai £30,000 seminggu dari Manchester City dalam projek yang membenarkan pemain itu menerima £10 juta setahun pada masa hadapan dari kelab tersebut.

Namun wang bukan segala-galanya buat Sancho. Untuk memastikan bakatnya terus berkembang, pemain muda itu memilih untuk menyertai Borussia Dortmund dengan nilai £8 juta.

‘Wonder kid’ Die Schwarzgelben

Idola Sancho ialah bekas pemain dan legenda Brazil, Ronaldinho. Manakala aksi beliau persis milik Neymar.

Itu disebabkan kebolehan beliau melepasi kawalan pihak lawan dalam situasi satu lawan satu, atau memecah kelompok pertahanan lawan untuk mencari ruang.

(Photo by Lukas Schulze/Bundesliga/DFL via Getty Images )

Itulah yang ditulis di dalam satu artikel temubual bersama Dortmund oleh Bundesliga.

Walaupun memulakan karier sebagai penyerang ketika di Watford, Sancho beraksi sebagai pemain sayap untuk City dan Dortmund.

Pemain dengan baka seperti ini masih boleh terus dibangunkan sebagai trequartista pada masa hadapan kerana efektif di bahagian serangan.

(Photo by TF-Images/Getty Images)

Pada September 2017, Sancho adalah sebahagian daripada anggota skuad England B-17 yang beraksi di Piala Dunia B-17 yang berlangsung di India.

Beliau diturunkan di dalam setiap aksi peringkat kumpulan, sebelum dipanggil kembali oleh Dortmund untuk aksi di UEFA Champions League.

Ketika itulah bintang Sancho mulai menyinar.


Walaupun dipanggil untuk kembali menyertai skuad Dortmund pada ketika itu, debut Sancho untuk Dortmund hanya hadir pada Oktober, untuk membantu pasukannya mengikat Eintracht Frankfurt 2-2 dalam saingan Bundesliga.

Sejak daripada itu, Sancho telah merekodkan 18 penampilan, dan merupakan pemain dengan rekod bantuan gol tertinggi setakat ini di kalangan liga utama di eropah.

Enam bantuan gol daripada 124 minit penampilan musim ini ialah sebab utama Southgate turut mengalihkan perhatian beliau kepada aksi pemain ini di Jerman.


Musim lalu, Sancho sudah pun menghasilkan satu gol dan empat bantuan gol.

Secara keseluruhan, Sancho telah menghasilkan dua gol dan 12 bantuan gol untuk Dortmund setakat ini dalam semua pertandingan.

Kehebatan prestasi beliau pada musim ini membuatkan Dortmund segera melanjutkan kontrak Sancho sehingga 2022.

Siapa yang boleh meramalkan setakat mana kemampuan pemain ini pada masa hadapan?

Panggilan ke skuad utama ‘The Three Lions’

Ia bagaikan mimpi menjadi realiti buat Sancho apabila mendapat panggilan daripada Gareth Southgate untuk menyertai skuad utama England.

Satu lagi impian beliau iaitu untuk membuatkan keluarganya berbangga bakal tercapai.

Southgate tidak berselindung untuk menyatakan kekaguman beliau terhadap Sancho. Ia bukan mengenai prestasi yang ditampilkan oleh pemain muda itu di Bundesliga, juga kerana pemain tersebut berani untuk keliar dari England untuk mendapatkan peluang beraksi.

“Sancho melalui peningkatan prestasi yang amat cepat. Beliau juga beraksi dengan baik.

(Photo by Simon Stacpoole/Offside/Getty Images)

“Saya berpendapat keputusan beliau untuk berhijrah ke Jerman menjelaskan karakter yang dimiliki anak muda ini,” jelas Southgate ketika menjelaskan pilihan beliau untuk memanggil Sancho ke dalam skuad utama England.

Rumusan

Dua perlawanan Nations League menentang Croatia pada awal pagi nanti dan Sepanyol empat hari kemudian pasti menjadi perlawanan yang dinanti-nantikan oleh peminat England.

Nama Sancho mungkin masih asing bagi peminat bola sepak di Malaysia. Siapa tahu, satu hari nanti pemain berusia 18 tahun ini bakal menjadi sebaris bintang utama bola sepak dunia yang lain.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN