Pemain Manchester City, Jack Grealish berasa yakin yang kelabnya mampu untuk layak ke perlawanan akhir UEFA Champions League (UCL) musim ini.
Selepas terikat seri 1-1 dengan Real Madrid dalam aksi pertama di Sepanyol, Grealish berasa yakin kejayaan mampu diraih atas faktor bermain di laman sendiri.
Seri dalam aksi yang cukup mendebarkan di laman lawan dan bakal bertarung semula di gelanggang sendiri memberikan keyakinan kepada Grealish yang City akan ada segala kelebihan berbanding Real.
Pada hemat Grealish, City terlalu kebal di Etihad.
“Di Etihad, kami begitu sukar untuk ditewaskan,” kata Grealish selepas perlawanan.
City dan Real terikat di Sepanyol dengan jaringan 1-1 selepas rembatan Kevin de Bryune menafikan gol daripada Vinicius Jr.
Bagi pemain kebangsaan England ini, apa yang terjadi kepada City sebelum ini telah mengajar mereka apa yang perlu dibuat dengan lebih baik untuk merealisasikan impian menjadi juara Eropah.
Dengan adanya skuad baharu yang lebih segar dan mantap, misi menjadi juara UCL boleh dijayakan tanpa sebarang kegagalan.
“Kami banyak belajar daripada apa yang berlaku pada tahun lalu. Tahun ini kami ada pasukan baharu, pemain yang berbeza.
“Kami mempunyai keseimbangan yang sempurna antara pemain berpengalaman serta bintang muda yang berkelas dunia. Saya tak pernah berasa begitu yakin [seperti sekarang] apabila turun di padang dengan pemain-pemain di sekeliling saya,” ujar Grealish lagi.
City dalam misi untuk cuba kembali ke perlawanan akhir UCL selepas kali terakhir mereka mara ke peringkat tersebut berakhir dengan kegagalan.
Sebelum ini, City kalah kepada Chelsea 1-0 pada perlawanan akhir edisi 2021.