Bekas pertahanan kental Manchester United, Jaap Stam mendedahkan bahawa rakan sepasukan beliau pada ketika itu yang juga merupakan legenda The Red Devils, David Beckham pernah menghalangnya dari meninggalkan kelab tersebut.
Stam dan Beckham pernah berada di bawah ‘satu bumbung’ selama tiga musim selepas Stam menyertai Manchester United pada musim 1998/99 dan kemudiannya meninggalkan kelab tersebut [2001/02] untuk bersama kelab Serie A, Lazio.
Mengimbau kembali nostalgia mereka ketika bersama dalam satu pasukan, Stam yang kini menjawat tugasan selaku pengurus FC Cincinnati mengakui pemergiaannya ke Lazio begitu mengejutkan sebahagian besar rakan sepasukannya.
”Setibanya saya di Rome, saya telah mendapat satu panggilan dari David Beckham,” ujar Stam menurut laporan dikeluarkan Goal.
”Skuad United telah bercakap tentang perkara ini dan dia menunjukkan perasaannya secara umum di antara mereka bahawa saya seharusnya kekal bersama pasukan.”
”Pemergian saya adalah tamparan hebat buat semua, tiada siapa pun yang menjangkakan perkara ini akan terjadi. Ia amat bagus untuk saya mendengar mengenai perkara tersebut daripadanya, dan ia menunjukkan betapa rapatnya kami sebagai satu pasukan.”
”Amat sukar buat saya memilih untuk pergi meninggalkan kelab ini, tetapi memandangkan situasi pada masa itu, saya merasakan lebih baik buat saya untuk pergi.”
Selepas meninggalkan Manchester United, Stam memilih untuk beraksi bersama Lazio selama tiga musim dan kemudiannya berhijrah pula ke AC Milan. Setelah berbakti selama dua musim di San Siro, beliau akhirnya memilih untuk kembali ke negara kelahirannya untuk menyarung jersi Ajax.
Tamat musim 2007/08, Jaap Stam mengumumkan persaraannya selepas hampir 16 tahun ‘bergelumang’ di pentas bola sepak profesional. Sepanjang kariernya, beliau telah membuat 553 penampilan di peringkat domestik manakala 57 kali beraksi bersama skuad kebangsaan Belanda.