Pemain sayap menyerang Perak, J. Partiban dipetik berkata di The Star yang penyokong The Bos Gaurus boleh melihat sisi baharu permainannya pada musim depan kerana beliau sedang giat untuk memperbaiki skil dan permainannya untuk menjadi lebih baik.
Menurutnya, dalam usia mudanya, J. Partiban bukanlah seperti yang semua kenali ketika ini iaitu banyak membuat larian-larian deras untuk menewaskan benteng lawan serta sentiasa membuat hantaran-hantaran pendek dan lintang kepada jentera serangan.
“Ramai yang menganggap saya adalah pemain yang akan bantu jentera serangan dengan membuat hantaran rendah dan lintang serta menewaskan pertahanan lawan dengan larian-larian pantas, tetapi kali ini saya mahu memperbaiki skil rembatan saya,” jelasnya.
“Masa muda-muda dulu, saya banyak buat rembatan,” tambahnya lagi yang kini berusia 27 tahun dan memiliki 2 kaps antarabangsa.
“Saya mahu menjadi yang lebih bagus pada 2020. Pada 2019, saya telah diberikan ruang bermain dan buktikan saya boleh bermain.
“Saya mahu kembali ke dalam skuad kebangsaan dan menang satu piala bersama Perak,” jelasnya yang kali terakhir beraksi ketika tewas 1-2 UAE dalam kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Menganggap usia 27 tahun adalah kemuncak kepada kariernya, beliau akan terus bekerja keras memperbaiki segala kekurangan dalam permainannya musim lalu seterusnya cuba untuk mendapat perhatian pengendalu skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.
J. Partiban kembali ke Perak pada musim lalu selepas berkelana ke Sarawak dan Terengganu seterusnya telah berusaha keras memikat pengendali Perak, Mehmed Durakovic untuk kesebelasan utama.
Menjadi pilihan utama selepas setengah musim, J. Partiban selepas itu dipanggil untuk bersama skuad kebangsaan yang baginya satu pencapaian yang baik namun, sedikit tercalar kerana telah gagal membantu Perak menjulang trofi Piala FA – tewas kepada Kedah.
“Sedikit mengecewakan pada musim 2019 adalah Perak layak ke pentas akhir Piala FA tetapi tewas 0-1 kepada Kedah. Kini, saya di usia puncak, saya mesti menang sesuatu. Saya mahu tunjukkan kepada semua yang saya mampu bantu pasukan menjulang trofi.
“Saya tidak melihatnya sebagai satu kemegahan tetapi sebagai motivasi,” ujarnya mengenai namanya yang kian meniti di bibir penyokong selain dicalonkan untuk Anugerah Penyerang Terbaik di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2019 yang lalu.
Kredit Foto: Perak TBG