Penjaga gol skuad kebangsaan Singapura, Izwan Mahbud bersetuju untuk menerima pengurangan 25 peratus gajinya untuk melengkapkan perpindahan ke kelab Thailand League 2 (TL 2), Nongbua Pitchaya FC.
“Perpindahan saya ke Thailand tidaklah bermotivasikan wang. Saya bertekad untuk meningkatkan prestasi saya.”
“Saya perlu korbankan beberapa perkara tetapi berharap cabaran baharu ini membuahkan hasil di masa depan,” ujar pemain berusia 27 tahun itu kepada The Straits Times.
“Saya sentiasa mahu beraksi di luar negara dan saya bersyukur dengan peluang ini,” tambahnya lagi yang akan memulakan latihan bersama Nongbua pada 1 Januari depan.
Izwan menjadi pemain Singapura kedua selepas Hassan Sunny untuk beraksi di Thailand. Hassan Sunny kini merupakan penjaga gawang Army United, juga beraksi di TL 2.
Selain Izwan dan Hassan yang berkelana ke luar, beberapa pemain utama Singapura juga dilihat telah mula mencari peluang untuk beraksi di luar Singapura.
Ini termasuklah Harris Harun yang kembali ke pangkuan JDT selepas semusim dipinjam ke Home United, Madhu Mohana (Negeri Sembilan) dan Safuwan Baharudin (Pahang).
“Kejayaan Hassan membuktikan bahawa penjaga gol Singapura mempunyai keupayaan untuk menjadi antara yang terbaik di Asia Tenggara dan saya juga yakin mampu untuk melakukannya,” jelasnya lagi.
Nongbua Pitchaya FC menamatkan musim sulung mereka di TL 2 pada kedudukan yang sangat baik, iaitu di kedudukan ke-8 daripada 18 pasukan bertanding.
Dan, tindakan Izwan menyertai kelab ini dilihat satu langkah yang baik untuk meningkatkan kariernya sebagai pencabar Hassan Sunny untuk posisi penjaga gawang utama Singapura.
“Nongbua cukup kompetitif dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan saya berharap dapat memberikan perubahan yang besar buat mereka,” jelas Izwan.
“Penjaga gol tidak selalu mendapat peluang sebegini, jadi ini adalah perkara yang besar bagi saya,” ujar Izwan yang pernah menjalani pemilihan di kelab J-League 2, Matsumoto Yamaga pada 2015, kepada FourFourTwo.
Ia adalah berikutan aksi cemerlang Singapura mengikat Jepun dengan keputusan 0-0 pada Jun 2015, dan ianya dibantu oleh Izwan yang telah melakukan 18 aksi menyelamatkan gawangnya.
“Ianya pasti sukar tetapi saya yakin saya akan dapat sesuaikan diri dengan baik di sana,” tambah Izwan lagi sebelum menutup bicaranya.