Penjaga gol berpengalaman Sri Pahang, Izham Tarmizi menjadi antara pemain paling bersemangat untuk aksi seterusnya membabitkan pasukan tersebut menentang Penang pada Ahad ini bagi aksi Liga Super 2023.
Terdahulu, Sri Pahang gagal untuk merekodkan sebarang kemenangan sejak dua perlawanan berturut-turut dengan sekadar terikat seri ketika bertemu Terengganu serta tewas mengejut di tangan PDRM.
Keputusan tersebut menyaksikan mereka dipintas oleh Sabah di kedudukan keempat dan sudah tentu ingin dikejar kembali oleh Tok Gajah sebelum persaingan Liga Super 2023 tamat.
Menentang Penang pada Ahad ini, ianya dilihat sebagai suatu peluang terbaik buat skuad tersebut untuk kembali mendapatkan tiga mata penuh.
Ini kerana prestasi Penang boleh dianggap sangat tidak konsisten serta masih kemarau dalam kemenangan Liga Super sejak beberapa perlawanan lalu.
Sudah tentu skuad kendalian Fandi Ahmad tidak ingin melepaskan peluang ini dengan beberapa pemain utama mereka juga berada dalam prestasi terbaik untuk dibawa turun.
Melihat kepada situasi tersebut, Izham ingin memastikan kemenangan dapat dilakar Sri Pahang walaupun mereka bakal beraksi di gelanggang lawan iaitu Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.
Malah, penjaga gol berpengalaman itu juga berharap supaya episod kekalahan lalu mereka kepada PDRM tidak lagi berulang untuk aksi akan datang.
“Kami perlu memanfaatkan baki tiga perlawanan Liga Super bermula dengan Penang FC kerana selepas itu akan berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur (KL) City FC.
“Kami tidak boleh terlepas mata jika mahu berada pada kedudukan lima terbaik musim ini.
“Pada masa sama, kami masih berpeluang untuk berada antara kedudukan ketiga dan keempat liga,” kata Izham menerusi laporan yang sebelum itu dikeluarkan oleh Harian Metro mengenai aksi tersebut.
Pada masa sama, Izham tetap ingin berwaspada pada perlawanan akan datang dengan beliau bersama rakan sepasukan tidak ingin memandang ringan cabaran pasukan lawan.
Ini kerana Penang juga dianggap beliau semakin baik daripada segi corak permainan serta beliau menuntut Sri Pahang untuk memberi fokus penuh sepanjang tempoh 90 minit aksi berlangsung.