“Itu Spekulasi Sahaja” – Nafuzi Nafi Setuju Sertai Kedah, Masih Tunggu Kontrak Baharu Terengganu

Nafuzi Zain Piala Malaysia 2021 merendah diri Kedah

Sedang hangat berkicau khabar angin tentang pengendali baharu Kedah musim hadapan yang mengaitkan nama Nafuzi Zain sebagai calon utama.

Nafuzi berada di bulan-bulan terakhir kontraknya bersama Terengganu FC dan secara tiba-tiba semakin hangat dikaitkan bakal berhijrah keluar.

Dalam satu perkongsian wartawan Astro Arena, Fina Nasrom sebelum ini, dapat dilihat seperti beliau memberi petanda yang Nafuzi bakal ke Kedah.

Malah, media-media tempatan juga dilihat ghairah tentang masa depan pengendali yang bakal menginjak ke usia 44 tahun itu pada Oktober depan.

Antaranya perkongsian oleh penulis portal bola sepak tempatan ini yang seperti memberi khabar yang kedua-dua pihak sudah mencapai kata putus.

Walaupun tidak dinyatakan identiti pengendali itu, namun berdasarkan usia dan khabar angin melibatkan kedua-dua entiti, ia menjurus kepada Nafuzi.

Hasil temu bual Semuanya BOLA bersama pengendali, Aidil Sharin Sahak tempohari seperti menampakkan beliau juga berada di hujung kontraknya.

Beliau menyerahkan segalanya kepada pihak pengurusan untuk masa depannya bersama pasukan dan mengakui sangat sayangkan pasukan.

Beliau turut menyatakan sama ada beliau dikekalkan atau tidak, pihak pengurusan perlu melihat kepada peningkatan kepada cara kerja mereka.

Jika saya dikekalkan, harapan sudah pasti agar pengurusan dapat meningkatkan juga cara kerja mereka seperti menyediakan fasiliti, menguruskan gaji dengan baik, serta beberapa hal lagi. Mana-mana jurulatih baharu yang akan menyertai KDA pun pasti mengharapkan perkara yang sama agar ada perubahan lebih baik dibuat pengurusan.”

EKSKLUSIF: Aidil Sharin Sayangkan Kedah Tapi Serah Nasib Kepada Pengurusan

Jadi, untuk lebih jelas dengan situasi itu, Semuanya BOLA menghubungi Nafuzi untuk penjelasan lanjut mengenai situasi yang hangat ketika ini.

“Tiada kaitan pun antara saya dan Kedah. Saya sendiri tidak pernah nyatakan saya akan ke Kedah dan tiada ‘official’ lagi saya ke Kedah.”

“Saya pun masih menunggu tawaran daripada TFC. Fokus saya adalah untuk memastikan TFC layak ke [Piala] AFC dan [untuk] Piala Malaysia.”

Begitulah penegasan yang diperolehi daripada pengendali kelahiran Kelantan itu yang menunjukkan bahawa komitmennya masih untuk Terengganu dan kita masih belum di penghujung saingan Liga Malaysia 2022 untuk berbincang mengenai masa depannya secara lebih mendalam.

“Itu hanya spekulasi sahaja sebab belum ada tawaran daripada TFC.”

Sebelum ini Nafuzi juga pernah menafikan khabar yang beliau bakal menyertai Selangor FC dan ternyata benar pasukan tersebut melantik Tan Cheng Hoe sebagai pengendali baharu mereka. Menariknya, musim lalu Terengganu juga agak ‘lewat’ menawarkan kontrak baharu kepadanya.

Leave a Reply