Isu Tunggakan Gaji: Sebuah Perhambaan Moden Yang Bola Sepak Malaysia Perlu Hentikan

Perlis

Nota editor: Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis dan bukannya mewakili Semuanya BOLA sebagai sebuah organisasi

Minggu ini, isu paling hangat dalam bola sepak Malaysia adalah melibatkan isu tunggakan gaji pemain.

Pendedahan mengejutkan oleh Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) yang sebanyak RM 6.4 juta tunggakan gaji tidak diselesaikan oleh pelbagai pasukan Liga Malaysia cukup mengejutkan.

Pendedahan ini bagaimanapun mendapat reaksi kurang senang oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL).

Malah, FAM turut menempelak PFAM di media dengan mengatakan entiti itu seolah ada agenda tersembunyi dengan mendedahkan perkara itu.

Dalam masa yang sama, MFL turut senada dengan FAM dalam isu ini.

Situasi PFAM menentang FAM & MFL ini diibaratkan 2 gajah yang sedang berbalah tetapi pelanduk yang berada di tengah-tengah mati penuh kehinaan.

Siapakah pelanduk itu? Pelanduk itu adalah para pemain kita yang dinafikan haknya.

Perhambaan moden dalam bola sepak

Saya berpeluang untuk ke Persidangan Kebangsaan Mengenai Anti-Pemerdagangan Orang yang diadakan di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur pada Isnin lalu (5 Ogos 2019)

Menurut data yang dikeluarkan oleh International Labour Organization (ILO), Walk-Free Foundation dan juga 2016 Global Estimates on Modern Slavery, 4 daripada 1000 orang di kawasan Asia Pasifik adalah mangsa kepada buruh paksa.

Nisbah tersebut merupakan yang tertinggi di Asia dan Malaysia adalah sebahagian negara yang tergolong dalam rantau Asia Pasifik itu.

Fakta yang mengejutkan ini hanya menfokuskan kepada bidang-bidang seperti pengeluaran, agrikultur dan perikanan, pembinaan dan juga kerja domestik.

Itu tidak lagi dikaitkan dengan bidang sukan terutamanya dalam bola sepak di Malaysia.

Penafian hak menerusi perhambaan moden ini terdapat beberapa cirinya. 2 penafian yang sering kelihatan dalam kancah bola sepak Malaysia ialah:

  • Tunggakan dalam membayar gaji
  • Pasukan memegang passport pemain

Tunggakan dalam membayar gaji ini dapat dilihat dalam banyak pasukan sama ada Liga Super atau Liga Premier.

Ada yang tertangguh selama 3 bulan, ada yang 8 bulan seperti yang dilalui oleh pemain Kuantan FA.

Skuad Kuantan FA semasa musim Liga Premier 2018 telah diambil alih oleh pengurusan Marcerra United FC yang culas membayar gaji pemain. (Foto: Marcerra United FC)

Seperti yang didakwa oleh PFAM, pemain-pemain yang terkesan akibat isu ini secara berlanjutan terpaksa melakukan kerja sambilan seperti menjadi nelayan dan mencuci kereta.

Bagi yang berada di fasa penghujung karier, isu tunggakan gaji ini membuatkan mereka mengambil keputusan untuk terus bersara.

Namun begitu, ada satu lagi isu yang sebenarnya turut wujud dalam bola sepak negara kita melibatkan pemain import.

Ada pasukan yang bertindak lebih kejam, mereka menafikan hak untuk pemain mereka bergerak bebas dengan memegang pasport.

Tujuannya adalah untuk membataskan pergerakan pemain tersebut dan tidak melarikan diri dari pasukan sekiranya sesuatu tidak baik terjadi kepada mereka.

Situasi ini pernah menimpa seorang pemain import di negara kita sehingga mendapat liputan meluas dari media.

Isu perhambaan moden dalam bola sepak Malaysia merupakan isu yang teramat serius pada pengamatan saya.

Selepas mengatur perlawanan, tunggakan gaji ini merupakan ibarat ‘barah’ kedua yang ada dalam kancah liga tempatan.

Ia memberikan gambaran buruk yang pasukan di negara kita masih lagi mempunyai masalah tadbir urus dan yang menjadi mangsa adalah pemain.

Mereka juga manusia

Perhambaan moden dalam bola sepak ini jelas merupakan satu azab buat para pemain.

Kita selalu disajikan yang menjadi pemain bola sepak ini ibarat selebriti hidupnya, bergaji besar dan hidup mewah.

Namun hakikat itu amat berbeza di negara kita, ada pemain yang ikat perut malah meminjam wang dengan ceti demi sesuap nasi.

Situasi terjadi selepas pasukan berbelanja melebihi kantung pasukan, inisiatif untuk menjana pendapatan pasukan secara proaktif tidak diendahkan kerana terlalu selesa disuap dengan dana oleh kerajaan negeri.

Bagi saya, salah satu cara untuk menghalang perhambaan moden ini dari berterusan adalah pasukan tidak lagi menggaji para pemain dengan nilai bayaran terlalu tinggi.

Situasi ini berlaku ketika era 2010 apabila pasukan Kelantan dan ATM FA menggaji pemain-pemain dengan bayaran tinggi.

Skuad Kelantan yang satu masa dahulu dihimpuni pemain bintang.

Ianya kemudian menjadi ikutan para pasukan lain untuk lakukan perkara sama. Alasannya, untuk mengelak dari pemain yang diidamkan pergi ke pasukan lain.

Hakikatnya, pasukan di negara kita tidak mampu untuk berbelanja mewah kerana isu urus tadbir yang tidak baik diamalkan oleh majoriti pasukan selain Johor Darul Ta’zim yang jelas stabil ekonominya.

Jadi, langkah yang terbaik untuk atasi perkara ini adalah pasukan-pasukan ini keluar menghentikan penggajian pemain dengan nilai tinggi.

Langkah ini mungkin akan membuatkan pemain-pemain bintang mudah disambar oleh pasukan yang lebih mampu menawarkan gaji lebih besar.

Tetapi, ianya dapat memastikan kelestarian (sustainability) ekonomi pasukan dan seterusnya menghapuskan isu tunggakan gaji.

Jalan ini bukanlah sempurna tetapi ianya merupakan penyelesaian terbaik dalam menghapuskan ‘barah’ ini.

Jadi, yang mana anda mahu? Gaji besar tetapi sering tertunggak atau gaji kecil tetapi masuk tepat pada waktu ke dalam akaun bank.

Anda tentukan di yang mana anda mahu.

Satu jari ditunding ke luar, 4 lagi dituding kepada kita

Perhambaan moden dalam bola sepak Malaysia harus dihentikan, semua pihak perlu menolak ke tepi segala perbezaan pendapat dan berusaha ke arah itu.

PFAM, FAM dan MFL harus berhenti menuding jari. PFAM menjalankan tugas mereka sebagai badan pemain dalam mendapatkan hak asasi mereka.

Para pemain juga manusia seperti kita yang berkerja. Jika kita tidak dibayar gaji, kita akan laporkan kepada pejabat buruh tetapi pemain kita akan mencari PFAM.

Sekali lagi saya tegaskan, isu ini harus diselesaikan segera demi memastikan bola sepak negara kita benar-benar menuju ke hadapan.

Jika tidak, pelan F:30 dan Next50 pastinya masih lagi jauh dari jangkauan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN