Sebelum ini, kita mungkin hanya mendengari sesetengah pasukan bola sepak di Malaysia sahaja mempunyai isu tunggakan gaji sejak beberapa tahun lalu dan dianggap memalukan para penyokong tempatan.
Masalah tunggakan gaji tersebut juga sedikit sebanyak telah menyebabkan segelintir pemain sudah membuat rungutan di media sosial dengan beberapa pendedahan dibuat sangat mengejutkan.
Antara yang terbaharu pastinya membabitkan bintang Kuala Lumpur City (KL City) iaitu Paulo Josue yang mengakui pengurusan kelab sebelum itu masih culas untuk menjelaskan pembayaran gaji sejak berbulan lalu dan membabitkan ramai lagi pemain selain tonggak Harimau Malaya tersebut.
Tidak terhenti setakat itu, isu tersebut juga sudah pun menular dalam kalangan skuad pembangunan Piala Belia serta Presiden dengan jumlah tunggakan telah berlanjutan sejak berbulan lalu.
Menurut laporan diterima, beberapa kelab di saingan Piala Belia dan Presiden sudah pun mengalami isu tunggakan gaji dan masih lagi belum diselesaikan sehingga kini.
Lebih mengharukan, isu tunggakan gaji kini sudah pun mula membabitkan dalam arena futsal negara dan sudah pun diluahkan sendiri oleh pemain di media sosial.
Menerusi pendedahan yang kami terima melalui Arena Sukan, salah seorang pemain yang juga merupakan Kapten kepada Gombak Tot meluahkan perasaan selepas beliau turut menjadi mangsa tunggakan gaji.
Jelas Ridhwan Zainal, Gombak Tot dilaporkan tidak membayar gaji kepada beliau sejak tiga bulan lalu dan meminta supaya pengurusan kelab tersebut lebih bertanggungjawab.
“Kami dah usaha sehabis baik..harap pihak Gombak FC ambik berat tentang gaji kami hampir 3 bulan tidak dibayar.
“Kami dah main bermati-matian..tetapi yang kami dapat hanye penat sahaja..jangan menganiaya kami satu team.. penat dah melayan janji manis..tolong selesaikan gaji kami. Kami tidak menghalalkan gaji kami kalau tidak,” luah Ridhwan menerusi Instagram beliau dan dikongsikan sendiri oleh Arena Sukan.
Melihat kepada perkara tersebut, sudah tentu ia menjadi kerisauan kini dalam kalangan peminat jika isu tunggakan gaji akan mula berlanjutan kepada kelab lain.
Tatkala dunia bola sepak profesional di Malaysia kebanyakan mempunyai masalah tunggakan gaji, sudah tentu ramai mengharapkan isu tersebut tidak membabitkan arena futsal tempatan sekali.
Apapun, kami berharap supaya pihak Gombak Tot dapat menyelesaikan isu tunggakan gaji ini dan masalah tersebut tidak akan berpanjangan sehingga merebak ke pasukan lain.