Isu Pemilihan Pemain, Kenapa Perlu Pertikai Tan Cheng Hoe Pilih Akhyar?

Malaysia bakal berhadapan getir dalam usaha melayakkan diri ke peringkat seterusnya di pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan bermula pada 3 Jun hadapan selepas ditangguhkan selama setahun.

Disebabkan pandemik yang melanda dunia, baki perlawanan pusingan kelayakkan akan diadakan di satu venue sahaja, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah dipilih menjadi tuan rumah. Perlawanan juga akan diadakan secara karnival, dengan perlawanan akan diadakan selang beberapa hari.

Ini bermakna selain UAE, pasukan-pasukan lain yang berada di dalam Kumpulan G pusingan kelayakan Asia ini tidak akan memiliki kelebihan sebagai tuan rumah.

Cabaran sudah bermula awal

Berdasarkan perkembangan terbaru ini, perancangan pengendali atau Ketua Jurulatih pasukan juga pasti akan berubah demi memastikan pasukan masing-masing mampu memberi cabaran dan layak ke pusingan seterusnya.

Berdasarkan kedudukan terkini juga, pasukan negara mempunyai peluang cerah untuk mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 – jika keputusan positif mampu dijelmakan dari baki tiga perlawanan.

Belum pun cabaran sebenar bermula, dan tatkala Tan Cheng Hoe baharu sahaja menyenaraikan senarai 25 pemain pilihannya yang akan menyertai latihan pusat 16 Mei nanti, kritikan terhadap senarai pemain pilihan jurulatih berasal dari Kedah sudah dilemparkan oleh peminat dan pengikut bola sepak tempatan.

Namun wajarkah tekanan begitu awal diberikan kepada Tan Cheng Hoe dan anak-anak buahnya? Setiap daripada kita mempunyai pandangan dan pendapat tersendiri. Tidak ada masalah untuk menyuarakannya.

Satu perkara yang pasti ialah kritikan awal hanya mengundang tekanan yang tidak diperlukan buat skuad negara.

Berikut pula adalah beberapa isu yang dibangkitkan di media sosial.  Turut disertakan adalah pandangan dari sisi lain mengenai pemilihan pemain oleh Tan Cheng Hoe danengapa beliau dan pemain yang telah dipilih perlu diberikan peluang sewajarnya.

Isu pemilihan Akhyar Rasid

Antara yang mencuri tumpuan ialah pemilihan Akhyar Rasid di dalam pasukan. Untuk rekod, musim ini Akhyar hanya diturunkan empat kali sahaja dan semuanya dari bangku simpanan dan beliau hanya mengumpul 30 minit sahaja dalam semua perlawanan Liga Super.

Pemain berusia 22 tahun itu yang dianggap tidak lagi releven untuk dipanggil memandangkan tidak mempunyai minit permainan yang baik bersama skuad utama JDT dan telah kehilangan tempat kepada pemain-pemain lain.

Malaysia

Peningkatan dua pemain muda Arif Aiman Hanapi dan Ramadhan Saifullah selain ketibaan Mohamadou Sumareh menjadikan peluangnya untuk beraksi semakin tipis. Ini adalah dari pandangan mata kasar peminat bola sepak tempatan.

  • Pilihan di sayap kiri

Namun jika dinilai kembali, pemilihan Akhyar oleh Cheng Hoe ada asasnya. Pertama, Akhyar adalah antara barisan pemain yang berada di dalam skuad kebangsaan sejak perlawanan pusingan pertama menentang Timor Leste 2019. Turun dalam semua tujuh perlawanan sehingga perlawanan kedua, Akhyar adalah antara pemain yang diharap untuk menguatkan bahagian sayap kiri pasukan negara.

Kita semua tahu JDT adalah kelab yang mengumpulkan pemain-pemain kebangsaan. Tatkala Arif Aiman, Safawi, Ramadhan dan Sumareh bersaing di posisi sayap kanan.

Akhyar pula lebih selesa beraksi sebagai pemain sayap kiri dan bersaing terus dengan Gonzalo Cabrera di posisi tersebut. Prestasi semasa Cabrera dipercayai menjadi punca Akhyar sering memanaskan bangku pemain simpanan.

Dari kalangan 25 pemain yang dipilih oleh Cheng Hoe, hanya beberapa pemain mampu mengisi posisi sayap kiri. Contohnya Safawi, Sumareh dan Arif sendiri. Tatkala tiga nama tersebut lebih mengancam beraksi di posisi sayap kanan, Akhyar dilihat sebagai pilihan lebih natural di posisi tersebut.

  • Mengapa tidak pilih Hakimi?

Faktor pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa dipercayai menjadi sebab utama Cheng Hoe berbuat demikian. Hakimi adalah seorang pemain sayap kiri dan mampu beraksi di posisi bek atau sayap. Jika anda masih ingat, Hakimi turut menjaringkan hatrik untuk Kelantan FA pada musim lalu dari posisi bek kiri ketika berhadapan UKM FC.

Musim ini Hakimi turut cemerlang bersama Terengganu FC. Dari 12 penampilan bersama gergasi pantai timur itu, Hakimi kini telah merekodkan empat jaringan – termasuk gol tunggal dalam perlawanan menentang JDT.

Akhyar dan Hakimi berusia 22 tahun. Berbeza dengan Akhyar, Hakimi belum lagi mempunyai sebarang pengalaman untuk beraksi bersama skuad senior kebangsaan.

Ini bermakna memberi peluang kepada Hakimi atau mana-mana pemain yang belum memiliki sebarang pengalaman di peringkat antarabangsa adalahs satu risiko.

Prestasi terkini di saingan domestik sememangnya memihak kepada Hakimi. Namun dengan keadaan pandemik yang menyukarkan persiapan, skuad negara hanya mempunyai dua perlawanan persahabatan untuk diharungi – iaitu menentang Kuwait dan Bahrain pada 23 dan 28 Mei akan datang.

Satu perkara yang pasti dua perlawanan persahabatan tersebut akan menjadi pentas penting buat anak buah Tan Cheng Hoe memanaskan badan sebelum ke UAE. Pada peringkat ini, tiada masa untuk sebarang jenis ‘perlawanan eksperimen’ – dengan alasan mencuba gandingan baharu lagi.

Malah ianya lebih mudah buat Cheng Hoe memilih Arif Aiman berbanding Hakimi disebabkan keserasian sedia ada pemain muda itu dengan majoriti pemain skuad kebangsaan yang sedia ada bersama JDT.

Bagaimana dengan Al-Hafiz, Faisal Halim, dan Hadin Azman?

Prestasi baik Hadin Azman bersama Felda United pada 2019 menyebabkan Tan Cheng Hoe memanggil Hadin Azman di peringkat awal pusingan kedua kelayakan. Jika anda masih ingat, Hadin diberikan peluang beraksi dalam kesebelasan utama negara menentang Indonesia di Stadium Utama Gelora Bung Karno, sebelum dikeluarkan dan digantikan oleh Sumareh pada minit ke-67 perlawanan.

Hadin tenggelam dalam perlawanan tersebut. Situasi Hadin dan Hakimi pada hari ini tidak jauh bezanya. Kedua-dua menyerlah di saingan domestik, dan kita mengharapkan mereka mampu menjelmakan keupayaan yang sama bersama pasukan negara. Hakikatnya jurang perbezaan aksi peringkat domestik dan antarabangsa jauh berbeza. Apatah lagi jika anda tidak mempunyai pengalaman.

Perkara sama juga menjadi sebab pemain seperti Al-Hafiz dan Faisal Halim tidak berada di dalam senarai 25 pemain terakhir kali ini. Berbeza dengan Hakimi dan Hadin, Al-Hafiz dan Faisal adalah pemain sayap kanan.

Seperti yang dikatakan tadi, ini bukan masa untuk melakukan eksperimen. Tan Cheng Hoe memerlukan pemain yang sudah memahami taktikal yang beliau terapkan serta mempunyai keserasian di dalam dan luar padang demi mengejar misi dan objektif yang diberi.

Buat masa ini, Tan Cheng Hoe dilihat sudah mempunyai pilihan di posisi sayap kanan dengan adanya Safawi dan Sumareh.

Tuduhan Cheng Hoe abai pasukan lain tidak benar

Pada pendapat penulis, dakwaan ini juga tidak mempunyai asas yang kukuh. Jika benar Cheng Hoe tidak melihat kepada pemain dari pasukan lain, mengapa perlu beliau memanggil Samuel Somerville(Penang FC) atau Norshahrul Idlan Talaha (Sarawak United) yang beraksi di Liga Premier?

Daripada senarai 25 pemain akhir yang dipanggil Cheng Hoe, 13 pemain adalah daripada JDT, 3 dari Selangor FC, satu pemain masing-masing dari Kedah Darul Aman FC, Police Tero FC, KV Kortrijk, Sri Pahang FC, Newcastle Jet, dan Chonburi F.C.

Panggilan ke kem latihan pusat pertama pada Mac lalu turut menyaksikan nama Rahadiazli dan Faisal Halim (Terengganu FC), serta Khairul Fahmi (Melaka United).

Akhirnya Tan Cheng Hoe harus memilih pemain yang paling layak untuk membawa cabaran negara di UAE nanti. Secara peribadi penulis berpendapat akan ada beberapa nama lain yang akan dipanggil selepas ini untuk bersama pasukan negara sekiranya terus konsisten dengan aksi cemerlang mereka bersama pasukan masing-masing.

Antaranya adalah Daniel Ting (KL City FC, Rodney Celvin Akwensivie (Kedah Darul Aman FC). Kedua-duanya antara pemain yang menyerlah bersama pasukan masing-masing pada musim ini namun belum diberikan peluang bersama pasukan negara.

Rumusan

Akhirnya sebagai jurulatih, Tan Cheng Hoe perlu membuat keputusan dalam pemilihan pemain. Sebagai jurulatih beliau berhak memilih barisan pemain yang beliau percayai mampu membawa cabaran negara di pusingan kelayakan nanti.

Sebagai pemain, tanggungjawab anda untuk membalas kepercayaan jurulatih dan harapan menggunung oleh penyokong.

Perkara pemilihan pemain ini juga harus dilihat secara positif. Sedikit sebanyak ia memberi indikasi saingan domestik negara masih berjaya menghasilkan pemain-pemain berkualiti untuk membarisi pasukan negara.

Akhir sekali, kita sebagai penyokong dan ekor Harimau Malaya harus kembali bersatu memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan negara kita.

 

Baca artikel menarik lain mengenai Harimau Malaya melalui pautan:

Kurniawan Katakan Aksi Sabah Luar Biasa, Amri Yahyah Juga Ikut Luar Biasa!

XI Harimau Malaya: Adakah Harimau Selatan Telah Jadi Harimau Malaya?

Tan Cheng Hoe Buat Penstrukturan Semula Pemain Harimau Malaya

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN