Isu Laser Penyokong England, Penyokong Indonesia Sudah 1,000 Langkah Ke Depan

Malaysia Indonesia Piala AFF 2010 Laser Sharbinee Kasper Denmark England Euro 2020

Dalam aksi separuh akhir antara England dan Denmark, penjaga gol Denmark, Kasper Schmeichel dilihat telah disuluh laser oleh penyokong England di Stadium Wembley.

Ketika itu, Kasper Schmeichel sedang bersiap sedia menanti sepakan penalti diambil Harry Kane yang menyaksikan ia berjaya disudahkannya untuk England memenangi perlawanan 2-1, dalam aksi yang telah berlanjutan sehingga ke masa tambahan.

Dalam masa sebenar, England dan Denmark gagal dipisah, terikat dengan keputusan 1-1 sehinggalah England berjaya mendapatkan penalti apabila penyerang, Raheem Sterling dijatuhkan dalam kotak penalti selepas 100 minit perlawanan berlangsung.

Harry Kane menyempurnakan sepakan tersebut membolehkan The Three Lions mara ke pentas final Euro 2020 buat kali pertama selepas 55 tahun. Kali terakhir England berjaya mara ke pentas final kejohanan utama adalah di Piala Dunia 1966.

Selepas perlawanan berakhir, beberapa isu hangat dibincangkan antaranya, sepakan penalti yang dihadiahkan kepada England, sepakan percuma yang telah memberikan Denmark gol pendahuluan serta pancaran laser terhadap Kasper Schmeichel.

Pancaran laser itu jelas kelihatan dalam siaran langsung di televisyen apabila muka penjaga gol Denmark itu dilihat ada pancaran berwarna hijau. Begitupun, Kasper Schmeichel dilihat tidak mengadu hal tersebut kepada pengadil perlawanan.

Namun, pengulas ITV, Mark Pougatch yang menyedari perkara tersebut dilihat segera menempelak kebodohan pelaku itu di dalam rancangan siaran langsung tersebut.

Katanya, “Satu perkara kita dapat lihat ketika Harry Kane mahu mengambil penalti dan ia langsung tidak boleh diterima dan bodoh. Lihat, seseorang memiliki pen laser di tempat duduk. Sesiapa sahaja dia, dia adalah bodoh, lelaki atau perempuan.”

Disebabkan tindakan itu, England ketika ini bakal berdepan hukuman oleh badan induk bola sepak Eropah, UEFA dalam masa terdekat. Menurut laporan The Guardian, besar kemungkinan England akan menerima hukuman denda sebagaimana kes sebelum ini.

Pada 2008, Lyon telah didenda oleh UEFA sebanyak $5,000 atas kesalahan ‘insiden tiada semangat kesukanan’ apabila Cristiano Ronaldo disuluh laser di muka ketika perlawanan berdepan Manchester United dalam saingan UEFA Champions League.

Selain isu laser itu, England turut berdepan tindakan atas kesalahan mencemuh lagu kebangsaan Denmark sebelum perlawanan bermula dan menyalakan suar atau bunga api ketika berada di dalam stadium, semasa perlawanan sedang berlangsung.

Tindakan itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri Britain, Boris Johnson yang bercakap melalui jurucakapnya. Menurutnya, “Kami tidak mahu lihat para penyokong mencemuh pasukan lawan. Tunjukkan rasa hormat kita kepada mereka.”

Malaysia juga pernah terpalit isu yang sama ketika saingan Piala AFF 2010. Penyokong Malaysia dituduh menyuluh laser kepada penjaga gol Indonesia, Markus Harison sehingga mengganggu fokus keseluruhan skuad Garuda berdepan Malaysia.

Dalam pusingan pertama perlawanan akhir itu, Indonesia telah tumbang 0-3 kepada Malaysia. Menurut Markus yang bercakap kepada Skor.id baru-baru ini, pancaran laser itu yang menjadi punca kepada kekalahan besar mereka kepada Malaysia.

Ujarnya yang mengimbau semula kenangan itu, “Ya, pastinya saya tidak selesa dan sangat mengganggu [pancaran laser]. Apalagi saya adalah benteng terakhir pasukan.”

“Namanya penonton, tentunya mereka akan cuba curi-curi membawa masuknya ke stadium untuk mengganggu fokus pemain lawan,” tambahnya lagi kepada media.

Sehinggalah Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Ahmad Shabery Cheek mengeluarkan kenyataan kesal atas perbuatan penyokong Malaysia ketika itu. Menariknya, beliau sempat meninggalkan ‘kritikan’ di mana isu laser telah bermula di Indonesia.

“Ada yang berkata, isu laser ini bermula di Jakarta. Saya melihat sendiri di laman Youtube rasmi AFF. Penjaga gol Malaysia disuluh laser. Cuma kami tidak membuat protes kerana kami melihat Indonesia bermain dengan sangat baik,” ujarnya sinis.

Kes itu berlaku dalam pertembungan pertama Indonesia dan Malaysia di peringkat kumpulan yang menyaksikan Harimau Malaya tumpas 1-5. Dalam rakaman video terlihat wajah Sharbinee Allawee disinari laser selepas jaringan Irfan Bachdim.

Begitupun, menurut Ahmad Shabery, kedua-dua pasukan telah mempamerkan kualiti permainan yang baik dan apa yang dilakukan penyokong adalah di luar kawalan.

Isu laser adalah isu yang berlaku di seluruh dunia sebagaimana kes Lyon pada 2008 itu. Namun, jika di Asia Tenggara, nampaknya penyokong Indonesia yang menjadi pelopornya walaupun kemudian penyokong Malaysia yang dipersalahkan.

Baca lagi artikel lain mengenai bola sepak Malaysia dan antarabangsa:

Tak Payah Pertikai Penalti England, Gol Denmark Sendiri Sudah Kontroversi

6 Kelab Liga Malaysia Terpaksa Cari Stadium Lain

Rasai Pengalaman Berbeza Menonton UEFA EURO 2020™ Dengan Astro Go Interactive Mode

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN