Isu Kuota Pemain Import Antara Laporan Kemas Kini Terbaharu MFL Untuk Musim 2024-2025

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah pun membuat kemas kini terbaharu untuk saingan Liga Malaysia musim 2024-2025 yang akan bermula tidak beberapa bulan sahaja lagi.

Antara dilaporkan MFL, mereka memutuskan untuk kekal dengan penggunaan sembilan pemain import sahaja bagi saingan hadapan walaupun AFC menyatakan mereka bakal memperkenalkan kuota tanpa had bagi kelab bertanding dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE) dan ACL 2 serta pertandingan kelab ASEAN (AFF).

“Meskipun AFC dijangka akan mengumumkan peraturan pemain asing tanpa had untuk pertandingan kelab AFC, MFL membuat keputusan tidak akan mengikut kuota tersebut sebaliknya, MFL mengekalkan kuota sembilan (9) pemain import dalam pendaftaran bagi musim 2024-2025 dan hanya pasukan-pasukan yang bersaing di pertandingan AFC iaitu AFC Champions League Elite (ACLE) dan ACL 2 serta pertandingan kelab ASEAN (AFF) dibenarkan mendaftar tambahan satu (1) pemain import.

“Namun selepas menerima permintaan beberapa kelab MFL serta mendapat persetujuan oleh kelab-kelab Liga Malaysia yang lain, MFL mengumumkan penambahan kuota seorang pemain import di atas padang untuk musim 2024-2025.

“Ini bermakna kuota musim 2024-2025 yang dipersetujui semua pasukan adalah 6 pemain import (iaitu 4+1 (Asia)+1 (Asean) dibenarkan berada di atas padang pada satu-satu masa dengan seorang pemain di bangku simpanan.

“Walaupun MFL menerima permintaan kelab Liga Malaysia, MFL bagaimanapun mengingatkan kepada semua kelab agar mengambil pemain import mengikut kesesuaian percaturan serta kemampuan kewangan masing-masing,” jelas MFL di laman rasmi mereka.

Selain itu, MFL turut menyatakan pertukaran tarikh untuk pemeriksaan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) yang sebelum ini dijadual pada Februari 2024 ke tarikh baharu pada 16 hingga 21 April 2024.

Disebabkan itu, tarikh sepak mula untuk saingan Liga M akan dianjakkan seminggu bagi membolehkan MFL mengadakan siri perlawanan ujian sistem VAR.

Seterusnya, badan tersebut turut mencalonkan Sabah dan Kedah Darul Aman (Kedah) sebagai calon kepada AFF untuk beraksi di ASEAN Club Championship (ACC) 2024, dengan mengambil kira kedudukan mereka pada akhir Liga Super tahun lalu.

Walau bagaimanapun, MFL masih belum menerima maklum balas AFF mengenai cadangan ini.

Selain itu, MFL juga mengumumkan hanya pusingan 16 Piala FA kekal dimainkan secara pusingan satu perlawanan manakala pusingan suku akhir dan separuh akhir saingan tersebut akan ditukar format dengan dimainkan secara timbal balik (home & away).

Bagi saingan Piala FA 2024-2025, ia turut bakal melibatkan penyertaan kelab Liga Super 2023 dan 2 kelab M3 yang akan dipilih oleh Amateur Football League (AFL).

Akhir sekali, MFL turut menyentuh isu Piala MFL dengan saingan itu menggunakan format liga satu kumpulan berbanding format dua kumpulan yang digunakan pada tahun lalu.

Jelas mereka, perubahan format ini dilihat akan menyediakan lebih banyak perlawanan kepada para pemain dan juga seperti yang diminta oleh kelab-kelab untuk meningkatkan kesediaan dan pendedahan pemain bawah 23 tahun (B23) sebelum diserap ke pasukan Liga Super pada bila-bila masa.

“Bagi meningkatkan daya saing dan intensiti saingan Piala MFL, kuota pemain lebih umur dan pemain asing pertandingan ini juga akan dibuka untuk digunakan mengikut keperluan dan percaturan setiap kelab dengan maksimum 3 pemain asing dan 2 pemain lebih umur di atas padang pada satu-satu masa,” jelas mereka akhir sekali.

Sumber:
MFL

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN