Isu Kekecohan Penyokong: Harimau Tidak Akan Mara Mengaum Jika Ekornya Tertinggal Di Belakang

Ekor seekor harimau dewasa berukuran lebih kurang 1 meter atau pun lebih kurang 3 kaki. Ekor seekor harimau berfungsi untuk membantu mereka di dalam komunikasi visual, juga untuk tujuan menyeimbangkan badan terutama ketika memburu mangsa.

Lupakan sebentar karakteristik seekor harimau. Saya mengajak anda untuk mengamati isu yang lebih serius; bukan baharu, namun sehingga kini belum ada tindakan proaktif yang benar-benar berkesan untuk menyelesaikannya.

Isu kekecohan melibatkan penyokong sehingga mengakibatkan kecederaan bukan perkara yang baru di dalam kancah bola sepak tanah air. Ia adalah isu lapuk yang bagaikan tiada kesudahan, dan sering berulang.

Antara rentetan peristiwa

Untuk tahun ini sahaja beberapa insiden telah dilaporkan berlaku, dan yang terbaru membabitkan perlawanan peringkat separuh akhir pertama Piala Malaysia 2017 di antara Perak dan JDT.

Kejadian yang lebih memalukan turut dilaporkan berlaku ketika negara menjadi tuan rumah kepada temasya sukan dwi-tahunan peringkat serantau di ibu kota pada Ogos yang lalu.

Dua insiden dilaporkan ketika penganjuran temasya sukan tersebut.

Insiden pertama melibatkan sekumpulan penyokong Myanmar dikejar sebelum dibelasah sekumpulan lelaki, yang dipercayai penyokong Malaysia sehingga mengakibatkan mangsa dikejarkan ke hospital berlumuran darah.

Selang beberapa hari kemudian, beberapa orang penyokong bola sepak Indonesia dilaporkan turut mengalami nasib yang sama.

Pada Julai lalu, insiden kekecohan membabitkan penyokong Perak dan Kelantan turut dilaporkan berlaku di Kota Bahru, namun sempat dileraikan oleh pihak berkuasa sebelum keadaan menjadi bertambah buruk.

Isu lapuk atau tiada jawapan?

Mungkin ada beberapa insiden lain yang tidak dinyatakan di atas. Persoalanan yang lebih serius harus ditanya kepada penyokong bola sepak tempatan:

Adakah ini wajah bola sepak kita? Jika jawapannya ialah ‘ya’, apakah yang boleh kita banggakan?  Secara moralitinya seorang penyokong bola sepak yang rasional akan memberikan jawapan- tidak ada apa yang boleh dibanggakan.

Lalu persoalan seterusnya: apakah punca sehingga kejadian sebegini boleh berlaku? Lalu apakah tindakan proaktif yang boleh diambil?

2 soalan ini sangat mustahak. Oleh itu kami mengambil pendekatan untuk melontar kembali soalan ini untuk dijawab sendiri oleh penyokong, melalui satu kaji selidik ringkas yang diadakan di media sosial.

Hasilnya, kami bahagikan kepada 3 bahagian utama.

1.0 Penularan gejala samseng di Liga M

Hasil kaji selidik ringkas berkenaan bersetuju, insiden kekecohan yang sering terjadi dipercayai dicetus oleh golongan ‘samseng’ dan bukan daripada penyokong bola sepak yang sebenar.

Bunyinya agak keterlaluan, namun itulah hakikat sebenarnya. Budaya samseng telah menular ke dalam bola sepak tempatan dan rentetan peristiwa (insiden kekecohan) yang terjadi sejak 5 tahun yang lalu, jika dikumpul, cukup menggusarkan kita.

Sumber: Facebook

Alasannya mudah. Penyokong setia akan sentiasa hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan baik ketika pasukan menunjukkan prestasi yang memberangsangkan atau ketika pasukan berada di bawah.

Golongan ‘samseng’ hanya akan menghadiri perlawanan yang dikategorikan sebagai ‘panas’ semata-mata untuk mencetuskan keadaan huru-hara.

1.1 Wujudkan profil penyokong dan penguatkuasaan

Bagaimana harus kita menangani permasalahan ini? Salah seorang penyokong bola sepak tempatan berpendapat ia berbalik kepada isu kawalan keselamatan.

Selain daripada menambah anggota untuk perlawanan berprofil tinggi, pihak penganjur perlu mulai mewujudkan pengkalan data sebagai rujukan pihak pengurusan stadium untuk tidak membenarkan individu yang tidak dikehendaki dari menghadiri perlawanan.

Sumber: Facebook

Kaedah ini mungkin memerlukan pelaburan yang tinggi daripada pihak penganjur atau pun persatuan bola sepak negeri.

Perubahan akan melibatkan struktur penjualan tiket di kaunter kepada penjualan di atas talian, dan penggunaan peralatan berteknologi tinggi yang lain untuk mewujudkan data profil penonton yang hadir ke stadium.

GAMBAR/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA

Kumpulan samseng atau perusuh akan dikenakan hukuman gantung daripada menghadiri perlawanan, sepertimana yang dilaksanakan di kebanyakkan tempat di eropah untuk menangani gejala samseng bola sepak.

Ia adalah satu pendekatan yang berbaloi, dan saya berpendapat satu kajian serius harus dilaksanakan mulai sekarang untuk tujuan implementasi pada masa akan datang.

2.0 Provokasi melampau dan kewujudan laman-laman media sosial 

Di dalam satu jurnal terbitan Kemp S, yang bertajuk ‘We Are Social: Social, Digital and Mobile in Malaysia’, beliau menyatakan bahawa hampir 90% daripada penduduk Malaysia memiliki profil di dalam media sosial.

Burson‐Marsteller dalam satu kajiannya pula mendapati netizen di Malaysia akan melawat akaun media sosial sebanyak 14 billion kali setiap bulan.

(Photo by studioEAST/Getty Images)

Ini menunjukkan kepada kita media sosial mempunyai pengaruh yang besar terhadap rakyat Malaysia, termasuklah di kalangan penyokong bola sepak.

Apa yang membimbangkan kita pada hari ini ialah tumbuhnya laman-laman media sosial yang menerapkan provokasi melampau dan menjadi batu api di kalangan penyokong-penyokong bola sepak tempatan.

Apakah kewajarannya? Laman-laman media sosial sedemikian dipercayai tidak memberi faedah dan hanya bertindak membutakan mata hati penyokong yang mudah hilang kewajaran.

Bedasarkan pemerhatian kami, beberapa laman troll di eropah, melakukan troll dengan ada statistik. Lihat di bawah ini:

Ataupun yang ini:

Bezakan pula dengan budaya troll di dalam negara kita yang sampai melibatkan bangsa, menyerang peribadi, sehinggakan ada yang mengeluarkan kenyataan berunsur ugutan.

2.1 Tanggungjawab dan peranan SKMM

Laman-laman media sosial yang berteraskan provokasi atau bahasa lainnya ‘troll’; tanpa mengenal batasan dan erti saling hormat menghormati boleh dianggap seperti barah di dalam bola sepak selain daripada amalan rasuah.

Sumber: Facebook

Bezanya, ia tidak melibatkan pemain yang beraksi di atas padang. Tetapi melibatkan penonton dan penyokong yang hadir ke stadium tanpa rasa rasional selepas dirasuah dengan rasa taksub yang melampau serta membuta tuli.

Untuk ini, pihak penganjur harus bekerjasama dengan pihak penganjur, atau secara terus mengawal kegiatan laman-laman media sosial terbabit.

Sumber: Facebook

Bagi yang menimbulkan provokasi, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) boleh mengambil tindakan menutup akaun tersebut tanpa sebarang notis.

Cadangan lain ialah dengan mendaftarkan setiap laman media sosial yang beroperasi atas nama kumpulan penyokong bola sepak dengan persatuan bola sepak negeri masing-masing atau pun terus dengan SKMM untuk tujuan pemantauan.

Sumber: Facebook

Untuk tujuan pelaksanaan, pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),  Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), persatuan-persatuan negeri dan SKMM boleh duduk semeja bagi membincangkan garis panduan yang sepatutnya untuk laman-laman media sosial berkenaan.

3.0 Isu teras: Pendidikan

Jika diamati secara serius kedua-dua perkara di atas, ia akan berbalik kepada isu teras di dalam bola sepak negara itu sendiri, iaitu pendidikan.

Keganasan di dalam bola sepak juga berkaitan dengan isu moral. Ini bermakna ia adalah salah satu cabang kepada masalah sosial yang wujud di negara ini.

Sumber: Facebook

Bila ia telah menjadi masalah sosial, satu-satunya cara untuk membendungnya ialah dengan memberi kesedaran melalui pendidikan pada usia yang muda.

Kumpulan yang gemar melakukan kekecohan pada hari ini mungkin boleh dikawal dengan penguatkuasaan.

Namun sejajar dengan perkembangan bola sepak yang kita inginkan, kita juga mahu mewujudkan kumpulan penyokong bola sepak yang memiliki kesedaran intelek, berilmu, bersahsiah serta bermoral tinggi pada masa akan datang

Tanpa mengira betapa hangatnya perseteruan di dalam satu-satu perlawanan, akhirnya ia masih sukan bola sepak. Sukan sepatutnya menjadi ejen kepada perpaduan sesama kita dan bukannya medan untuk perpecahan.

3.1 Peranan sekolah, kelab penyokong dan media

Di sekolah, segala nilai-nilai moral dan ajaran agama dididik melalui matapelajaran Pendidikan Moral dan juga Agama Islam.

Pendidikan Jasmani dan Kesihatan juga merupakan salah satu matapelajaran di mana kesedaran di kalangan pelajar sekolah untuk menjauhi keganasan di dalam bola sepak boleh diterap.

Sumber: Facebook

Kelab-kelab penyokong juga boleh bertindak sebagai ejen dalam memberi kesedaran kepada ahli dan penyokong masing-masing. Selain daripada aktiviti sesama sendiri, ada baiknya juga diadakan aktiviti di antara kelab-kelab penyokong yang berbeza.

Selain daripada mengukuhkan lagi ikatan silatulrahim, aktiviti yang dijalankan (seperti riadah dan pertandingan sukan) boleh mengukuhkan lagi persefahaman sesama penyokong. Ini akan mewujudkan rasa hormat sesama kia.

Media turut mempunyai peranan dalam memberi kesedaran kepada penyokong dengan menyiarkan peringatan melalui artikel-artikel atau pun media elektronik.

Rumusan

Berbaloikah kita bertelagah sesama kita kerana sukan yang sama-sama kita cintai? Bagi penulis, perkara ini hanya ada satu jalan lurus. Kalah dan menang adalah adat permainan. Sebarang bentuk keganasan kita tolak.

Bola sepak kita hanya menang apabila kita mempunyai kumpulan penyokong bola sepak yang matang, berilmu dan ingin untuk sama-sama maju, melebihi pencapaian pasukan yang kita sokong.

Kerana tidak mungkin satu-satu pasukan akan maju ke hadapan jika mereka yang harus memberi sokongan tertinggal di belakang. Sama juga harimau tidak akan mara dan mengaum garang, jika ekornya tertinggal di belakang.

Satu hari nanti Harimau Malaya akan kembali mengaum, dan kita akan menjadi penyokong bola sepak yang penuh dengan kebanggaan. Itu harapan kita yang tidak pernah padam!

 

Nota editor: Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili suara organisasi Semuanya BOLA.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN