Skuad negara tampil dengan sedikit tempang, setelah mereka kehilangan dua pemain untuk aksi seterusnya berdepan Papua New Guinea bagi aksi persahabatan kedua selepas cemerlang sebelum itu menghadapi Kepulauan Solomon.
Dua pemain yang dimaksudkan itu ialah pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa serta pertahanan muda berbakat besar iaitu Feroz Baharudin kerana masing-masinh mengalami masalah kecederaan.
Kenyataan itu dikeluarkan sendiri oleh pengendali negara, Kim Pan-gon menerusi laman rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan menyatakan kedua pemain tersebut mengalami kecederaan bahagian harmstring.
Siaran Media: Natxo, Feroz Dilepaskan Dari Kem Latihan Pusat Skuad Harimau Malaya
▶️ Baca kenyataan penuh daripada ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon di https://t.co/DhwiII8IHw#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/POpURqnANx
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) June 16, 2023
Feroz sebelum itu mempamerkan aksi sangat cemerlang ketika berdepan Kepulauan Solomon dengan tidak kekok untuk menghadapi lawan berfizikal besar selain berdisiplin bersama rakan pertahanan lain.
Manakala Natxo pula hanya sempat menyertai sesi latihan sebelum pemain tersebut turut diketepikan bersama Haqimi Azim serta Shahrel Fikri kerana isu kecederaan yang menimpa mereka.
“Dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa dan Feroz Baharudin telah dilepaskan keluar dari kem latihan pusat skuad Harimau Malaya di Kuala Terengganu ketika ini berikutan masalah kecederaan hamstring.
“Natxo hadir melapor diri bersama pemain-pemain lain pada 10 Jun lalu tetapi pemantauan harian oleh doktor dan fisioterapis pasukan mendapati beliau tidak bersedia untuk beraksi pada kedua-dua perlawanan menentang Kepulauan Solomon, Rabu lalu dan Papua New Guinea, Selasa ini.
“Sementara Feroz diturunkan dalam kesebelasan utama pada Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Kepulauan Solomon di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu tetapi terpaksa dikeluarkan pada minit ke-44 kerana mengalami kecederaan hamstring,” jelas Kim.
Pada masa sama, pengendali dari Korea Selatan itu turut mengakui terkilan kerana tidak dapat menggunakan kedua pemain tersebut sepenuhnya pada hari perlawanan persahabatan.
Namun, Kim juga mengakui simpati akan nasib dua pemain tersebut yang terpaksa dilepaskan lebih awal kerana masalah kecederaan telah dialami mereka.
“Sudah tentu sebagai jurulatih, saya sedikit terkilan kerana tidak dapat menguji sepenuhnya kedua-dua pemain tersebut pada jendela hari perlawanan FIFA kali ini tetapi pada masa yang sama berasa sedih atas kecederaan dialami oleh Natxo dan Feroz.
“Semoga kedua-dua mereka cepat sembuh dan boleh kembali beraksi dalam saingan liga domestik bersama JDT, seterusnya kembali cergas untuk dapat dipanggil lagi pada kem latihan pusat Harimau Malaya yang akan datang.
“Dengan ketiadaan Natxo dan Feroz, skuad Harimau Malaya akan meneruskan kem latihan pusat kali ini dengan baki 24 pemain lain termasuk Shahrel Fikri Md Fauzi dan Nooa Laine bagi menghadapi Papua New Guinea di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Selasa ini.
“Pada kesempatan ini, saya juga ingin menjunjung kasih kepada DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor selaku pemilik JDT atas kesediaan dan keprihatinan baginda untuk skuad Harimau Malaya menggunakan khidmat para pemain dari kelab tersebut.
“Sepertimana yang diketahui umum, separuh daripada skuad Harimau Malaya ini dibarisi oleh pemain dari JDT dan sudah tentu, dengan sokongan dan bantuan Tunku Ismail, kami di barisan kejurulatihan Harimau Malaya dapat membentuk gandingan dan gabungan skuad yang mantap bersama pemain-pemain dari kelab lain yang dipanggil kali ini,” kata Kim lagi.