‘Isu Kecederaan’- Arif Aiman & Endrick dos Santos Pulang Awal Dari Kem Negara

Tanda tanya mengenai kelibat penyerang lincah negara pada aksi menentang Turkmenistan tempoh hari iaitu Arif Aiman Hanapi akhirnya terjawab, selepas pemain tersebut dinyatakan mengalami kecederaan.

Perkara ini disahkan sendiri menerusi kenyataan rasmi yang telah dikeluarkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebentar tadi mengenai status pemain tersebut yang tidak ada dalam sesi latihan Harimau Malaya.

Selain Arif, Malaysia juga turut kehilangan seorang lagi pemain iaitu Endrick dos Santos yang turut mengalami kecederaan untuk mengiringi Arif pulang lebih awal daripada kem latihan negara.

Menerusi kenyataan dikeluarkan itu, Malaysia bakal terlepas khidmat dua pemain terbabit dalam aksi yang akan datang untuk bertemu Hong Kong pada Selasa ini di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

“Dua pemain, Arif Aiman Mohd Hanapi dan Endrick Dos Santos telah dilepaskan keluar dari kem latihan pusat skuad Harimau Malaya selepas ujian yang dibuat mengesahkan kedua-dua itu mengalami kecederaan.

“Dengan situasi terkini itu, Arif Aiman dan Endrick sah tidak dapat diturunkan untuk Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Hong Kong pada Selasa, 28 Mac 2023.

“Pegawai dan pasukan perubatan FAM sentiasa mengutamakan kesihatan dan keselamatan pemainnya dan telah bersetuju untuk melepaskan Arif Aiman dan Endrick ​​dari kem latihan pusat ini supaya mereka dapat kembali pada tahap kesihatan terbaik selepas ini.

“Dengan ketiadaan Arif Aiman dan Endrick, baki 25 pemain lain akan meneruskan kem latihan pusat ini dan tiada penambahan pemain baharu,” jelas Kim Pan-gon menerusi kenyataan rasmi dikeluarkan FAM.

Sebelum ini, kelibat Arif menjadi tanda tanya dalam kalangan para penyokong bola sepak negara selepas pemain tersebut tidak kelihatan dalam sesi latihan terbaharu Harimau Malaya.

Malah, nama pemain tersebut juga langsung tidak tersenarai dalam aksi sulung Malaysia ketika berdepan Turkmenistan sehingga ada tanggapan menyatakan Kim mungkin akan menggunakan Arif untuk aksi seterusnya.

Tanpa kelibat Arif dan Endrick, sebenarnya Kim masih lagi mempunyai pilihan pemain lain yang turut tidak kurang hebatnya untuk dijadikan sebagai senjata baharu bagi diuji berdepan Hong Kong.

Pemain seperti Nooa Laine dan Fayadh Zulkifli antara diharapkan mampu menyerlah bagi mengisi kekosongan ditinggalkan oleh dua pemain tersebut untuk aksi akan datang.

Untuk Arif dan Endrick pula, diharapkan kedua pemain ini kembali sembuh dan dapat memperkuatkan Harimau Malaya untuk tugasan negara yang akan datang.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN