Saingan unifi Liga Super Malaysia 2018 sudah pun membuka tirainya kelmarin. Buat julung-julung kalinya, perlawanan bola sepak liga tertinggi di Malaysia ini boleh ditonton secara VOD (video on demand) melalui iflix dan hypp tv dan bukan setakat di kaca TV sahaja.
Ini kerana, ia bukan sahaja membuatkan bola sepak secara langusng boleh dilihat secara lebih mobile melalui telefon bimbit dan tab pintar, malah bilangan perlawanan bola sepak yang disiarkan juga lebih banyak berbanding dari yang disiarkan di saluran TV konvensional.
Namun, iFlix yang kelihatan seperti sinar baru untuk zaman keemasan bola sepak Malaysia ternyata berubah menjadi mimpi ngeri kepada peminat bola sepak tanah air.
Kerana kebanjiran penonton yang mahukan siaran langsung tersebut, telah berlaku masalah teknikal yang menyebabkan perlawanan tersebut tidak dapat disiarkan. Hal ini menyebabkan laman facebook iflix menerima kritikan pedas daripada orang ramai.
Mengulas mengenai isu tersebut, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, beliau berharap agar para penyokong tidak terlalu emosi dan meminta mereka memberikan lebih ruang dan masa buat penyiar rasmi digital itu.
“Saya tak dapat maklumat tepat, tapi saya ada baca dan tahu ramai penyokong tidak berpuas hati dengan mutu siaran dan sebagainya.
“Apa pun, saya berharap semua dapat bersabar sebab ini satu pembaharuan dalam bola sepak negara. Jadi bila kata pembaharuan sudah pastilah ada kelemahan-kelemahan tertentu pada awal-awal ini.
“Berilah ruang dan masa kepada mereka untuk memperbaiki kekurangan itu kerana pada akhirnya ini semua adalah demi kebaikan semua di masa akan datang,” katanya kepada Sinar Harian.
Iflix sempat mengeluarkan permohonan maaf di laman Facebook rasmi mereka dan berjanji akan memperbaiki masalah tersebut dalam perlawanan berikutnya.
Jelas Yusoff, beliau cukup yakin segala masalah yang berlaku pada permulaan ini akan dapat diperbaiki penyiar rasmi itu.
“Ini perlawanan pertama mereka, saya percaya ini akan jadi pengajaran untuk memperbaiki segala masalah yang berlaku demi kepuasan penyokong,” katanya lagi.