Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) tidak berpuas hati dengan keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang telah menolak rayuan mereka berhubung isu jumlah pampasan pemainnya, Akhyar Rashid semalam.
Menurut setiausaha kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris dalam laporan Berita Harian, mereka merancang untuk membawa kes itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) kerana menyifatkan keputusan FAM itu jelas tidak adil.
“Kami (KFA) nyata kecewa dengan keputusan FAM yang menolak rayuan kami. Sebagai majikan yang masih memegang kontrak sah Akhyar, kami berhak ke atas pemain itu dan akan membawa isu ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan.
“Negara kita sebuah negara demokrasi, jadi langkah seterusnya perlu demi mendapatkan hak kami ke atas Akhyar,” katanya.
Semalam Jawatankuasa Rayuan FAM yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff memutuskan jumlah pampasan RM75,000 yang ditetapkan Jawatankuasa Rayuan awal bulan ini, kekal.
“Mengikut keputusan Jawatankuasa Status FAM yang telah bermesyuarat pada 3 dan 4 Disember 2018, tuntutan Muhammad Akhyar untuk penamatan kontrak pemain melalui tebus kontrak telah diterima sepenuhnya dan beliau dibenarkan untuk menebus kontraknya bersama KFA dengan bayaran nilai tebus kontrak sebanyak RM210,000.00.
“Sebagai bayaran tambahan kepada KFA, mana-mana pasukan baharu yang menandatangani kontrak bersama beliau seterusnya dikehendaki membayar sebanyak RM75,000.00 kepada KFA untuk nilai pampasan latihan.
“Untuk makluman, jumlah nilai pampasan yang ditetapkan di atas ini bukanlah diletak sewenang-wenangnya oleh FAM tetapi ia adalah berdasarkan artikel-artikel yang terkandung dalam Peraturan Status dan Perpindahan Pemain FAM.
“Jumlah RM210,000.00 itu adalah berdasarkan jumlah gaji Muhammad Akhyar yang didarabkan dengan jumlah baki kontraknya bersama KFA, iaitu mengikut Artikel 15A: Penamatan kontrak secara sebelah pihak atau tebus kontrak oleh pasukan atau pemain.
“Jumlah RM75,000.00 pula adalah dibuat berdasarkan kos latihan, kategori kelab yang telah ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), iaitu mengikut Artikel 8: Pengiraan Pampasan Latihan Peraturan Status & Perpindahan Pemain FAM.
“Jumlah RM75,000.00 tersebut adalah nilai pampasan latihan yang menjadi wang tambahan untuk diperolehi KFA dengan mengambil kira nilai-nilai murni bolasepak.
“Untuk itu, secara keseluruhan KFA akan menerima sejumlah RM285,000.00,” kata kenyataan FAM itu.
Akhyar memiliki kontrak bersama KFA sehingga tahun 2019. Namun, KFA menjelaskan mana-mana pasukan yang ingin mendapatkan khidmat Akhyar perlu berjumpa dengan mereka untuk berbincang. Malangnya, pasukan yang inginkan khidmat Akhyar tersebut tidak hadir untuk berbincang dengan mereka secara rasmi.