Setelah sekian lama tidak beraksi dalam saingan Liga Malaysia, bekas pemain import Terengganu, Issey Nakajima dan bekas pemain Kelantan, Austin Amutu dijangka akan membuat penampilan sulung malam ini bersama skuad Pahang apabila bertemu Kedah di Stadium Darul Aman.
Pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh berkata kepada Berita Harian, kehadiran Amutu menggantikan Francis Forkey Doe yang mengalami kecederaan serius dapat menambah bisa di bahagian serangan skuad itu.
“Sudah pasti saya mahu lihat gandingan dua penyerang import ini memberi impak besar terutama berkaitan persefahaman dan kemampuan mereka merobek gawang lawan.
“Pada masa sama, Issey Nakajima yang turun buat kali pertama dalam pasukan ini diyakini memberi lebih kekuatan di bahagian tengah, sekali gus membantu jentera serangan diketuai Cruz dan Amutu.
“Dengan kehadiran dua pemain baharu dalam pasukan, saya percaya skuad Tok Gajah kembali bersedia untuk melonjakkan prestasi untuk meraih kejayaan membanggakan musim ini,” katanya.
Ditanya peluang mengutip tiga mata di Alor Setar malam ini, Dollah mengharapkan skuad kendaliannya itu dapat merekodkan kemenangan biarpun bakal berdepan cabaran sengit memandangkan Helang Merah mempamerkan peningkatan.
“Kami tidak boleh terlepas sebarang mata kerana misi utama adalah untuk kembali mengejar pasukan di tangga teratas memandangkan jurang tujuh mata dengan Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Oleh itu, semua pemain diharap tidak mengecewakan saya kerana misi utama meraih tiga mata untuk kembali memberi saingan di kedudukan teratas,” katanya.
Selepas 10 perlawanan, Pahang menduduki tangga ketiga dengan mengutip 18 mata manakala Johor Darul Ta’zim (JDT) selesa sebagai peneraju liga dengan 25 mata dan Perak pula 20 mata di tangga kedua.