Penyerang Terengganu, Ismahil Akinade mengakui beliau masih belum puas ketika ini untuk terus merekodkan nama selaku penjaring gol buat Sang Penyu pada saingan musim 2024/2025.
Nama Akinade sebelum itu menjadi bahan kritikan ramai peminat Sang Penyu, ekoran aksi ditampilkan beliau jelas kurang memberansangkan di hadapan gawang gol.
Selain itu, penampilan penyerang import tinggi lampai ini juga dianggap tidak mampu untuk meninggalkan impak positif bersama taktikal pasukan selain mengalami isu ketumpulan di posisi hadapan.
Namun, Akinade tampil menutup kritikan itu bersama kualiti permainan menakjubkan apabila dirinya meledak dua gol peribadi ketika Terengganu menewaskan Sabah menerusi keputusan 4-0 di pentas Piala FA.
Hadir dengan ketajaman yang sangat baik, aksi penyerang dari Nigeria ini juga jelas semakin meningkat dengan persefahaman bersama rakan sepasukan lain di atas padang.
Menurut Akinade, beliau sangat gembira selepas berhasil untuk meledak dua gol pada aksi tersebut selain memberi penghargaan penuh buat rakan sepasukan serta jurulatih.
Malah jaringan itu turut memberi keyakinan buat dirinya untuk terus membuktikan Akinade selaku antara penyerang import berbisa pada saingan musim ini di Malaysia.
“Alhamdulillah rezeki saya berjaya menjaringkan dua gol ketika menumpaskan Sabah FC 4-0 minggu lalu, terima kasih atas kerjasama rakan sepasukan selain kepercayaan barisan kejurulatihan.
“Sebagai penyerang, saya tidak pernah berasa puas untuk menjaringkan gol, ini tugas saya, jadi sekali lagi berdepan Sabah FC pada Sabtu ini (hari ini), semangat untuk menjaringkan gol kian tinggi.
“Jika berpeluang, saya tekad untuk tambah bilangan gol peribadi dan pasukan selain membantu rakan di posisi pertahanan lebih-lebih lagi lawan pastinya bakal mengamalkan corak permainan menyerang untuk mencari gol awal,” katanya menerusi laporan dikeluarkan oleh Harian Metro.
Pada masa sama, Akinade enggan merasa terlalu selesa biarpun mereka membawa kelebihan empat gol di gelanggang lawan untuk aksi suku akhir kedua Piala FA hari ini.
“Di atas kertas, kelebihan sudah pasti memihak kepada kami, tapi dalam bola sepak apa-apapun boleh terjadi lebih-lebih lagi beraksi di tempat lawan dengan sokongan padu daripada penyokong mereka.
“Tapi saya percaya dengan taktikal jurulatih kami kerana misi kami adalah layak ke separuh akhir terlebih dahulu sebelum mengintai peluang ke final,” kata beliau akhir sekali.