Irfan Zakaria Fokus Sukan SEA, Enggan Ulas Hala Tuju Musim Depan

Pemain pertahanan skuad kebangsaan, Muhammad Irfan Zakaria ketika ini masih belum mendedahkan perancangannya bagi menyertai pasukan baharu pada musim depan selepas beliau telah sah akan mengangkat kaki dari pasukan Kuala Lumpur.

Irfan merupakan salah seorang pemain lebih umur selain Adam Nor Azlin yang dibawa menyertai skuad bawah 22 tahun (B-22) negara ke kejohanan Sukan SEA 2019 di Filipina ketika ini dan menjadi penampilan ketiganya di temasya itu sejak 2015.

Beliau yang ditemui oleh pemberita Bernama mengatakan dirinya kini hanya mahu memberikan sepenuh perhatian kepada misi membawa pulang pingat emas kejohanan dwi tahunan itu.

Dengan memiliki reputasi yang baik ketika ini, Irfan mengakui telah menerima tawaran daripada beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga-M) yang mahukan khidmatnya bagi musim 2020. Namun demikian Irfan menjelaskan beliau tidak mahu mengambil keputusan terburu-buru.

“Bukannya Kuala Lumpur tak sambung, KL sebelum ini mahu sambung kontrak. Tapi saya cuba fokus Sukan SEA sekarang, insya-Allah balik Malaysia saya akan buat keputusan yang baik,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Memorial Rizal.

Irfan menamatkan tanda tanya mengenai masa depannya bersama Kuala Lumpur selepas memuat naik hantaran di akaun media sosialnya sebagai tanda perpisahan dengan pasukan berkenaan.

Irfan Zakaria merupakan produk skuad Harimau Muda sejak 2014 yang kemudiannya menyertai pasukan Kuala Lumpur pada 2016 dan berjaya membantu pasukan itu naik ke Liga Super selepas muncul Juara Liga Premier pada 2017.

Namun demikian, prestasi buruk The City Boys pada musim ini menyebabkan pasukan itu menghuni dasar Liga Super dengan merekodkan 16 kekalahan daripada 22 perlawanan dan tersingkir ke Liga Premier untuk musim hadapan.

Dalam perlawanan pertama skuad B-22 tempoh hari ketika terikat 1-1 dengan Myanmar, Irfan diturunkan oleh ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee selaku pemain kesebelasan utama dan digandingkan dengan Adam Nor Azlin dan Dominic Tan membentuk rangkaian pertahanan bertiga.

Tiga pemain itu sudahpun bermain bersama sejak Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur dan Irfan yakin dapat membentuk keserasian yang lebih baik untuk mengelak pintu gol negara daripada dibolosi apabila berhadapan pasukan tuan rumah, Filipina pada Jumaat ini.

“Perlawanan pertama banyak kekurangan. Kami juga telah melihat kesilapan, kelemahan dan kekurangan menerusi analisis video. Selepas ini kita akan cuba sedaya upaya untuk meningkatkan prestasi,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Kim Swee telah mengingatkan semua kelab agar menghormati dan tidak mengganggu perhatian pemain negara yang sedang menjalani misi penting di kejohanan itu.

“Ini perkara yang biasa berlaku apabila kita bermain pada penghujung tahun atau kejohanan yang berlaku selepas tamat liga dan saya percaya pemain dan kelab-kelab mempunyai pendapat masing-masing.

“Tetapi kita tahu ini tugasan negara, kalau boleh saya minta agar mereka diberi masa untuk memikirkan semua ini selepas kita menyelesaikan Sukan SEA. Penting untuk mereka menumpukan perhatian kepada kempen kita di sini,” katanya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN