Jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) lebih tegas dan tidak memberi muka kepada pasukan yang terlibat dengan masalah tunggakan gaji pemain.
FAM diminta berbuat demikian dengan tidak memberikan tempoh lanjutan kepada pasukan terbabit jika masih gagal memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh badan induk itu.
Menurut Irfan, pasukan-pasukan ini telah diberikan tempoh yang cukup untuk mengemukakan bukti seperti yang diminta FAM sebelum ini, dan tiada alasan untuk berdolak dalih lagi.
“Antara syarat untuk memastikan sesebuah pasukan tidak ditolak mata bukan saja memastikan dokumen itu dihantar sebelum tarikh akhir tetapi juga memastikan dokumen itu menepati kriteria yang ditetapkan,” kata Irfan kepada Sinar Harian.
“Sebelum ini pun, banyak kali masalah sebegini berlaku. Ada pasukan yang hantar dokumen tak lengkap sebelum tarikh akhir dan minta tempoh tambahan masa untuk selesaikannya.
“Bagi saya, jika pasukan tersebut tidak mampu memenuhi kriteria yang ditetapkan, maka mereka sebenarnya tidak ada komitmen untuk menyelesaikan hutang pemain dan pegawai yang terlibat.”
Tiga persatuan yang disenaraikan FAM sebelum ini dan dikehendaki menyelesaikan tungakan gaji pemain dan pegawai masing-masing ialah Melaka United, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kelantan.
Bagaimanapun ketiga-tiga pasukan dilaporkan telah menghantar dokumen berkaitan kepada FAM untuk tujuan semakan.
Kegagalan pasukan-pasukan ini berbuat demikian akan mengundang risiko pemotongan mata pada saingan liga nanti.
“Namun, bagi saya hukuman pemotongan mata ini masih lagi ringan sebab mereka masih lagi boleh berbelanja dengan memborong pemain import biarpun ada tunggakan gaji dengan bekas pemain.
“Perkara sebegini sangat mendukacitakan kerana kita berada dalam kancah liga profesional. Seharusnya pengurusan pasukan bijak mengukur kemampuan dan tidak berbelanja boros selepas menyedari mempunyai tunggakan gaji pemain,” tambahnya lagi.