Jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim kekal dengan pendiriannya untuk tidak kembali melatih skuad Terengganu FC walaupun Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) cuba memujuknya dengan menawarkan jawatan baru.
Beliau telah meletak jawatan secara rasmi sehari selepas kekalahan mengejut 5-3 Terengganu kepada Petaling Jaya City FC, minggu lalu dan turut gagal mara ke peringkat separuh akhir Piala FA tahun ini.
“Memang sudah sah saya tidak lagi bersama dengan Terengganu FC walaupun beberapa hari lepas saya sudah bertemu dengan timbalan presiden untuk menyatakan pendirian saya untuk berehat.
“Saya amat berterima kasih kepada pihak pengurusan yang telah memberikan kerjasama sepanjang saya bersama dengan pasukan,” katanya dalam Stadium Astro.
Irfan turut mengakui tahap kesihatannya tidak berapa baik ketika Terengganu mengalami kekalahan besar pada malam tersebut dan mahu berehat daripada sukan bola sepak buat sementara waktu.
“Pekerjaan paling bertekanan tinggi adalah sebagai jurulatih. Pada malam tersebut, saya sememangnya tidak dapat mengawal keadaan saya.
“Suhu badan saya naik terlalu tinggi, jadi doktor terpaksa datang ke rumah saya pada malam tersebut,” tambahnya.
Sepanjang melatih Terengganu FC, Irfan Bakti telah membawa pasukannya menjuarai Piala FA pada tahun 2011, Naib Juara Piala Malaysia dan Naib Juara Liga Super seterusnya layak ke saingan AFC 2012 buat pertama kalinya dalam sejarah bola sepak negeri itu.
Kembalinya buat kali ke-2 pada tahun 2017, beliau memastikan Terengganu FC merangkul Naib Juara Liga Premier sehingga membawa pasukan itu naik ke Liga Super 2018 serta Naib Juara Piala Malaysia tahun lepas.
Skuad penyu itu kini dikendalikan oleh pembantu jurulatih, Nafuzi Zain buat sementara waktu.