Rekod tanpa kalah skuad Terengganu FC (TFC) akhirnya lebur kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kelmarin.
Ketua jurulatih pasukan itu, Irfan Bakti Abu Salim berkata kepada Utusan Malaysia, beliau kecewa apabila pemainnya tidak memanfaatkan peluang di depan mata sehingga membolehkan skuad Harimau Selatan meledak gol tunggal menerusi Marcos Antonio Santos pada minit ke-29.
“Saya kecewa kita tidak menggunakan peluang yang ada dgn JDT, gol yang dijaringkan itu benar-benar terjadi sebagaimana yang saya beritahu pada mereka semasa taklimat supaya jangan ada ruang kosong.
“Yang itulah saya maksudkan kurang konsentrasi seperti dalam taklimat kerana apabila kita bermain dengan orang cerdik, kita perlu melipatgandakan kecerdikan kita.
“Bagi saya pemain tidak tertekan cuma ada yang ‘ball conscious’ walaupun ketika di depan gol, tetapi tidak mengapa kerana kita akan belajar daripada kesilapan ini,” katanya.
Kemenangan ke atas tuan rumah itu membolehkan JDT kembali merampas kedudukan takhta Liga Super daripada PKNS FC menerusi tiga mata penuh yang dibawa pulang.
Jaringan tunggal daripada Marcos Antonio sudah cukup mengisahkan persaingan sengit di antara kedua-dua pasukan. Sudah tentu pasukan yang paling bijak memanfaatkan kesilapan lawan, akan tampil sebagai pemenang.
Terengganu akan bertemu Selangor pada pusingan ketiga Piala FA selepas ini. Irfan berkata beliau mahu pemainnya melupakan kemenangan 4-1 ke atas Selangor dalam saingan Liga Super selepas ini.
“Kemenangan 4-1 sebelum ini sudah jadi sejarah maka kita kena terus berusaha bagi mencapai sasaran mara ke final, iaitu selangkah ke hadapan berbanding prestasi tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, pengendali JDT, Raul Longhi mengakui Terengganu memiliki kekuatan tersendiri yang sedikit sebanyak menyukarkan laluan anak buahnya hingga tamat perlawanan.
“Tiga mata penuh ini amat penting dan kami gembira dengan kemenangan yang dicipta,” katanya.