Kekalahan 4-0 skuad Harimau Malaya kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam perlawanan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 telah mengundang pelbagai reaksi dari peminat dan pemerhati bola sepak tempatan.
Ada yang tampil dengan kritikan pedas. Begitu juga yang kekal optimis dan tampil dengan idea penambahbaikkan dengan harapan prestasi buruk Harimau Malaya dalam perlawanan tersebut tidak akan berulang dalam baki dua lagi perlawanan kelayakan.
Tidak kurang juga di kalanga peminat yang sekadar menghamburkan kata-kata sarkastik dan tuding menuding dek kemarahan yang terpendam – mungkin sebelum itu sudah memasang impian amat tinggi.
Macam-macam jenis reaksi diterima. Pendek kata persembahan buruk pasukan negara pada awal pagi Jumaat itu telah mencetuskan ‘panik’ di kalangan komuniti bola sepak di dalam negara.
Dalam banyak-banyak perbincangan yang kebanyakkannya dilakukan secara santai akibat PKP ini, salah satu yang menarik perhatian saya ialah yang menggunakan aplikasi ‘Clubhouse’ berjudul: “Andai Saya Tan Cheng Hoe” diadakan pada malam tadi.
Bukanlah untuk menafikan kritikan dilemparkan kepada pasukan negara, namun bagi saya perbincangan tersebut berjaya membawa perhatian kita melihat situasi dengan perspektif berbeza, iaitu sekiranya anda adalah Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe.
Bawa skuad lebih besar – 36 pemain
Antara point yang menarik perhatian daripada panelis pada malam tadi ialah cadangan untuk membawa skuad yang lebih besar ke Dubai. Untuk kempen kali ini, Tan Cheng Hoe telah memilih 26 pemain untuk ke Dubai. Skuad Harimau Malaya memulakan latihan di Dubai sejak 21 Mei yang lalu. Mengikut perkiraan, pasukan negara akan berada di Dubai sekitar 29 hari untuk latihan pusat dan mengharungi pusingan kelayakan ini.
Memandangkan ia tempoh yang cukup lama, maka mengapa tidak bawa lebih ramai pemain ke Dubai? Sebagai perbandingan, Indonesia membawa 28 pemain rata-rata pemain muda. Thailand pula membawa 39 pemain ke UAE.
Peraturan FIFA tidak menghadkan jumlah pemain dibawa ke Dubai untuk pusingan kelayakan ini, walaupun hanya 23 pemain didaftarkan untuk pada hari perlawanan.
Di dalam situasi ini, membawa skuad yang lebih besar ibarat serampang dua mata bagi pasukan negara. Selain daripada pool pemain yang lebih ramai untuk dipilih pada hari perlawanan, ia membenarkan jurulatih membawa seramai mungkin pemain muda untuk tujuan pendedahan pengalaman antarabangsa – khususnya untuk mereka yang berpotensi mewakili negara untuk kempen Piala Dunia 2026.
Anggota skuad 36-40 pemain mungkin angka yang lebih sesuai untuk tujuan tersebut.
Siapa pemain tambahan yang akan dipanggil?
Skuad yang lebih besar membenarkan lebih ramai pemain dibawa bersama. 10 pemain lain yang boleh dipertimbangkan dibawa bersama untuk tujuan pendedahan dan back-up ialah seperti Sikh Izhan Nazrel (penjaga gol), Rodney Celvin Akwensivie (pertahanan tengah), Shahrul Nazeem (pemain tengah), Quentin Cheng (bek kanan), Umar Hakeem (bek kiri), Hakimi Abdullah (sayap kiri), Faizal Halim (sayap kanan) Ramadhan Saifullah (tengah menyerang), Afiq Fazail (tengah), Nik Akif (tengah menyerang).
Skuad 26 Pemain Harimau Malaya 🇲🇾
📍 Dubai, UAE | 3-15 Jun 2021#FAM #HarimauMalaya #AsianQualifiers pic.twitter.com/gZ7z0SL0Ka
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) June 2, 2021
Kesemua pemain ini akan berusia 30 tahun ke bawah pada Piala Dunia 2026, dan mempunyai potensi menjadi barisan pelapis negara pada masa hadapan. Selain daripada meraih pengalaman untuk merasa sendiri suasana perlawanan antarabangsa, kehadiran mereka juga boleh digunakan sebagai rakan sparring skuad utama.
Setelah 19 bulan tanpa sebarang aksi kompetitif antarabangsa peluang berlatih selama hampir sebulan dengan fasiliti canggih yang ada di Dubai sepatutnya dimanfaatkan dengan lebih meluas.
Sudah tentu kita tidak pasti sama ada FAM perlu menanggung kos ke Dubai ini atau sebaliknya. Namun dengan andaian ianya ditaja oleh AFC/FIFA kerana kempen kelayakan diadakan secara berpusat, langkah membawa skuad yang lebih besar dilihat lebih banyak manfaat.
Perlawanan menentang UAE
Sebelum kita menyentuh perlawanan menentang UAE, mari kita lebih realistik dan merujuk kepada objektif utama pasukan. Sasaran kita ialah untuk mara ke Piala Asia 2023, bukannya Piala Dunia 2022. Untuk berbuat demikian, pasukan negara memerlukan minima 6 mata dari tiga perlawanan. Namun berdasarkan prestasi pasukan negara pada 2019, kemungkinan untuk melakukan kejutan terhadap UAE (ranking ke-73 dunia) itu ada. Maka berikut adalah pilihan realisitik yang kita ada:
- Tewas bermaruah kepada UAE, menang menentang Vietnam dan Thailand, 6 mata.
- Seri menentang UAE, menang menentang Vietnam dan Thailand, 7 mata.
Sekarang mengenai pemilihan pemain kesebelasan utama termasuk barisan pemain naturalisasi. Mari kita jujur dengan diri kita. Siapa pun jurulatih, pasti akan menurunkan kesebelasan utama yang mirip seperti yang diturunkan Tan Cheng Hoe. Malah skuad kali ini dikatakan antara barisan pemain terbaik pernah dimiliki oleh Harimau Malaya – yang tidak pernah dimiliki oleh jurulatih-jurulatih sebelumnya. Malang sekali pasukan negara gagal menghadirkan prestasi sesuai reputasi yang mereka miliki.
KESEBELASAN UTAMA HARIMAU MALAYA
Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 | 3 Jun 2021 (Waktu UAE)
UAE 🇦🇪 lwn 🇲🇾 MALAYSIA
Sepak mula 7.45 malam (Waktu UAE) / 12.45 tengah malam 4 Jun (Waktu Malaysia)#FAM #HarimauMalaya #AsianQualifiers pic.twitter.com/kft53bDR0Z
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) June 3, 2021
Atau bagaimana jika beberapa perubahan dalam perlawanan dilakukan seperti, keluarkan Guilherme de Paula dengan Syafiq Ahmad. Azam Azih, Syamer Kutty atau Liridon juga boleh memberi laluan kepada pemain lain seperti Nazmi Faiz untuk mencorak kreativiti.
Syafiq Ahmad memperlihatkan corak permainan agresif yang kita hilang hampir sepanjang perlawanan. Bayangkan juga dalam situasi begini, anda memiliki pemain seperti Afiq Fazail yang membuktikan diri lebih rajin/memiliki mobiliti bersama JDT sepanjang musim berbanding Syamer. Begitu juga keadaannya di posisi sayap pada malam itu yang kehilangan arah – biasanya senjata utama pasukan negara.
Ketiadaan Shahrul Saad akibat kecederaan sememangnya satu kehilangan besar di posisi pertahanan. Junior Eldstal pula lebih banyak memberikan keraguan dari keyakinan selepas hampir lima tahun tidak dipanggil. Lihat kembali kepada skuad alternatif yang memiliki pemain seperti Rodney untuk berhadapan dengan fizikal pemain UAE.
Kita mungkin tetap akan tewas dalam perlawanan tersebut. Namun sekurang-kurangnya kekalahan itu tidak meragut moral dan maruah negara.
Elak perkara overhyped
Ada beberapa perkara lain yang berlaku di luar padang dilihat sebagai tidak perlu kali ini. Antaranya ialah pengenalan Dion Cools yang seperti pengenalan pemain di peringkat kelab.
Ia mungkin bertujuan untuk pengisian content oleh unit media FAM. Tetapi pada masa yang sama tindakan sedemikian boleh menghadirkan tekanan yang tidak diperlukan seperti harapan peminat yang melambung tinggi selepas itu.
VIDEO: Datuk Haji Hamidin Tinjau Sesi Latihan Harimau Malaya
Presiden FAM bertanyakan kepada Tan Cheng Hoe persiapan pasukan terutama dengan kehadiran pemain ke-26, Dion Cools yang turun berlatih kali pertama.https://t.co/LrOWCanusL#FAM #HarimauMalaya #AsianQualifiers
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) June 1, 2021
Tugas seorang Ketua Jurulatih juga sepatutnya hanya fokus kepada latihan dan persiapan pemain untuk perlawanan. Dalam salah satu video yang dimuatnaik di dalam FAM, Tan Cheng Hoe dilihat seperti melakonkan babak, bertanya kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bagaimana mereka meyakinkan Cools untuk memilih menyarung jersi pasukan negara.
Tidak salah menggunakan kaedah istimewa memperkenalkan Cools. Tetapi memadai dilakukan ala kadar sama ada sebelum skuad negara terbang ke Dubai, atau umumkan sahaja pada hari Cools menyertai pasukan negara di sana.
Selebihnya seperti fokus, dan energy sepatutnya ditumpukan kepada pencapaian pasukan negara secara menyeluruh.
Rumsan
Perkara di atas adalah antara pandangan menarik yang dilontarkan oleh peserta diskusi Clubhouse: “Andai Saya TCH” pada malam tadi.
Bagaimana pula dengan anda? Apa yan anda lakukan sekiranya anda berada di posisi Tan Cheng Hoe?
Apa pun pandangan anda sekarang, kini tiba masanya untuk kita kembali bersatu memberikan sokongan kepada pasukan negara yang masih mempunyai baki dua perlawanan menentang Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun).
Skuad kendalian Tan Cheng Hoe masih mampu mara ke pusingan akhir Piala Asia sebagai 12 pasukan terbaik dan mengelakkan play-off yang mungkin menambah risiko kelayakan pasukan negara.
Buat pasukan negara, bangkitlah. Ketahuilah harapan kami tidak pernah padam selagi perjuangan belum berakhir.
Baca artikel menarik lain mengenai Harimau Malaya:
3 Kesalahan Fatal Yang Dilakukan Harimau Malaya Menentang UAE
Kalah Kepada UAE, Pemain-Pemain Kacukan Harimau Malaya Akhirnya ‘Bersuara’