Quantcast

BERITA

Inter Milan Mahu Saingi Kelab EPL Untuk Khidmat Bruno Fernandes

Inter Milan dikatakan menggunakan Joao Mario sebagai sebahagian daripada perancangan untuk memancing Bruno Fernandes dari Sporting CP.

“Melihat nama saya dikaitkan dengan Inter itu sangat penting,” ujar pemain antarabangsa Portugal tersebut ketika mengulas minat kelab Serie A itu baru-baru ini.

Segalanya bermula di Itali

Bruno sebenarnya bukan watak asing di saingan Serie A di Itali. Malah karier profesional pemain ini sebenarnya bermula di negara tersebut bersama Navora, sebelum beliau berhijrah menyertai Udinese dan Sampdoria.

Dua tahun yang lalu, Bruno kemudiannya dijual ke Sporting Lisbon dengan tanda harga €10 juta.

Sejak daripada itu, pemain tengah berusia 24 tahun ini semakin mendapat perhatian, dan terkini ialah ketika membantuk negaranya menjuarai UEFA Nations League – menewaskan Belanda 1-0 di perlawanan akhir.

Bersama Sporting CP, Bruno telah tampil di dalam 52 perlawanan sejak dua tahun yang lalu, menjaringkan 32 gol dan menghasilkan 17 bantuan gol dalam tempoh itu.

Ini menjadikan nilai perpindahan Bruno pada hari ini dikatakan mencecah €50 juta.

Masih sayang Itali

Bruno juga tidak menutup ruang untuk kembali beraksi di Itali apabila dipetik sebagai berkata:

“Saya amat gembira ketika di Itali, dan masih lagi menonton perlawanan Serie A secara kerap,” ujar beliau kepada Sport Mediaset.

“Saya tidak tahu sejauh mana minat Inter untuk mendapatkan saya, atau sekiranya ianya benar. Mereka mempunyai jurulatih yang hebat iaitu Antonio Conte yang sudah terbukti ketika bersama Juventus dan Itali.

“Tetapi untuk melihat nama saya dikaitkan dengan Inter, ia amat penting bagi saya.”

Inter saingi kelab EPL

Tottenham Hotspur, Liverpool dan Manchester United adalah antara kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berminat untuk mendapatkan khidmat Bruno untuk saingan musim hadapan.

Manchester United misalnya dikatakan telah menawarkan €40 juta untuk mendapatkan pemain ini. Namun Football Italia juga melaporkan Inter Milan tampil dengan idea lain untuk menarik minat Sporting CP berurusniaga dengan mereka.

Ia termasuk menawarkan Joao Mario kepada Sporting CP berserta nilai perpindahan yang lebih rendah. Pemain berusia 26 tahun itu juga dikatakan berminat untuk kembali menyertai kelab lamanya, selepas berhijrah ke Itali pada 2016 dengan nilai €40 juta.

Saksikan rangkuman aksi Bruno Fernandes ketika menyarung jersi Sampdoria satu ketika dahulu melalui pautan di bawah.