Meskipun pahit untuk ditelan, namun itulah hakikat yang perlu diterima dalam lumrah perjalanan karier bola sepak setiap individu.
Itali yang memiliki reputasi gah dalam cerita dan memori Piala Dunia sejak zaman berzaman akhirnya kecundang selepas 60 tahun bertahan.
Bukan itu sahaja, pasukan-pasukan yang turut dilabel sebagai pasukan yang berpengaruh seperti Belanda, Amerika Syarikat, Ghana, Chile dan Ivory Coast perlu mengakui betapa tahun 2018 bukanlah peluang untuk mencipta kegemilangan.
Berdasarkan beberapa negara yang terlepas ke Rusia tahun depan, ada beberapa pemain yang memiliki nama besar dan dilihat mempunyai peluang untuk menyinar dalam kejohanan paling berprestij ini, namun terpaksa melupakan hasrat itu.
Kami di SemuanyaBola akan menyenaraikan pemain-pemain itu dan meletakkan dalam senarai kesebelasan utama yang tidak akan membuat penampilan tahun depan di Rusia.
Penjaga Gol: Gianluigi Buffon (Itali)
Lagenda Itali yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Memiliki 175 caps seterusnya merupakan pemain yang memiliki caps tertinggi di Eropah, namun masih tidak mampu memintas Ahmed Hassan dari Mesir dengan 184 kaps.
Perlawanan terakhir bertemu Sweden pasti akan diingatinya tatkala sebelum ini memasang impian untuk menjadi satu-satunya pemain dalam skuad juara 2006 yang masih bermain di kejohanan ini.
Bek kanan: Antonio Valencia (Ecuador)
Berada dalam situasi yang boleh disifatkan penghujung karier, adakah sinar buat pemain ini untuk beraksi dalam Piala Dunia 2022 nanti di mana umur beliau akan menginjak kepada 36 tahun.
Jadi, sepatutnya, pentas 2018 perlu digunakan sebaik mungkin untuk membuktikan kehadiran pemain ini betul-betul dirasai dunia dan dapat menyumbang sesuatu kepada pasukannya pada kejohanan edisi 2018.
Namun, semuanya sudah tertulis, setidak-tidaknya, kejohanan pada 2014 dapat dirasai namun belum cukup untuk mengegar persada dunia.
Bek tengah: Giorgio Chiellini (Itali)
Selepas Buffon, pemain ini dijangka membuat penampilan dalam kesebelasan skuad Azzuri. Memiliki lebih dari 90 caps, menceritakan pengalaman yang ada pada beliau bersama pasukan.
Pasti segar dalam ingatan kita semua akan insiden pemain ini digigit Luiz Suarez pada edisi 2014 Brazil. Apa yang pasti, tiada lagi persembahan yang tenang dari pemain pertahanan tinggi lampai ini seterusnya membuatkan penjaga gol yang lain lebih tenang dalam situasi “set-piece”.
Bek tengah: Gary Medel (Chile)
Bekas pemain Inter Milan dan kini beraksi untuk Besiktas. Boleh dianggap seorang pemain yang berpengaruh dalam pasukan Chile. Buktinya, gol dari pemain ini yang membawa pasukannya ke Piala Dunia 2014 lalu.
Selain itu, beliau turut berperanan dalam mengekalkan kubu dari dibolosi Sepanyol pada perlawanan Piala Dunia 2014 peringkat kumpulan seterusnya menidakkan laluan Sepanyol ke pusingan seterusnya.
Bek kiri: David Alaba (Austria)
Umur yang dianggap sesuai untuk ‘peak’ dari aspek prestasi. Namun, pemain berumur 25 tahun ini perlu menerima hakikat bahawa Austria belum betul-betul layak untuk ke Rusia.
Menjadi pilihan utama dalam skuad Bayern Munich membuktikan mengapa pemain ini begitu istimewa. Walaubagaimanapun, Alaba gagal membantu pasukannya mara ke Rusia dan perlu menunggu 4 tahun lagi bagi mengakhiri kemarau sejak 1998.
Tengah Pertahanan: Arturo Vidal (Chile)
Selain Medel, seorang lagi tonggak Chile yang patut diangkat sebagai hero yang banyak membantu jatuh bangun pasukan Chile.
Meskipun tidak menghasilkan sebarang gol pada edisi 2014, namun sumbangannya jelas tampak dalam mengemudi jentera tengah bersama Charles Aranguiz.
Edisi pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 jelas tidak memihak pemain ini apabila beliau dengan tidak sengaja menjaringkan gol sendiri ketika bertemu Paraguay, seterusnya menyulitkan Chile layak ke Rusia.
Tengah serangan: Christian Pulisic (Amerika Syarikat)
Pemain yang mendapat liputan meluas media terutamanya di Bundesliga. Disifatkan sebagai antara ‘wonderkid’ yang pantas menggegar arena bola sepak Eropah.
Tumpuan pasti terarah buat pemain Borussia Dortmund berusia 19 tahun ini dalam membantu pasukan Amerika Syarikat dalam kempen Piala Dunia.
Namun, beliau memerlukan 4 tahun lagi untuk melakukan ‘debut’ seterusnya menyaksikan pemain ini tercicir dalam senarai pemain muda seperti Julian Brandt, Leroy Sane, Kylian Mbappe, Marcus Rashford, Gabriel Jesus, Ousmane Dembele dan Renato Sanchez yang bakal membuat penampilan di Rusia nanti.
Sayap kiri: Gareth Bale (Wales)
Selepas Mark Hughes dan Ryan Giggs, Gareth Bale mungkin perlu menerima hakikat betapa pentas Piala Dunia terlalu besar buat Wales. Namun, di usia 28 tahun, sekurang-kurangnya beliau masih boleh mencuba pada edisi 2022.
Dilabelkan sebagai pemain yang mencatatkan rekod perpindahan yang tinggi, memiliki kepantasan dan kemahiran setanding rakan sepasukan di Real madrid, sudah pasti ini adalah elemen yang bakal dinanti seluruh penonton tahun hadapan.
Malangnya, dengan nilai yang ada pada beliau, menjadikan pentas Piala Dunia agak kurang serinya.
Sayap kanan: Arjen Robben (Belanda)
Piala Dunia 2014 pasti menjadi rujukan betapa pemain ini banyak terlibat dalam gerakan pasukan Belanda sehinggakan Belanda mampu melepasi ke peringkat separuh akhir.
Tersangkut di saingan separuh akhir 2014 gara-gara penentuan sepakan penalti bertemu Argentina, Robben dilihat bakal membawa semula cabaran pasukan ini untuk kempen 2018.
Namun, apakan daya, Belanda sekadar berpuas hati menduduki tangga ketiga dalam kumpulan A dibelakang Sweden dan Perancis.
Penyerang kedua: Alexis Sanchez (Chile)
Pilihan ketiga dari skuad Chile ini adalah seorang penyerang prolifik. Dia dikatakan berada dalam landasan yang amat sesuai untuk nenyaingi lagenda Marcelo Salas dan Ivan Zamorano.
Pada edisi Piala Dunia 2014, beliau merupakan salah seorang pemain yang gagal menyudahkan sepakan penalti ketika perlawanan pusingan kedua bertemu tuan rumah, Brazil. Mungkin beliau memasang niat untuk menebusnya pada 2018, tapi apakan daya, hasrat itu harus dilupakan.
Penyerang: Pierre-Emerick Aubameyang (Gabon)
Musim 2016/2017 meletakkan pemain ini berada dalam kelas yang tersendiri. Mencatat jumlah jaringan yang tinggi dalam saingan liga membuatkan ada yang memasang impian untuk melihat aksinya di pentas Piala Dunia.
Bola sepak ialah permainan berkumpulan, bukan bergantung pada individu. Penampilannya bersama skuad Gabon sepanjang kempen kelayakan Piala Dunia tidak mampu merubah nasib pasukan ini untuk setanding dengan negara Afrika yang lain.
Pemain simpanan:
Jan Oblak (Slovenia/Atletico Madrid)
Naby Keita (Guinea/RB Leipzig)
Miralem Pjanic (Bosnia Herzegovina/Juventus)
Marek Hamsik (Slovakia/Napoli)
Edin Dzeko (Bosnia Herzegovina/Roma)
Daley Blind (Belanda)
Henrikh Mkhitaryan (Armenia/Manchester United)
Apa pula kesebelasan ‘melepas’ pilihan anda?