Pengendali Pahang, Dollah Salleh menyatakan yang perancangannya terganggu dengan perpindahan kapten dan pertahanan kanan, Matt Davies ke Johor Darul Ta’zim (JDT).
Di saat pasukan dilanda masalah kewangan dan persediaan pra-musim yang sedikit lewat akibat pelbagai masalah pasukan, Matt Davies pula akhirnya memilih untuk ‘angkat kaki’.
Mungkin ini adalah satu jalan penyelesaian kepada masalah kewangan Pahang yang dikatakan telah merencatkan persediaan Tok Gajah musim ini dan Matt Davies yang sepatutnya meninggalkan pasukan pada hujung musim terpaksa dilepaskan awal.
Para penyokong dilihat kurang berpuas hati dengan apa yang telah berlaku, namun tidak menyalahkan kapten mereka kerana ia mungkin yang terbaik untuk perjalanan kariernya.
Sebagai pemain utama Pahang dan juga skuad kebangsaan, Matt Davies pastinya mahukan cabaran baharu yang lebih tinggi, tetapi dengan situasi Pahang kini, ianya tampak sukar.
JDT yang mengalami masalah di posisi bek kanan itu lantas mengambil peluang untuk membawa pemain berusia 25 tahun itu ke sana dengan jaminan yang lebih baik.
Apa yang boleh dikatakan adalah, Pahang perlu melupakan Matt Davies dengan segera. Situasi ini telah dilalui Perak ketika kehilangan Brendan Gan yang berpindah ke Selangor.
Pada peringkat awal, banyak pihak termasuk penyokong dan rakan sepasukan merasakan kehilangan Brendan Gan yang boleh dikatakan tonggak penting pasukan sejak musim 2018.
Mehmed Durakovic juga dilihat berwajah mendung ketika disoal mengenai kehilangan itu, namun segalanya perlu dilalui seperti biasa bak katanya, “Apa boleh buat. Inilah bola sepak.”
Mungkin pada saat ini, kehilangan itu amat terasa kerana pemergiannya dengan liga hanya berbaki kurang dua minggu lagi disamping beliau juga merupakan tonggak di posisi tersebut.
Lima musim di Pahang, bermula sebagai pemain kacukan biasa, kini Matt Davies merupakan pemain penting buat skuad Harimau Malaya dalam kempen kelayakan Piala Dunia/Piala Asia.
Jika Perak, yang kehilangan pemain tonggak dan turut bermula lewat untuk aksi pra-musim, mampu mempamerkan permainan baik, Pahang juga mampu untuk melakukannya.
Perak menang selesa 3-1 ke atas Kedah, yang tampak berbelanja besar untuk pemain-pemain baharu musim 2020 dalam aksi Unity Shield baru-baru ini, jadi Pahang juga harus mencari semula kekuatan mereka. Jadikan Perak sebagai motivasi untuk kembali gagah.
‘No Brendan Gan, No Problem. No Matt Davies, No Problem.’
KREDIT FOTO: PAHANG FA