Arsene Wenger menyatakan rasa simpati beliau ke atas petugas perubatan Tottenham Hotspur selepas insiden melibatkan Jan Vertonghen – dalam aksi menentang Ajax.
Berdasarkan pengalaman beliau, apabila keadaan itu berlaku, petugas perubatan akan disiasat dan diminta memberikan penjelasan. Sudah pastinya hari ini hari yang sukar dilalui oleh mereka.
Ada pengurusan yang terus memecat pegawai perubatan sekiranya kes seperti ini berlaku kerana kecuaian dan kegagalan bertugas sebaiknya. Tidak kurang juga pegawai terlibat berhadapan dengan saman daripada pengurusan.
Vertonghen menerima rawatan dan pegawai perubatan memberikan isyarat bahawa pemain itu boleh bermain. Vertonghen hanya perlu menukar bajunya yang berlumuran darah.
Namun malangnya, sebaik sahaja masuk – tidak lama selepas itu Vertonghen memberikan isyarat kepada pengurus beliau bahawa dia mahu ditukar dan tidak mampu meneruskan permainan. Vertonghen yang terbaring kemudiannya termuntah kerana impak daripada ‘concussion’.
Wenger agak kecewa kerana pegawai perubatan membenarkan pemain yang mengalami hentakan di kepala meneruskan permainan.
Sebelum ini petugas perubatan Liverpool enggan melayan permintaan Fabinho yang baru masuk beberapa minit. Ketika itu Fabinho mahu masuk ke padang menyatakan beliau boleh bermain.
Petugas perubatan Liverpool memberitahu Klopp mereka tidak membenarkan perkara itu dan Klopp menghormatinya dengan memasukkan James Milner.
Berbalik kepada insiden melibatkan Vertonghen, Wenger berkata: “Saya ada banyak kali memberitahu doktor pasukan saya dahulu bahawa tindakan seperti ini boleh diambil tindakan undang-undang, digantung tugas ataupun sebagainya. Perkara ini sangat penting.”
“Doktor-dokot ini sudah melalui ujian penilaian, mereka juga sudah diberitahu protokol. Dalam konferens sekalipun mereka kerap diingatkan tentang peraturan ketat ini dan mereka sangat takut melakukan kesilapan seperti ini. Ini kerana mereka harus mengambil kira risiko kerana tindakan mereka itu. Mereka boleh hilang kerja kerananya.”
“Saya sentiasa tegas dalam hal seperti ini. Tidak pernah ambil mudah sama sekali. Doktor hari ini sangat berpendidikan dan mereka sangat cakna berhadapan dengan masalah besar.”
Dalam sidang media perlawanan Pochettino mengesahkan bahawa beliau tidak mengeluarkan Vertonghen kerana doktor pasukan menyatakan pemain itu boleh meneruskannya.
Pochettino berkata: “Saya tidak terlibat dalam keputusan membenarkan beliau terus bermain. Itu terletak pada doktor pasukan kami pada ketika itu.”
“Staf perubatan mengikuti protokol dan saya tidak sama sekali akan campur tangan dalam urusan seperti itu.”
“Vertonghen sudah kembali OK. Saya harap perkara ini tidak diperbesarkan. Kami akan terus memantau keadaan beliau kerana itu hantukan yang kuat.”
“Kami harus melindungi para pemain kami. Saya risau juga dengan keadaan beliau – itu normal. Ini kerana keutamaan kami adalah kesihatan pemain.”