Ini Sebab Pelantikan Pau Marti Vicente Sebagai Pembantu Kim Pan-gon Dianggap Penting Untuk Masa Depan Harimau Malaya

Nama Pau Marti Vicente tiba-tiba menjadi bualan peminat bola sepak di Malaysia. Ia susulan nama jurulatih itu adalah dikatakan adalah salah seorang anggota kejurulatihan baharu untuk skuad Harimau Malaya.

Jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan-gon dijadualkan akan sampai ke Malaysia pada Februari ini untuk memulakan tugas sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya yang baharu menggantikan Tan Cheng Hoe.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, turut didatangkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ialah empat jurulatih  pilihan Kim Pan-gon sendiri, yang akan bertindak sebagai pembantu beliau.

Tatkala komuniti bola sepak di dalam negara sedang tertanya-tanya siapakah di kalangan jurulatih tempatan yang akan turut menyertai pasukan kejurulatihan baharu di bawah Kim Pan-gon, salah satu nama daripada empat jurulatih pilihan pengendali dari Korea Selatan itu kini telah didedahkan.

Berdasarkan perkongsian oleh wartawan Astro Arena, salah seorang pembantu jurulatih yang didatangkan bersama Kim Pan-gon adalah Pau Marti Vicente.

Siapakah Pau Marti Vicente? Dan mengapakah penyokong bola sepak negara harus teruja dengan pelantikan beliau?

Siapakah Pau Marti Vicente?

Pau Marti Vicente adalah jurulatih yang berasal dari Sepanyol, dan mempunyai pengalaman luas di peringkat pembangunan bersama akademi terkenal milik Barcelona FC, iaitu La Masia.

Pau Marti juga bukan watak asing bagi Kim Pan-gon kerana kedua-duanya pernah bekerja bersama-sama ketika bersama Persatuan Bola Sepak Hong Kong.

Di Hong Kong, Pau Marti pernah menjawat pelbagai jawatan di peringkat kelab dan kebangsaan. Tiba di Hong Kong dengan reputasi sebagai Pengarah Teknikal dan Pengurusan Sukan Sekolah Sukan Barcelona (ESCOLA), beliau kemudiannya diberikan kepercayaan untuk mengendalikan skuad remaja (feeder club) Kitchee FC pada 2011.

Pada tahun berikutnya, Pau Marti diberikan kepercayaan untuk bergelar pembantu jurulatih kepada Josep Gombau (juga dari Sepanyol) dan membantu kelab itu meraih kejayaan segera merangkul kejuaraan Liga Hong Kong selama dua musim berturut-turut.

Pau Marti juga pernah mengendalikan skuad B-13 Hong Kong, sebelum diberikan tanggungjawab sebagai pembantu dan penganalisis perlawanan pada November 2012 ketika Kim Pan-gon buat kali pertama dilantik sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Hong Kong.

Di sinilah perkenalan kedua-dua individu tersebut bermula, dan kali ini kedua-duanya sekali lagi bekerjasama untuk membimbing skuad kebangsaan Malaysia.

Berdasarkan pengalamannya sebelum ini, tidak keterlaluan juga jika kita melabel Pau Marti adalah individu di sebalik tabir yang membangkitkan ‘roh’ bola sepak Hong Kong pada sejak 10 tahun yang lalu.

Mengapa penyokong Malaysia harus teruja?

Ada sebab mengapa penyokong Malaysia harus teruja melihat Pau Marti Vicente sebagai sebahagian daripada barisan kejurulatiah di bawah Kim Pan-gon. Ini kerana pengalaman utama jurulatih tersebut bersama Barcelona.

Pernah membimbing skuad Barcelona B-18 bersama Xavi Garcia Pimienta pada 2017-2018, dan kini di bawah Iban Cuadrado, Pau Marti adalah pelatih kepada antara bakat-bakat besar Barcelona dan eropah.

Pada musim 2017-18 misalnya Pau Marti bersama Garcia Pimienta berjaya membawa skuad remaja Barcelona itu menjuarai pertandingan UEFA Youth League.

Antara pemain berbakat besar di dalam skuad remaja Barcelona bersama skuad tersebut dan selepas itu adalah seperti pemain tengah meningkat naik, Riqui Puig dan Alvaro Sanz; bek tengah meningkat, Arnau Comas; penjaga gol, Arnau Tenas; dan wonder kid, Ansu Fati.

Semua pemain ini kini adalah anggota skuad utama Barcelona dan dianggap sebagai masa depan kelab Catalan dan Sepanyol. Beberapa pemain lain dari anggota skuad muda Barcelona yang sama juga kini beraksi bersama kelab-kelab utama lain di Sepanyol, Itali dan beberapa negara eropah yang lain.

Apakah kepentingan pengalaman dan peranan yang boleh dimainkan Pau Marti Vicente untuk skuad Harimau Malaya di sini?

Membentuk masa depan Harimau Malaya

Seperti yang kita semua sedia maklum skuad negara pada hari ini dianggotai oleh pemain-pemain yang agak berusia.

Bukanlah untuk menafikan sumbangan beberapa pemain selama ini, namun hakikatnya skuad negara pada hari ini perlu dirombak dan lebih ramai pemain muda perlu dibawa masuk untuk memberi nafas baharu yang lebih segar kepada pasukan negara sekiranya mahu bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

Skuad B-23  negara kendalian Brad Maloney misalnya menyaksikan beberapa pemain muda yang dahaga untuk pergi lebih jauh.

Sekiranya bekas pengendali pasukan negara Tan Cheng Hoe sebelum ini pernah memanggil pemain seperti Luqman Hakim Shamsuddin, Mukhairi Ajmal, Quentin Cheng dan Arif Aiman, akan lebih ramai lagi pemain muda berkemampuan seperti pemain-pemain ini turut boleh diberikan peluang oleh Kim Pan-gon selepas ini.

Adalah penting untuk pasukan negara sentiasa memiliki pemain baharu untuk diserap ke dalam skuad utama kebangsaan, dan transisi ini perlu dilakukan dengan sebaik mungkin. Di sinilah pengalaman dan kepakaran Pau Marti dilihat boleh membantu.

Ini menjadikan dua kejohanan utama yang disertai skuad Brad Maloney pada tahun ini menjadi amat penting. Skuad B-23 negara  akan berhadapan dengan kejuaraan AFF B-23 yang bakal bermula 14 hingga 26 Februari akan datang, sebelum menghadapi Piala Asia B-23 pada Jun nanti.

Kami pasti Kim Pan-gon dan pembantunya, Pau Marti Vicente akan mengikuti rapat dua kejohanan ini untuk membentuk gandingan baharu skuad utama kebangsaan.

Dalam kita selalu mengkritik, kredit juga harus diberikan kepada FAM khususnya kepada presiden, Dato Haji Hamidin Mohd Amin. Kami yakin pihak FAM turut melihat perkara ini sebelum memutuskan pelantikan Kim Pan-gon dan barisan kejurulatihan yang dibawa oleh pengendali dari Korea Selatan itu.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN