Ini Sebab Nooa Laine Jadikan Selangor Selaku Pilihannya Untuk Musim 2024/2025

Pemain muda berbakat besar, Nooa Laine secara rasminya kini menjadi pemain terbaharu menyertai Selangor untuk saingan musim 2024/2025 bagi saingan domestik serta di pentas Asia.

Nooa yang sebelum ini beraksi bersama SK Seinajoki di Finland, secara rasminya telah pun diumumkan oleh Selangor beberapa minit lalu menerusi media sosial serta mendapat maklum balas cukup positif dalam kalangan peminat The Red Giants.

Pemain warisan berdarah kacukan Malaysia-Finland dilaporkan menyertai Selangor dengan status pinjaman dan diberi pilihan untuk dibeli secara tetap oleh kelab tersebut menerusi kenyataan laman itu

Untuk rekod, Nooa menyertai dunia bola sepak profesional pada tahun 2018 bersama Jyväskylän Jalkapalloklubi atau lebih dikenali sebagai JJK Jyväskylä bagi saingan divisyen kedua di Finland.

Sepanjang beraksi bersama kelab itu, Nooa telah diberi peluang beraksi sebanyak 15 perlawanan serta turut menjaringan satu gol buat pasukan tersebut.

Pada musim 2019, Nooa melebarkan karier beliau dalam sukan bola sepak profesional untuk menyertai kelab pembangunan HJK Helsinki sehingga 2020 bersama 26 penampilan serta lima jaringan berjaya diledaknya.

Musim 2021 menjadi saat terbaik buat bintang muda ini apabila beliau dilamar SJK Seinajoki serta mencipta sensasi tersendiri buat pasukan itu menerusi impaknya di atas padang untuk mempengaruhi corak permainan kelab berkenaan.

Sepanjang beraksi dalam saingan divisyen satu di Finland, pemain berusia 21 tahun itu telah beraksi sebanyak 64 perlawanan dengan empat jaringan gol turut terhasil.

Malah, Nooa juga turut diberi peluang untuk beraksi dalam saingan UEFA Europa Conference League sebanyak empat perlawanan dan berhasil memperoleh satu jaringan.

Tahun 2022 menjadi detik awal buat Nooa untuk mewakili skuad bawah 23 (B-23) kebangsaan dan sentuhannya memastikan Malaysia layak ke saingan Piala Asia B-23 di Qatar.

Konsistensi serta disiplin tinggi dipamerkan Nooa menyaksikan beliau turut menarik minat skuad senior yang dikendalikan oleh Kim Pan-gon untuk menyenaraikan beliau dalam beberapa perlawanan di pentas antarabangsa.

Sebelum mewakili negara, Nooa terlebih dahulu mencipta penampilan bersama pasukan kebangsaan Finland untuk kategori B-15, B-16, serta B-17 sebelum mewakili Malaysia.

Nooa menjelaskan sebab utama beliau memilih Selangor untuk saingan musim seterusnya kerana tertarik akan hala tuju pasukan tersebut.

“Selangor FC telah lama menghubungi saya untuk menjelaskan peranan dan kepentingan khidmat saya buat pasukan.

“Sejak dari itu, saya juga telah banyak mendengar perkara-perkara positif berkenaan budaya dan hala tuju kelab dari rakan-rakan sepasukan skuad kebangsaan Malaysia.

“Sejujurnya, saya gembira dengan keputusan untuk bersama mereka kerana saya yakin Selangor FC akan menjadi kelab yang membantu saya mencapai kejayaan bersama.”

“Antara kelebihan yang saya miliki adalah saya mampu mengimbangi perlawanan di bahagian tengah padang, saya juga boleh menjaringkan gol dari pelbagai sudut dan boleh bermain di pelbagai posisi untuk membantu pasukan musim ini

“Bagi saya, bermain di bawah jagaan Tan Cheng Hoe bermaksud saya akan belajar banyak perkara untuk mengembangkan lagi bakat saya sebagai seorang pemain dan ia juga akan membantu pasukan di masa akan datang, kerana saya yakin dia merupakan seorang jurulatih yang hebat,” kata pemain tersebut menerusi laman rasmi Selangor.

Nooa juga mengakui tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri bersama Selangor kerana ini bukan kali pertama beliau di Malaysia dan sudah dikelilingi ramai rakan tempatan lain.

Malah, Nooa juga tidak sabar untuk beraksi bersama pasukan tersebut kerana mengakui The Red Giants memiliki ramai penyokong fanatik.

“Saya pernah   melihat beberapa video dimana Selangor FC mempunyai ramai penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan-perlawanan sebelum ini, ia buat saya teruja untuk beraksi di hadapan anda semua. Semoga kita berjumpa tidak lama lagi,” katanya akhir sekali.

Sumber:
Selangor FC

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN