Ebenezer Assifuah dikatakan lebih tajam berbanding Willian Lira oleh sebilangan penyokong Kedah Darul Aman, tetapi tahukah anda kisah Jordan Mintah ketika Nafuzi Zain menjadi ketua jurulatih Terengganu?
Terdapat gesaan untuk Nafuzi menggantikan Lira dengan Assifuah sejak beberapa perlawanan lalu dan ia semakin memuncak selepas aksi malam tadi – Sri Pahang hampir menewaskan mereka tetapi diselamatkan jaringan Jonathan Balotelli di minit-minit akhir perlawanan untuk keputusan 1-1.
Lira sudah tampil dalam enam perlawanan dan meledak dua gol dan satu ‘assists’. Ia bukanlah satu statistik yang buruk tetapi sedikit sederhana.
Nampak ada tekanan dalam aksinya di padang menjadikan percubaan dan penyudahnya mungkin sedikit terjejas. Mungkinkah Lira sudah tertekan?
Statistik Lira selepas enam perlawanan
Manakan tidak, sebagai penyerang, tentunya jumlah gol jadi ukuran.
Mikel Arteta 'concerned' about Pierre-Emerick Aubameyang drought https://t.co/LpkOGMzQBw pic.twitter.com/KRMmbNan2l
— Gunners Today (@gunners_today) December 6, 2021
Pengendali Arsenal, Mikel Arteta pernah menjelaskan tentang perkara ini ketika Pierre-Emerick Aubameyang kehilangan sentuhan jaringannya.
“Prestasi Auba selalu terkait dengan jumlah jaringannya. Ada perkara lain juga selain daripada menjaringkan gol [untuk dinilai], tetapi jelas kami sangat memerlukannya, kerana gol-golnya sangat penting untuk kejayaan kami,” jelas pengendali itu saat Aubameyang sedang dalam kemarau jaringan.
Ini pula komen oleh pengendali Manchester United, Ralf Ragnick tentang kemarau jaringan Cristiano Ronaldo, “Dia sepatutnya sudah jaringkan banyak gol, sangat jelas. Saya rasa kami sudah cipta peluang dan ruang yang cukup dalam beberapa perlawanan ini, tetapi kami masih gagal meledak gol.”
Apabila anda adalah seorang penyerang, inilah ukuran prestasi anda.
Yang menampakkan keburukkan prestasi Lira adalah keberkesanannya di depan gol apabila hanya merekodkan 18.8 peratus percubaan tepat. Daripada 16 percubaan diciptanya, hanya tiga merupakan percubaan tepat. Ini bermakna, jika dimanfaatkan, prestasi Kedah akan lebih baik ketika ini.
📊 LS6 ✅#LigaSuper2023 #DemiLigaKita pic.twitter.com/SdspoHayJr
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 1, 2023
Selepas enam perlawanan, Kedah kini berada di kedudukan ke-2 dengan 13 mata, hanya lima mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Kedah hanya tewas sekali dan terikat dengan keputusan seri sekali. Ia tidaklah seburuk yang disangka. Cuma Sang Kenari tidak sepatutnya tewas 0-1 kepada PDRM dalam aksi ketiga liga. Ini kerana, mereka beraksi di laman sendiri di hadapan lebih 12,000 penyokong mereka ketika itu.
Dalam perlawanan itu, Lira mensia-siakan dua peluang dan mencipta dua hantaran kepada Al-Hafiz dan Balotelli yang turut disia-siakan mereka. Jika ia dimanfaatkan, sudah tentu keputusan boleh memihak kepada mereka.
Kedah sudah terdesak tukar penyerang?
Nafuzi mungkin akan terus memberi kepercayaan kepada Lira disebabkan beliau adalah tonggak utama penyerang yang telah dipilih sebelum ini.
Kedah tidaklah terlalu terdesak untuk menukar penyerang jika melihat kepada kedudukan pasukan di saingan liga. Masih ada ruang buat Lira.
Malah beliau turut tegaskan bahawa inilah aksi terbaik pasukan setakat ini.
🎙 Sesi sidang media LS6 bersama Nafuzi Zainhttps://t.co/UsJhn2dH3C
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) April 2, 2023
“Dari segi rentak, ini adalah ‘game’ terbaik setakat ini. Mungkin sebelum ini ada yang baik, tetapi keseluruhannya dari segi ‘defending’, ‘midfield’, ‘attacking wise’ masih baik,” ungkap pengendali berusia 44 tahun itu.
Begitupun beliau mengakui kekurangan penyudah jentera serangan.
“Dari segi permainan, saya sangat berpuas hati. Apa yang saya mahu, pemain dapat tunjukkan pada malam ini. Cuma kalau dapat ditambah dengan jaringan, ia akan lebih sempurna,” jelas Nafuzi lanjut mengenainya.
Jadi, simpan dahulu hasrat anda untuk melihat Assifuah diturunkan Nafuzi.
Ya, Assifuah sudah meledak tiga gol dalam empat penampilan bersama KDA B – skuad Piala MFL Kedah, tetapi ia adalah pentas saingan untuk skuad B-23. Berbanding Liga Super, mungkin ia dilihat kurang kompetitif.
Ini juga bersandarkan masalah yang sama pernah dilalui Nafuzi Zain ketika membimbing Terengganu – penyerang utamanya gagal meledak gol.
Situasi Lira sama dengan David da Silva
Terengganu pernah melalui masalah penyerang utama gagal menjelmakan sentuhan jaringannya iaitu David da Silva. Ia berlaku pada musim 2021 di mana penyerang Terengganu II, Jordan Mintah dilihat tampil cemerlang di Liga Premier tetapi seolah-olah tidak mendapat perhatian daripada Nafuzi.
Berbeza dengan Assifuah, Mintah pernah menggantikan Da Silva dalam perlawanan liga dan menghasilkan empat gol serta dua ‘assists’ dalam enam penampilan. Tetapi, ia tidak cukup untuk meyakinkan Nafuzi.
Nafuzi menjelaskan Mintah dikembalikan ke skuad simpanan kerana Da Silva telah pulih daripada kecederaan yang dialaminya sebelum itu.
Mungkin ketika itu, Nafuzi masih yakin yang penyerang kelahiran Brazil itu mampu mencipta sesuatu kerana baru tampil sekali dalam aksi pembukaan liga berdepan UiTM di mana beliau berjaya melakar satu jaringan gol.
Kepercayaannya dibalas dengan satu gol ketika kembali untuk membenam Kedah 2-1 di Darul Aman. Namun selepas itu, beliau kemarau dalam tiga aksi berturut-turut sebelum mencipta satu lagi gol berdepan UiTM.
Pada penghujung musim, hanya tujuh gol dihasilkannya dalam 15 aksi.
Adakah Lira akan melalui situasi yang sama dengan Da Silva musim ini?
Ironinya, kedua-duanya merupakan penyerang import dibawa dari Brazil.
Assifuah akan ganti Lira sebagai penyerang?
Nafuzi bukanlah pengendali yang cepat untuk menekan butang panik.
Nafuzi tidak sesekali akan terus memberikan Assifuah ruang ketika ini.
Terbukti ketika beliau di kem Sang Penyu, Da Silva diberi ruang yang mencukupi untuk membuktikan dirinya. “Saya mesti adil bagi pemain-pemain saya. Saya telah bagi peluang semusim di Liga Super kepada David da Silva dan mungkin kali ini peluang kepada Jordan Mintah,” ungkapnya.
Mintah diberi peluang dalam pentas Piala Malaysia dan membawa mereka ke peringkat semi-final sebelum ditumpaskan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Oleh itu, dapat dirasakan yang Lira akan terus diberikan peluang. Mungkin beliau perlu keluar dari kepompong tekanan dan bermain seperti biasa. Disamping itu, pemain lain juga perlu memanfaatkan deretan peluang dimiliki. Tidak wajar untuk meletakkan semua kesalahan ke atas bahunya.
Assifuah perlu terus fokus dengan Piala MFL buat sementara ini – terus membuktikan ketajamannya. Kedah bakal berdepan cabaran sukar Penang, JDT, KL City dan Negeri Sembilan, jadi mustahil beliau akan dipertaruhkan.