Katsuhito Kinoshi yang merupakan pengendali utama baharu Selangor tampil menjelaskan mengapa Marques Davidson dianggap pilihan tepat selaku pembantu jurulatih kelab tersebut musim ini.
Terdahulu, Davidson secara rasminya diperkenalkan selaku pembantu jurulatih baharu yang bakal membantu Kinoshi untuk memperkukuhkan kembali corak serta permainan The Red Giants.
Menerusi perkongsian dibuat oleh Selangor, Davidson dilaporkan memiliki pengalaman cukup luas selaku pemain serta jurulatih di Eropah dan Jepun serta menepati kehendak Kinoshi.
“Sebagai bekas pemain profesional, Marques pernah beraksi bersama beberapa kelab terkemuka di Jepun, termasuk Omiya Ardija, Albirex Niigata, Vissel Kobe, C’dole Sapporo, dan Tokushima Vortis.
“Selepas bersara sebagai pemain pada tahun 2017, Marques beralih ke dunia kejurulatihan, bermula di kelab pertamanya, Omiya Ardija, di mana beliau menjadi jurulatih bersama pasukan muda (B-7 hingga B-11).
“Perjalanan kejurulatihannya kemudian membawanya ke China pada tahun 2019, di mana beliau melatih skuad B-9 Guangzhou R&F FC sebelum beralih ke peranan sebagai Penolong Jurulatih di Shijiazhuang Ever Bright FC pada tahun 2020.
“Tiga tahun seterusnya, beliau bekerja bersama pasukan B-15 dan B-18 Kogishima United FC di Jepun dan dilantik sebagai Pengarah Pembangunan di Shaanxi Union FC pada awal tahun 2024,” ujar laman tersebut.
Jelas Kinoshi, beliau pada awalnya telah pun menetapkan syarat sebelum menyertai Selangor iaitu dirinya akan membawa penolong jurulatih sama ada dari Jepun atau Eropah ke kelab gergasi Liga Malaysia (Liga M) itu.
“Sebelum saya bersetuju untuk menyertai Selangor FC, saya telah menetapkan syarat untuk membawa seorang penolong jurulatih dari Jepun atau Eropah.
“Pihak pengurusan bersetuju dengan syarat ini, dan saya memilih untuk membawa Marques Davidson ke dalam pasukan.
“Keperibadiannya serta pengalaman luas dalam kejurulatihan, bukan hanya di Jepun tetapi juga di China dan Amerika Syarikat, menjadikannya pilihan yang tepat untuk Gergasi Merah,” kata Kinoshi.
Selain itu, Kinoshi turut memuji Davidson dengan menyatakan pembantu pengendali itu memiliki potensi cukup hebat untuk bergelar jurulatih bola sepak pada masa hadapan.
“Saya sudah mengenalinya sejak beliau seorang pemain lagi, secara jujurnya sejak itu saya dapat merasakan bahawa beliau mempunyai potensi untuk menjadi jurulatih hebat kerana sikap dan etika kerjanya.
“Kami kemudian bekerjasama di sebuah akademi pembangunan di China, dan sepanjang itu, kami bertukar banyak idea tentang bola sepak. Saya dapati Marques benar-benar memahami falsafah bola sepak yang ingin saya terapkan di Selangor FC.
“Marques fasih berbahasa Inggeris, ini bakal memudahkan komunikasi semasa sesi latihan dan perbincangan bersama barisan jurulatih serta pemain yang lain.
“Selain itu, beliau mempunyai pendekatan yang terbuka dan pemikiran yang luas, baik dalam bola sepak mahupun kehidupan, yang seiring dengan apa yang saya inginkan. Selain itu, sikap agresif beliau di atas padang adalah sesuatu yang sangat saya hargai, dan merupakan elemen penting dalam falsafah yang saya bawakan di sini.
“Marques mampu menggambarkan semangat itu dengan sangat baik. Gaya permainan dan pengalaman kejurulatihannya akan melengkapi pasukan dengan baik,” ulas Kinoshi lagi.
Bagaimana pula pandangan anda?