Kuching City secara rasminya sudah pun tersingkir di pusingan suku akhir Piala FA 2024/2025 setelah ditewaskan oleh Selangor menerusi keputusan penentuan penalti setelah masing-masing terikat secara agregat 3-3.
Hadir dengan kemenangan 2-1 ketika di laman sendiri, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak terus membuktikan mereka masih lagi ingin mencipta kejutan sama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Walaupun begitu, The Red Giants kali ini tampil dengan lebih bersedia di segenap posisi sehingga mereka mampu meraih kemenangan tipis 3-2 tidak termasuk keputusan agregat.
Hadir dengan serba kekurangan, skuad kendalian Aidil Sharin menghadapi kesukaran sebenarnya sepanjang perlawanan tersebut untuk menyerap segala asakan dicipta lawan sehingga mereka ketinggalan 1-3 terlebih dahulu sebelum tampil bangkit dengan jaringan kedua di penghujung aksi sehingga mengikat Selangor ke pusingan masa tambahan serta sepakan penalti.
Jika dilihat pada keputusan ini, sebenarnya penyokong Kuching City tidak perlu merasa kecewa jika mereka melihat pada prestasi semasa kelab kesayangan mereka kini berbanding musim lalu.
Walau tewas, Kuching City dilihat masih mampu untuk memberi kesukaran buat Selangor yang menjadi pilihan utama sejak daripada awal untuk melayakkan diri ke separuh akhir.
Pengalaman serta kualiti pemain
Jika diimbas kembali perlawanan tersebut, jelas Selangor menghadapi isu kekurangan dua pemain pada aksi tersebut kerana layangan kad merah di separuh masa kedua.
Namun, mereka sebenarnya masih dibarisi oleh pemain berpengalaman termasuk tonggak muda kelab itu yang sudah pun pernah beraksi di pentas antarabangsa jika dibandingkan Kuching City selain perbezaan kualiti mereka sepanjang aksi berlangsung sejak wisel awal dibunyikan.
Lihat sahaja pemain seperti Noor Al Rawabdeh, Nooa Laine, Sam Somerville, Yohandry Orozco, serta beberapa lagi tonggak lain jelas jauh lebih berpengalaman untuk menghadapi aksi sebegini jika dibandingkan lawan.
Kuching City pula lebih banyak mempertaruhkan pemain tempatan kurang ternama serta tidak begitu mendapat perhatian seperti Jimmy Raymond, Filemon Anyie, Amir Amri Salleh, serta beberapa lagi.
Malah, kebanyakan pemain ini tidak pernah beraksi untuk skuad kebangsaan serta pendedahan lebih besar jika dibandingkan bintang-bintang Selangor.
Namun, prestasi disumbangkan mereka jelas tidak memberi laluan yang mudah buat Selangor sehingga mengheret kelab itu ke penentuan penalti.
Kuantiti pemain import
Pada aksi tersebut, Kuching City hanya mempertaruhkan empat sahaja tonggak import dalam senarai pemain termasuk di bangku simpanan.
Selebihnya, mereka mempertaruhkan semua pemain tempatan serta hanya seorang pemain kacukan iaitu Rodney Celvin Akwensivie di bangku simpanan.
Sebaliknya Selangor meletakkan enam bintang import, dua pemain warisan bersama tiga sahaja anak tempatan dalam kesebelasan utama untuk berdepan Kuching City.
Di bangku simpanan mereka masih mempunyai seorang pemain import iaitu Reziq Banihani untuk membuktikan kelebihan daripada segi kuantiti berpihak buat Selangor jika dibandingkan pelawat.
Aura pemain ke-12 Selangor
Aksi tersebut jelas menjadi suatu tumpuan besar buat peminat Selangor untuk menbanjiri Stadium MBPJ demi memberi sorakan padu buat kelab kesayangan mereka.
Selaku pasukan lawan, pastinya sorakan sedemikian sedikit sebanyak menggugat moral para pemain di atas padang untuk tampil lebih berkeyakinan menghadapi situasi tersebut.
Maka, penyokong Kuching City sebenarnya tidak perlu sesekali merasa kecewa serta termakan akan kata-kata penyokong lain menerusi kenyataan berkelebihan jumlah pemain di atas padang berbanding Selangor.
Ini kerana The Red Giants juga mempunyai kelebihan-kelebihan tersendiri sebenarnya sepanjang aksi tersebut berlangsung jika dibandingkan pelawat.
Apatah lagi status Kuching City itu sendiri yang kini kembali ingin dibangunkan oleh Aidil Sharin selepas mereka menjadi kelab belasahan kedua selepas Kelantan di pentas domestik musim lalu.
Kejayaan untuk memberi tekanan besar buat Selangor di gelanggang lawan pada masa sebenar perlawanan antara perlu diberi perhatian ramai akan kenyataan Kuching City musim ini bukan lagi pasukan boleh dipandang ringan serta diinjak sesuka hati.
Kredit foto: Shah Amirul Semuanya BOLA