Penyerang berbisa, Kpah Sherman meneruskan musim kedua beliau pada tahun ini bersama Sri Pahang selepas dirinya mempamerkan aksi cukup baik sebelum itu untuk terus dikekalkan pasukan tersebut.
Nama Sherman tidak perlu diperkenalkan dengan lebih lanjut, selepas beliau sudah pun mempamerkan ketajamannya di hadapan gol sejak musim 2017 bersama MISC-MIFA sebelum ditandatangani PKNS.
Malah, musim pertama kebangsaan Liberia bersama Tok Gajah juga sangat mencuri tumpuan apabila rekod jaringannya pada tahun lalu mendapat pujian ramai peminat di media sosial.
Tahun lalu menyaksikan bekas penyerang Terengganu itu meledak 14 gol bersama 7 bantuan jaringan daripada 30 perlawanan domestik dihadapi Sherman bersama Tok Gajah.
Tatkala Sri Pahang mengalami isu konsistensi dua lagi penyerang import mereka, tampil Sherman untuk menjadi talian hayat penting buat pasukan itu mendapatkan gol.
Statistik semasa beliau di Malaysia juga sangat memberansangkan, selepas 94 perlawanan direkodkan beliau bersama kelab berbeza serta meraih 60 gol serta 16 bantuan jaringan.
Pencapaian terbaik beliau di Malaysia pastinya meraih gelaran selaku penjaring terbanyak pada musim 2019 serta pemain bulanan terbaik ketika April,2021.
Untuk musim 2024/2025, bekas penyerang Kedah itu masih lagi mencuri tumpuan selepas beberapa aksi persahabatan diharungi Sri Pahang sebelum perlawanan sebenar bermula.
Menerusi penelitian Semuanya BOLA pada aksi persahabatan lalu termasuk membabitkan Sri Pahang dan Terengganu, jelas Sherman menjadi nadi cukup penting untuk menggerakkan serangan pasukan tersebut.
Walaupun tidak meledak sebarang gol, setiap kali pemain berusia 32 tahun itu mendapat bola Tok Gajah berjaya mencetuskan siri serangan berbahaya buat lawan menerusi kreativiti serta kualiti kawalan individu pemain tersebut.
Beberapa gerakan daripada pemain tersebut hampir memberi gol buat Sri Pahang serta sering mengkucar kacirkan pertahanan Terengganu ketika itu.
Walaupun begitu, sedikit merisaukan jika dilihat pada penyerang baharu Sri Pahang dari Ukraine iaitu Mykola Ahapov yang masih lagi belum dapat menyesuaikan diri dalam permainan.
Malah, para penyokong Sri Pahang sendiri ada meluahkan rasa mengenai kualiti pemain tersebut yang kurang memberi ancaman dan berharap segalanya perlu diperbaiki sebelum saingan sebenar bermula.
Jika keadaan berterusan, episod musim lalu akan terus berulang dengan Sherman terus menjadi sandaran utama buat Sri Pahang selaku mesin gol sejati.
Pandangan anda?