Ini Sebab Kelantan Tak Layak Bertanding Dalam Saingan Liga Super 2024/2025

Kelantan secara rasminya kini tidak lagi layak untuk beraksi dalam saingan Liga Super bagi musim 2024-2025, selepas ianya diumumkan sendiri menerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Menurut MFL, keputusan tersebut diambil selepas satu Mesyuarat Pelesenan Kelab MFL First Instance Body (FIB) secara dalam talian telah diadakan semalam pada jam 6:00 petang.

Hasil mesyuarat mendapati The Red Warriors (TRW) gagal memperoleh Lesen Kebangsaan untuk melayakkan mereka beraksi dalam saingan Liga Super bagi musim 2024-2025.

Jelas MFL di media sosial rasmi mereka, Kelantan gagal untuk memperoleh lesen tersebut kerana tidak melengkapkan dua kriteria kewangan yang diperlukan sebelum tarikh akhir 30 November 2023 dan 31 Disember 2023.

“Mesyuarat Pelesenan Kelab MFL First Instance Body (FIB) yang diadakan secara dalam talian pada 31 Disember 2023 selepas jam 6:00 petang telah membuat keputusan bahawa Kelantan FC gagal memperolehi Lesen Kebangsaan sekali gus menyaksikan mereka tidak layak bertanding dalam saingan Liga Super musim 2024-2025.

“Keputusan ini dibuat kerana Kelantan FC telah gagal untuk melengkapkan dua Kriteria Kewangan dibawah sub-kriteria F.04 (No Payables Overdue Towards Employees, LHDN, KWSP, PERKESO & EIS – As At June) dan sub-kriteria F.11 (No Payables Overdue Towards Employees, LHDN, KWSP, PERKESO & EIS – As At August) sebelum tarikh akhir yang ditetapkan iaitu 30 November 2023 dan 31 Disember 2023,” jelas kenyataan tersebut.

Terdahulu, FIB dilaporkan sebenarnya telah pun bersetuju untuk memberi tempoh lanjutan masa buat Kelantan bagi menyeleseaikan kriteria penting diperlukan untuk melayakkan mereka mendapat Lesen Kebangsaan sehingga 15 November 2023.

“Pada 1 November 2023, pihak FIB telah bersetuju memberikan lanjutan masa untuk Kelantan FC menyelesaikan Langkah Pertama bagi sub-kriteria F.04 sehingga 15 November 2023 untuk menyelesaikan kesemua tunggakan gaji semasa sehingga Ogos 2023.

“Manakala Langkah Kedua bagi sub-kriteria F.11 bagi penyelesaian (5) lima kes FIFA yang ada keputusan sehingga 31 Ogos 2023 perlu diselesaikan sebelum atau pada 31 Disember 2023.

“Namun bagi Langkah Pertama untuk penyelesaian sub-kriteria F.04, pada 15 November 2023 Kelantan FC telah merayu untuk diberikan lanjutan masa sehingga 30 November 2023 untuk menyelesaikan arahan tersebut.

“Pihak FIB menerima rayuan ini tetapi dalam masa yang sama menjatuhkan hukuman denda kepada Kelantan FC sebanyak RM20,000.00 serta hukuman sekatan perpindahan pemain pada jendela perpindahan seterusnya sehingga kesemua kes FIFA selesai sepenuhnya.

“Pada 1 Disember 2023 selepas tarikh tempoh 30 November yang diberikan oleh pihak FIB, Kelantan FC telah menghantar lampiran dokumen bukti menunjukkan “post dated cheque”.

“Namun, pihak MFL meminta Kelantan FC menghantar bukti tambahan iaitu resit pembayaran yang menunjukkan bahawa cek telah dijelaskan.

“Pada 10 Disember 2023, pihak FIB telah menerima dokumen yang didakwa sebagai bukti pembayaran gaji pemain dan pegawai Kelantan FC untuk bulan Ogos 2023 namun pihak FIB mendapati bukti-bukti tersebut masih tidak mencukupi untuk mematuhi syarat pertama yang diberikan kepada Kelantan FC,” jelas kenyataan itu lagi.

Pada masa sama, FIB juga dikatakan telah membuat semakan bersama Persatuan Pemain Bolasepak Professional Malaysia (PFAM) dan Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) untuk memastikan jika pembayaran gaji telah dibuat oleh Kelantan.

Namun, hasilnya jelas mengecewakan selepas beberapa pemain dan pegawai masih belum menerima gaji bagi bulan Ogos 2023 atas pelbagai alasan.

“Kelantan FC kemudian menghantar bukti resit pembayaran yang baharu bagi semakan pihak FIB dan mendapati tujuh pemain dan seorang pegawai masih belum menerima gaji penuh untuk bulan Ogos 2023 kerana isu penamatan kontrak antara pemain atau pegawai dengan Kelantan FC.

“MFL meminta Kelantan FC untuk menghantar dokumen sokongan pada 18 Disember 2023 untuk kesemua tujuh pemain dan seorang pegawai yang terlibat bagi semakan pihak FIB. Setelah menerima dokumen daripada Kelantan FC pada 18 Disember 2023, masih terdapat dokumen sokongan untuk seorang pemain dan seorang pegawai yang tidak lengkap.

“Seterusnya bagi Langkah Kedua, pihak FIB mengarahkan Kelantan FC menjelaskan semua (5) lima kes FIFA yang mempunyai keputusan sebelum 31 Ogos 2023 sebelum atau pada 31 Disember 2023 jam 5:00 petang, bagaimanapun pihak FIB tidak menerima sebarang dokumen sehingga tarikh akhir.

“Kelantan FC juga tidak menghantar bukti resit bayaran ansuran bulanan mengikut jadual yang ditetapkan oleh KWSP dan PERKESO untuk tunggakan sehingga Ogos 2023.

“Setelah gagal menyelesaikan Langkah Pertama dan Langkah Kedua pada 30 November 2023 dan 31 Disember 2023, maka Kelantan FC gagal untuk mendapatkan Lesen Kebangsaan bagi saingan Liga Super musim 2024 – 2025.

“Bagaimanapun Kelantan FC diberikan peluang untuk mengemukakan rayuan kepada Badan Rayuan Pelesenan Kelab MFL sebelum tarikh akhir pada 8 Januari 2023 sebelum jam 5:00 petang terhadap keputusan FIB yang menolak permohonan mereka mendapatkan Lesen Kebangsaan,” jelas kenyataan tersebut akhir sekali.

Sumber:
MFL

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN