Malaysia Harus Optimis, Ini Sebab Harimau Malaya Mampu Mengaum Garang Di Dubai

Dua perlawanan persahabatan diharungi pasukan Harimau Malaya menjelang pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di UAE pada Jun ini, kedua-duanya berakhir dengan kekalahan.

Malaysia tewas kepada Kuwait dengan jaringan 4-1 dalam perlawanan pertama pada 23 Mei lalu, sebelum tewas dengan jaringan 2-0 kepada Bahrain beberapa hari lalu.

Kedua-dua perlawanan tersebut bukan sekadar perlawanan pemanas badan buat Harimau Malaya. Lebih dari itu, ia juga medan untuk Tan Cheng Hoe menguji beberapa gandingan selepas pasukan negara terpaksa beraksi tanpa beberapa pemain utama dalam baki tiga perlawanan nanti.

Keputusan perlawanan mungkin agak merisaukan kita. Namun ia tidak bererti harapan dan peluang kita sudah terkubur. Sedar atau tidak, pasukan lain di dalam Kumpulan G turut mengalami masalah mereka sendiri.

Berikut kami senaraikan 5 sebab mengapa skuad Harimau Malaya harus terus optimis untuk meraih keputusan positif dalam baki tiga perlawanan nanti, sekaligus mara ke pusingan seterusnya.

Vietnam bermasalah

Tanpa kita sedari pendahulu Kumpulan G, Vietnam juga mengalami beberapa masalah dalam persiapan mereka. Park Hang-Seo sudah pun tanpa kapten pasukan,  Do Hung Dung yang mengalami kecederaan patah kaki pada Mac lalu ketika beraksi bersama kelabnya Hanoi FC.

Membuat keadaan semakin parah, skuad Naga Emas terpaksa melupakan lima pemain skuad utama seperti Xuan Truong, Hoang Duc,Van Hau, Van Xuan dan Trong Hoang akibat kecederaan.

Van Hau dan Nguyễn Trọng Hoàng bagaimanapun dibawa ke UAE di sebalik kecederaan dengan harapan mereka sempat pulih dan cergas untuk diturunkan dalam mana-mana perlawanan. Situasi ini menggariskan betapa terdesaknya Vietnam untuk menjuarai Kumpulan G.

Posisi penjaga gol turut merunsingkan penyokong Vietnam. Empat penjaga gol yang dipanggil oleh Park Hang-Seo dipersoalkan penyokong mereka kerana telah dibolosi dengan jumlah yang tinggi dalam aksi liga, selain mewakili kelab tercorot di Vietnam.

Penjaga gol utama, Dang Van Lam yang akan terbang terus ke UAE dari Osaka pula disahkan tidak dapat beraksi disebabkan kecederaan menyebabkan posisi tersebut menjadi masalah terbesar Veitnam.

Thailand tempang

Sepertimana Vietnam, skuad Gajah Perang turut akan ke UAE dalam keadaan serba tempang. Seperti Malaysia, Thailand turut tewas perlawanan persahabatan yang mereka lalui, apabila ditundukkan 1-0 oleh Oman beberapa hari lalu.

Thailand dilihat masih mempunyai pemain-pemain yang berkaliber dengan nama-nama seperti Siwarak Tedsungnoen, Pathompol Charoenrattanapirom, Sarach Yooyen, Suphan Thongsong, Naruebodin Weerawatnodom dan Supachai Chaided akan bermain.

Tatkala Thailand mahukan pemain terbaik mereka memperkuatkan pasukan, Akira Nishino pasti kecewa kerana akan tanpa penjaga gol berpengalaman, Kawin Thamsatchanan. Teerasil Dangda dan pemain pertahanan Theerathon Bunmathan pula sah menarik diri dari skuad Gajah Putih di UAE.

Kecederaan yang menimpa Chanatip Songkrasin pula hampir pasti menyingkirkan pemain itu dari skuad utama.

Tekanan boleh jadi milik UAE

Di atas kertas, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilihat mempunyai kelebihan berbanding pasukan-pasukan lain di dalam Kumpulan G. Ini kerana skuad kendalian Bert Van Marwick mempunyai kelebihan baki satu perlawanan yang belum dimainkan, selain akan menghadapi semua perlawanan di tempat sendiri.

Secara keseluruhan ada lapan perlawanan Kumpulan G yang akan berlangsung dan akan mengambil tempat di Stadium Wasl Zabeel atau Stadium Nasr Al Maktoum. Semua ini memberi harapan menggunung buat skuad UAE untuk mara ke pusingan seterusnya. Dan kedudukan teratas juga akan menjadi sasaran utama UAE untuk berbuat demikian.

Namun anda harus ingat UAE pernah memecat Van Marwijk sebagai Ketua Jurulatih UAE pada Disember 2019 hanya selepas beberapa keputusan tidak memihak kepada mereka. Secara tidak langsung keadaan yang dianggap merupakan kelebihan turut boleh bertukar menjadi faktor yang memberi tekanan kepada UAE. Jika Malaysia berjaya mengekang UAE dari merekodkan kemenangan, maka Kumpulan G pasti boleh menjadi saingan yang amat terbuka.

Sejak menewaskan Malaysia, perjalanan UAE juga tidaklah segah yang ramai khuatirkan. Enam kekalahan selepas itu termasuk kekecewaan di Piala Teluk antara penyebab Van Marwijk dipecat.

Untuk baki empat perlawanan yang harus UAE harungi, Van Marwick sudah pasti tidak dapat mendapatkan khidmat Pemain Terbaik Asia 2015 & 2016, Ahmed Khalil dan Omar Abdulrahman akibat kecederaan. Dan sasaran untuk mara ke Piala Dunia 2022 di Qatar boleh musnah sekelip mata jika tewas kepada Malaysia dalam perlawanan pertama.

Garuda baharu jadi kuda hitam

Indonesia dilabel sebagai pasukan paling lemah di dalam Kumpulan G selepas tewas semua lima perlawanan yang telah dilalui setakat ini. Besar kemungkinan, Sang garuda akan menduduki tangga tercorot, bermakna semua keputusan perlawanan menentang Indonesia dari pasukan tangga kedua dan seterusnya tidak akan dikira untuk mendapatkan kedudukan akhir kumpulan.

Namun ini tidak bermakna Indonesia ke UAE kali ini hanya untuk melengkapkan jadual perlawanan. Skuad kendalian Shin Tae-yong tiba di UAE dengan skuad berwajah baharu kombinasi pemain muda dengan pemain senior penuh pengalaman.

14 pemain berusia di bawah 23 tahun dipilih oleh Shin Tae-yong, dan lima dari mereka iaitu Muhammad Riyandi, Egy Maulana Vikri, Koko Ari Araya, Rachmat Irianto, dan Asnawi Mangkualam berusia hanya 20 tahun. Antara pemain senior yang dipanggil pula ialah seperti Evan Dimas dan Ady Setiawan. Malah skuad Indonesia beraksi dengan meyakinkan walaupun tewas 2-3 kepada Afganistan dalam satu pelawanan persahabatan antarabangsa baru-baru ini.

Walaupun peluang mara ke pusingan ketiga Piala Dunia sudah punah, Indonesia masih berpeluang mara ke pertandingan Piala Asia melalui peringat play-off. Bagaimanapun, Shin Tae-yong memerlukan pasukannya menghasilkan keputusan positif dalam baki perlawanan menentang Thailand, Vietnam dan UAE.

Percaturan pasukan negara

Di dalam bola sepak, sesebuah pasukan memerlukan lebih dari elemen nasib untuk menang. Tidak dinafikan elemen nasib boleh membantu pasukan negar. Namun lebih dari itu, sebagai jurulatih, Tan Cheng Hoe harus bijak menggunakan perkara yang berada di bawah kawalan beliau terlebih dahulu – iaitu barisan pemain sedia ada.

Di kalangan 25 pemain yang dibawa ke UAE kali ini, beberapa muka baharu di dalam pasukan memberikan lebih banyak pilihan kepada Cheng Hoe.

Ini membenarkan Cheng Hoe menghadirkan elemen kejutan baik sebelum atau ketika perlawanan sedang berlangsung dengaan perubahan gandingan dan taktikal sesuai dengan pemain yang diturunkan.

Antara muka baharu membarisi skuad kendalian Tan Cheng Hoe kali ini ialah Luqman Hakim, Guilherme de Paula, Liridon Krasniqi, dan Junior Eldstal. Kemungkinan Dion Cools turut akan menyertai pasukan negara sedikit sebanyak menimbulkan pertanyaan pasukan lawan. Sikap FAM yang terus membisu mengenai pemain berdarah kacukan Belgium-Malaysia ini juga terus mencipta misteri di Malaysia dan di Dubai.

Penutup

Bagi kita di tanah air, hanya sokongan dan doa mampu kita berikan kepada pasukan negara yang berjuang di Dubai.

Jaga diri, patuhi SOP. Lindungi diri, lindungi kita dan selamat menempuh PKP.

Semoga kemenangan menjadi milik kita. Semoga kejayaan dibawa pulang ke bumi Malaysia.

 

Baca artikel menarik lain mengenai Harimau Malaya melalui pautan berikut:

Harimau Malaya Hadapi Laluan Sukar Selepas FIFA Sah Akan Tolak Mata

5 Sebab Mengapa Harimau Malaya Perlukan Dion Cools

Ini ‘Benchmark’ Yang Ditinggalkan Brendan Gan Buat Penggantinya Nanti

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN