Bola sepak Malaysia pada tahun ini boleh dikatakan berada pada prestasi yang sangat bagus menerusi beberapa pencapaian telah dilakar, biarpun masih belum sampai ke penghujung musim 2022.
Antara yang paling membanggakan, pastinya kejayaan Malaysia memecahkan rekod 42 tahun untuk melayakkan diri secara merit ke saingan Piala Asia pada beberapa bulan lalu.
Tahniah Malaysia! 🇲🇾
Skuad Harimau Malaya layak secara merit ke Piala Asia selepas tempoh 43 tahun! #FAM #HarimauMalaya #ACQ2023 pic.twitter.com/T78yETwGzi
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) June 14, 2022
Setelah mengharungi detik-detik suram pada tahun lalu, kini para penyokong Harimau Malaya boleh kembali mendabik dada dan berbangga dengan pencapaian diraih pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa.
Segala kejayaan ini tidak akan berlaku sekiranya tidak mendapat sokongan antara satu sama lain, serta kerja keras setiap individu untuk memastikan hala tuju bola sepak negara berada pada landasan terbaik.
Datuk Hamidin Mohd Amin selaku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), antara individu penting yang memainkan peranan besar dalam membangkitkan kembali skuad kebangsaan menerusi beberapa usaha telah dibuat beliau sebelum itu.
Menerusi artikel Harian Metro, antara jasa Hamidin pastinya ketika beliau mengambil keputusan untuk melantik jurulatih terbaharu skuad negara, Kim Pan-gon pada tahun ini untuk membentuk kembali DNA bola sepak Harimau Malaya.
Impak yang dibawa oleh Pan-gon pada masa yang singkat berjaya menaikkan kembali mutu permainan pasukan kebangsaan serta menjadi antara watak utama membawa Malaysia melayakkan diri ke saingan Piala Asia.
Seterusnya, beberapa pasukan pembangunan negara kini juga semakin mengorak langkah, apabila ada yang turut berjaya mengikut jejak skuad senior untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia dengan prestasi membanggakan.
Pada masa sama, Hamidin juga menjadi individu penting yang telah membuat transformasi baharu dalam saingan Liga Malaysia sejak empat dekad untuk menukar status FA kepada FC secara lebih serius.
Datuk Haji Hamidin dipilih selaku Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Asean (AFF)
Baca Selanjutnya di:https://t.co/c7Du1Fm3Aa#FAM #HarimauMalaya #AFF pic.twitter.com/nVRNl8YFKH
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) November 14, 2022
Selain itu, beliau turut memperkenalkan Peta Hala Tuju FAM, membina pusat latihan bersama bangunan pentadbiran baharu di Putrajaya, dan melancarkan Liga SupeRimau untuk memperkukuhkan pembangunan akar umbi bola sepak Malaysia.
Atas kegigihan Hamidin buat bola sepak negara kini, maka ia bukan sesuatu yang mengejutkan apabila beliau terpilih sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan terbaharu dilantik menjadi salah seorang Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) bagi penggal 2022-2026.
Lebih membanggakan, Hamidin kini turut dicalonkan sebagai Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi penggal 2023-2027 nanti.
Jika Hamidin terus konsisten untuk terus membangunkan bola sepak tanah air, harapan untuk Malaysia melangkah lebih jauh di pentas antarabangsa juga tidak mustahil.
Apa diperlukan beliau ketika ini adalah untuk tidak terus merasa selesa dengan apa dikecapi, sebaliknya terus berusaha untuk menaikkan martabat bola sepak negara untuk menjadi antara digeruni di serta dunia pada masa hadapan.
Sistem-sistem pembangunan akar umbi perlu diperluaskan serta diberi penekanan secara menyeluruh, agar lebih ramai pemain berkualiti tinggi dapat dihasilkan pada masa hadapan.